Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengikuti dengan penuh prihatin perkembangan politik mutakhir berhubung ura-ura ada pihak berhasrat untuk menjatuhkan kerajaan persekutuan.
IKRAM menggesa semua pihak agar menghentikan politiking yang menggugat kestabilan politik dan merencatkan usaha untuk memulihkan negara pascapandemik Covid-19.
Ketidakstabilan politik pasca-PRU14 tidak boleh diulang kerana mudaratnya yang menjejaskan kesejahteraan rakyat dan membantutkan usaha pembangunan negara.
Pasca PRU15, semua ahli politik di pihak kerajaan mahupun pembangkang seharusnya berperanan untuk menjaga kebajikan rakyat dan mengeluarkan negara daripada pelbagai kemelut yang melanda.
Ahli-ahli politik perlu membuktikan komitmen mereka untuk menyantuni rakyat dan seterusnya mengembalikan kepercayaan rakyat kepada sistem demokrasi di negara ini.
Dalam masa terdekat, semua pihak hendaklah memberi fokus untuk memulihkan negara dari semua sudut melalui kecekapan penyampaian perkhidmatan, daya saing, kesejahteraan sosial, perpaduan, kesihatan, pendidikan, kebajikan, alam sekitar dan sebagainya.
Kerajaan persekutuan pula perlu melaksanakan perubahan yang telah dijanjikan, memperbetulkan kesilapan dan membuktikan prestasi melalui hasil yang cemerlang.
IKRAM menyeru semua pihak untuk mendukung usaha-usaha kerajaan dalam menyantuni kebajikan rakyat serta memacu kemajuan, kestabilan dan kemakmuran negara.
Sebagai rakan strategik dalam membangunkan negara, IKRAM komited untuk bekerjasama dengan semua pihak dalam usaha untuk memulihkan dan seterusnya membawa negara ke tahap yang lebih baik.
Hj Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia