Manusia dilahirkan dengan satu perasaan ingin tahu. Instinct ini merupakan aset utama yang akan menentukan hala tuju hidupnya. Semangat ingin tahu ini jika dibelai dan didorong dengan baik, mampu melonjakkan potensi seseorang menjadi manusia yang berkualiti serta berbakti.
Jika diperhatikan, kanak-kanak mempunyai semangat ingin tahu yang tinggi. Mereka berminat untuk belajar dalam tahun-tahun awal perkembangannya. Mereka ingin tahu tentang semua yang berlaku di sekelilingnya.
Oleh sebab itu, kanak-kanak akan bertanya soalan-soalan yang kadang-kadang orang dewasa tidak dijangkakan. ‘Keingintahuan’ inilah yang mencetus semangat dan keinginan semula jadi untuk belajar seterusnya memahami banyak perkara.
Ilmu berbeza dengan pengetahuan
Kedatangan Islam dengan sanjungan tinggi terhadap ilmu pengetahuan adalah pelengkap kepada aset kemanusiaan tersebut.
Islam menjadikan ilmu sebagai keutamaan bagi manusia. Lihat sahaja wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. “Iqra’!” merupakan suruhan yang bermesej ‘agung’ bagi manusia menjalani kehidupannya.
Suruhan “bacalah” tersebut bukan sahaja suruhan untuk membaca al-Quran sebagai sumber hukum-hukum berkaitan agama, malah suruhan membaca tersebut termasuklah membaca ayat-ayat Allah yang tidak bertulis seperti penciptaan manusia dan kejadian alam yang serba hebat.
Tidak lain dan tidak bukan, dengan membaca dan memerhatikan, manusia akan memperoleh ilmu pengetahuan yang akan meningkatkan kualiti diri juga peribadi.
Ilmu yang disanjung dalam Islam bukan sahaja ilmu yang berkaitan agama dan ketuhanan semata-mata, tetapi turut merangkumi ilmu-ilmu bersifat keduniaan yang lain.
Prof Syed Naquib al-Attas dalam bukunya Islam & Secularisme menjelaskan bahawa ilmu diperolehi daripada maklumat yang benar dan memberikan makna ke dalam diri seseorang.
Menurut beliau, ilmu dan maklumat ialah dua perkara yang berbeza. Maklumat ialah pengetahuan yang bersifat lebih umum, manakala ilmu lebih khusus.
Jelas beliau lagi, ilmu dikaitkan dengan kegiatan manusia untuk mendapatkan kebenaran yang pasti tentang sesuatu perkara, sedangkan pengetahuan boleh jadi bersifat benar atau sebaliknya.
Beliau juga menegaskan bahawa sumber segala ilmu ialah Allah SWT. Proses mendapatkan ilmu pengetahuan bermula dengan perolehan maklumat dan pengetahuan. Ilmu diperolehi dengan pelbagai cara iaitu dengan menggunakan deria, berfikir, belajar, mengkaji dan meneliti.
Setiap perkara yang diterima perlu dihubungkan secara betul dengan maklumat sedia ada dalam sistem pemikiran manusia.
Analisis dan sintesis yang berlaku dalam pemikiran tersebut akan menerbitkan kefahaman dan seterusnya memberikan makna kepada manusia. Makna tersebutlah yang akan membentuk peribadi dan kualiti diri seseorang.
Ilmu membezakan manusia
Ilmu mempunyai peranan yang penting kepada manusia sepanjang hayatnya. Malah, ilmu yang baik jika disampaikan, mampu menjadi amal jariah kebaikan selepas kematian. Oleh itu, menuntut ilmu tidak hanya terhad kepada alam persekolahan atau menara gading. Perolehan ilmu juga tidak hanya terhad dalam kelas-kelas pengajian yang formal.
Menurut Islam, proses pembelajaran berlaku sepanjang hayat. Rasulullah SAW menjelaskan dalam hadis baginda yang diriwayatkan oleh Ibn Abd al-Barr bahawa menuntut ilmu adalah kewajipan seorang Muslim. Pernyataan yang mutlak ini membawa mesej bahawa kewajipan tersebut tidak terhad kepada tempoh atau umur tertentu.
Dalam hadis yang lain melalui periwayatan al-Tabrani, Abu Na’im dan Ibn Abd al-Barr, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa hari yang dilalui oleh seseorang tidak akan bermakna jika tiada penambahan ilmu.
Ini adalah kerana ilmu dapat menambah nilai takwa pada diri manusia. Takwa pula memberikan impak yang sangat positif pada peribadi seorang Muslim.
Masyarakat dunia mengangkat ilmu
Konsep pembelajaran sepanjang hayat ini juga turut dipromosikan oleh masyarakat global pada masa kini.
UNESCO telah menubuhkan Institute of Life Long Learning bertujuan menggariskan dasar dan polisi bagi menggalakkan masyarakat dunia untuk menjadikan pembelajaran sebagai satu gaya hidup yang berterusan.
Selain itu, pembelajaran sepanjang hayat juga turut dijadikan sebagai salah satu daripada agenda Sustainable Development Goals (SDG).
Pembelajaran sepanjang hayat yang dipromosikan oleh UNESCO merangkumi empat tunjang iaitu pembelajaran untuk mengetahui, pembelajaran untuk melakukan, pembelajaran untuk menjadi apa atau siapa, dan pembelajaran untuk hidup bersama masyarakat. Seterusnya, menjadikan empat tunjang ini membentuk proses pembelajaran yang sempurna.
Hakikatnya, kehidupan manusia merupakan sumber ilmu itu sendiri. Oleh itu, proses pembelajaran untuk golongan dewasa berlaku secara formal dan tidak formal.
Pada masa kini, golongan dewasa perlu belajar dan mempunyai ilmu yang lebih. Ini adalah kerana perkembangan dunia yang bersifat pantas dan radikal.
Perkembangan ini melahirkan pelbagai cabaran kehidupan sama ada berbentuk fizikal ataupun sebaliknya. Cabaran-cabaran hidup pada masa kini menuntut manusia untuk menjadi lebih kuat dan kreatif demi menghadapinya dengan baik.
Impak ilmu pada peribadi
Sebagaimana yang disebutkan oleh Prof Syed Naquib al-Attas tadi, ilmu memberikan makna kepada peribadi seseorang. Seharusnya makna tersebut terserlah pada tingkah laku dan perwatakan seseorang.
Kita dapat lihat perbezaan antara orang yang berilmu dan tidak berilmu. Maklumat dan pengetahuan sahaja tidak cukup, malah perlu didalami dengan kefahaman yang benar supaya menjadi ilmu yang bermanfaat.
Namun, arus kemajuan dan keterbukaan peluang pendidikan sepanjang hayat pun, kita menghadapi kesenjangan pembangunan yang holistik dalam masyarakat.
Masalah kebejatan akhlak pada hari ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan orang yang tidak berpendidikan. Apa yang memburukkan keadaan ialah kebejatan tersebut berlaku dalam kalangan yang mempunyai ilmu pengetahuan dan berpendidikan tinggi.
Permasalahan ini makin meruncing dengan kemajuan teknologi maklumat yang berupaya menyampaikan segala berita dalam masa yang amat singkat.
Maklumat beredar tanpa kawalan dan sempadan menyebabkan kekeliruan dalam kalangan sesetengah masyarakat terutamanya golongan muda yang baharu mengenal ‘dunia.’
Persoalan tindakan menyalahi ilmu yang ada pernah dibincangkan sejak berkurun lama. Sejak zaman Yunani lagi, masalah ini dikenali sebagai akrasia iaitu seseorang yang melakukan sesuatu yang bertentangan dengan pertimbangan akalnya sendiri.
Bagi Socrates, orang yang sedemikian pada hakikatnya tidak boleh dikira berilmu kerana ilmu adalah sifat bagi diri.
Manakala, Aristotle berpandangan orang itu masih dikira berilmu kerana perbuatan yang menyalahi ilmu itu tidak mengubah keyakinannya bahawa ia suatu kesalahan.
Ilmu tanpa amal, di mana salahnya?
Islam memandang berat masalah ilmu yang tidak diamalkan, dan buktinya terdapat banyak sekali hadis yang mencela orang-orang yang berilmu tetapi tidak memanfaatkan ilmunya, iaitu tidak mengamalkannya untuk kebaikan diri dan masyarakat sekeliling.
Antara hadis yang sering disebut orang adalah hadis yang membandingkan ilmu yang tidak diamalkan seumpama pohon yang tidak berbuah, manakala hadis yang lain pula menyebut bahawa di akhirat kelak ilmuwan yang tidak beramal dengan ilmunya akan ke neraka lebih dahulu daripada penyembah berhala.
Perkataan-perkataan ini adalah sebahagian kecil daripada contoh-contoh yang menunjukkan bahawa tujuan sebenar ilmu itu adalah untuk diamalkan, dan apabila ia tidak diamalkan, maka suatu kerosakan besar telah berlaku.
Seharusnya ilmu yang bermanfaat itu mampu membentuk peribadi mulia yang terzahir pada cara berfikir, tindakan dan percakapan serta perwatakan. Ketidaksetaraan antara ilmu dan peribadi perlu menjadi perhatian semua pihak.
Kekurangan amalan kepada ilmu yang ada, jika tidak disantuni sebaiknya akan menjadi barah kepada kesejahteraan masyarakat. Mengapa pendidikan yang diperolehi tidak mampu melahirkan peribadi-peribadi unggul dan mulia? Mengapa golongan berpendidikan mempunyai perilaku yang tidak boleh diterima akal?
Tingkah dan percakapan yang tidak dapat dikawal sering kali meninggalkan kesan yang buruk dan berpanjangan terutamanya bagi yang mendengar secara langsung. Benarlah kata orang-orang tua, “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.”
Sering kali kita mendengar pesanan agar berfikir sebelum bertutur, letakkan lidah di sebalik akal. Moga-moga ilmu yang diperolehi dapat menjadikan kita daripada kalangan yang cerdik sebagaimana dalam peribahasa Melayu, “Hati orang yang bodoh itu di mulutnya, dan lidah orang yang cerdik itu di belakang hatinya.”
Selamat mengamalkan ilmu yang ada agar ia menjadi manfaat kebaikan yang berpanjangan walaupun setelah tiada nanti.
Dr Hamidah Mat
Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open University Malaysia (OUM)