Waspada Taktik Licik Scammer Menipu Mangsa

Kita semua adalah sasaran para penipu atau lebih dikenali sebagai ‘scammers’. Malah bukan dengan sekali atau dua kali cubaan, tetapi banyak kali usaha scammers ini mendekati dengan macam-macam cara melalui pelbagai medium.   

Penipuan akan menang apabila mangsa berjaya diyakini bahawa mereka mengalami situasi yang sebenar. Mereka sering berjaya mengambil kesempatan atas emosi yang tidak terkawal pada perkara yang tidak terjangka. Akibatnya, data butiran peribadi atau wang diberi sebelum sempat sedar. 

Taktik helah semakin rumit dan kreatif seiring dengan bertambahnya kesedaran orang awam tentang taktik scammer sedia ada. Banyak sudah mangsa melaporkan wang mereka lesap begitu saja dalam akaun tanpa disedari. 

Dalam beberapa kes, penipuan ini tidak berlaku dalam tempoh yang sekejap dengan sekali panggilan, tetapi ia sengaja dirancang hingga berbulan-bulan atau bertahun lamanya bagi membina kepercayaan dengan mangsa. 

Justeru itu, sewajarnya setiap individu harus mengambil masa untuk berhenti sejenak, berfikir dan semak sebelum bertindak. Tiada siapa boleh pastikan niat orang di sebalik talian. Scam ini adalah jenayah terancang dan bijak memanipulasi kelemahan mangsa yang disasarkan. 

Berbilion Lesap

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kes jenayah komersial pada tahun lalu melibatkan 30,536 kes membabitkan kerugian RM1.73 billion. 

Ia satu jumlah yang melampau banyak bagi ‘perniagaan’ yang memperdayakan manusia. Jenayah komersial telah menjadi ancaman serius pada era digital kini, scammer menipu dengan pelabagi cara yang licik bagi mengaut keuntungan.

Menurut laman web PDRM, jenayah komersial meliputi jenayah seperti penipuan yang memperdaya seseorang atau syarikat bagi mendapatkan barang-barang atau wang melalui pemalsuan seperti penipuan kad kredit, e-banking, wasiat, insurans, antrabangsa, cinta, bungkusan dan juga jenayah siber.

Pelbagai faktor yang menyebabkan ramai menjadi mangsa mereka termasuk kurang pengetahuan tentang taktik penipuan yang umum, ketamakan, desakan hidup dan kurang waspada.

Namun dengan meningkatkan kesedaran dan mengamalkan langkah pencegahan, seseorang dapat menghindari diri daripada menjadi korban penipuan mereka.

Terlalu ramai orang yang diperdaya dengan scammers. Baru-baru ini tersebar luas berkenaan penipuan dalam ibadah badal haji.

Dalam perkembangan lain pula pada beberapa hari lepas, ramai pihak yang tampil menjadi mangsa penipuan yang menawarkan khidmat menukar kredit eBelia Rahmah kepada wang tunai, setelah ia dikreditkan ke akaun e-dompet penerima bermula Isnin lalu.

Kementerian Kewangan (MoF) telah memberikan peringatan dan amaran kepada orang ramai untuk waspada dengan pihak yang cuba mempengaruhi penerima menukar kredit kepada wang tunai.

Sekiranya dana tersebut ditunaikan, kedua-dua pihak penerima dan peniaga dianggap telah melanggar terma dan syarat yang ditetapkan yang menyatakan wang RM200 tersebut tidak boleh ditunaikan atau dipindahkan kepada sesiapa.

Awas Taktik Scammer

Justeru itu, sebagaimana seseorang melengkapkan diri dengan seni bela diri menghadapi serangan fizikal, begitu juga bagi  individu untuk mempersiapkan diri dengan ‘senjata’ celik terhadap jenis-jenis penipuan yang umum dan teknik helah yang digunakan pihak scammer

Kini, maklumat taktik penipuan scammer boleh didapati mudah di media sosial seperti PDRM, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Sosial (NFCC), Facebook Amaran Scam atau laman sesawang bank.

Amalkan sikap waspada agar tidak mudah terpancing dengan janji-janji yang terlalu sempurna untuk menjadi kenyataan. 

Sekiranya ada tawaran yang menimbulkan curiga, biasakan diri untuk menggali maklumat lanjut daripada sumber yang dipercayai sebelum mengambil tindakan. 

Tindakan yang betul boleh mencerahkan masa depan. Namun alangkah ruginya jika terjadi sebaliknya hanya kerana bersikap culas dan mengutamakan jalan singkat bagi mendapatkan sesuatu.

Penting untuk kita mempunyai tabiat meneliti dan menyemak sumber maklumat yang diberikan oleh suatu pihak bagi mendapatkan keabsahannya terutamanya melibatkan transaksi kewangan dan pertukaran data peribadi.

Lakukan pemeriksaan latar belakang organisasi atau individu tersebut sama ada memiliki reputasi yang ada krediliti dan diberikan pensijilan berdaftar sekiranya perlu.

Pada zaman kerancakan media sosial, segelintir orang secara tidak sedar telah mendedahkan data maklumat peribadi seperti lokasi perumahan dan nama penuh.  

Maklumat peribadi harus dilindungi dengan sangat berhati-hati agar tidak membuka ruang kepada pihak yang ada niat mengambil kesempatan. 

Sebarang penipuan harus dilaporkan pada pihak berkuasa walaupun kerugian tidak dapat ditebus kembali.

Melaporkan penipuan dapat membantu menghentikan kejahatan dan melindungi orang lain daripada terjerumus menjadi mangsa pada masa depan.

Laporkan pada pihak polis dalam masa 24 jam agar tindakan susulan dapat dijalankan. Bagi memastikan tindakan segera diambil, hubungi bank atau NSRC di talian 997 terlebih dahulu sebelum membuat laporan polis di balai polis berdekatan.

Hubungi NSRC

Kerajaan telah menubuhkan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) sebagai pusat operasi untuk tindak balas pantas terhadap penipuan kewangan dalam talian.

Tindak balas ini termasuk berusaha mengesan dana yang dicuri secara lebih cepat, menjalankan penyiasatan terhadap jenayah penipuan dan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penjenayah. 

NSRC menghimpunkan sumber dan kepakaran daripada gabungan usaha sama antara NFCC, PDRM, Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta institusi perbankan dan syarikat perkhidmatan telekomunikasi. 

Tindakan segera mangsa menghubungi bank atau NSRC boleh mencerahkan lagi peluang untuk menyelamatkan wang yang ditipu dan turut membantu mengurangkan kerugian selanjutnya yang mungkin dialami, walaupun tiada jaminan wang tersebut akan diperolehi semula.

Di sebalik semua ini, akhirnya nasib ditentukan oleh diri sendiri. Anda yang menjadi golongan sasaran pihak scammer harus bersikap peka dan waspada dengan helah penipuan.

Penipuan ini telah menjadi suatu ‘perniagaan’ yang sangat menguntungkan hingga berleluasa dengan begitu mudah di negara ini. Ambil tahu, kawal emosi dan jangan jadi mangsa penipuan!

Basmin Maarof

Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia