Nama Nadia Kahf tular dalam banyak akhbar antarabangsa dan laman media sosial ekoran pelantikannya sebagai hakim di Mahkamah Agung New Jersey, Amerika Syarikat.
Selepas upacara angkat sumpah dan pelantikan rasmi dalam satu majlis di Paterson pada Selasa 21 Mac lalu, beliau menjadi hakim wanita Muslim bertudung yang pertama di mahkamah tersebut.
Nadia Kahf, 50, merupakan seorang peguam Amerika yang berasal dari Syria, yang sebelumnya berhijrah bersama keluarganya dari Syria ke Amerika Syarikat ketika berusia dua tahun.
Siapa Nadia Kahf?
1. Berkhidmat lama di institusi-institusi Islam di Amerika, pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Majlis Perhubungan Amerika-Islam di New Jersey, sebuah organisasi pembelaan hak sivil sejak 2003 dan kini sebagai Pengerusi.
2. Seorang peguam undang-undang keluarga dan imigresen dari Wayne, berkhidmat sebagai Presiden Pusat Islam Daerah Passaic, salah satu masjid terbesar di New Jersey.
3. Pernah memegang jawatan sebagai penasihat undang-undang kepada Wafa House, sebuah agensi sukarelawan untuk memerangi keganasan rumah tangga dan perkhidmatan sosial yang berpangkalan di Clifton.
4. Akhbar Insider di New Jersey pada 2020 meletakkan Nadia antara Muslim terbaik dari segi pengaruh dalam akademik, perniagaan, kerajaan, undang-undang, politik, agama, keadilan sosial dan lain-lain.
Bangga wakili masyarakat Arab, Muslim
Walaupun Nadia seorang hakim pertama bertudung di New Jersey, beliau bukanlah hakim Muslim yang pertama.
Beliau menjadi wanita Muslim ketiga yang berkhidmat di Mahkamah Agung New Jersey yang mendengar kes jenayah dan sivil, selepas Sharifa Salam dan Kalima Ahmed, yang masing-masing bekerja sebagai hakim di Mahkamah Agung di daerah Essex dan Hudson.
Nadia akan berkhidmat sebagai hakim di Mahkamah Agung di Passaic County selepas dicalonkan oleh Gabenor New Jersey, Phil Murphy setahun lalu sebagai sebahagian daripada senarai 15 calon.
Semasa meraikan pelantikannya, beliau melahirkan rasa syukurnya semasa majlis angkat sumpah dengan berkata:
“Saya berbangga mewakili masyarakat Arab dan Muslim di New Jersey, Amerika Syarikat. Saya mahu generasi muda melihat bahawa mereka boleh mengamalkan ritual agama tanpa rasa takut dan menjadi diri sendiri. Kepelbagaian adalah kekuatan kita bukan kelemahan.”
Faktanya, terdapat kira-kira 460 hakim Mahkamah Agung di 21 daerah di negeri AS yang mengadili kes undang-undang jenayah, sivil dan keluarga untuk tempoh awal tujuh tahun, menurut laman web Amerika.
Muslim sandang jawatan penting
Baru-baru ini menyaksikan ramai Muslim menduduki beberapa jawatan di Amerika Syarikat, sebagai sebahagian daripada dasar kepelbagaian yang ingin dipatuhi oleh pentadbiran Amerika.
Terdahulu, Laila Ikram, seorang wanita Amerika dari North Carolina, pernah menjadi hakim Muslim yang pertama di Mahkamah Kehakiman Arizona.
Laila adalah seorang pensyarah di Kolej Undang-undang di Arizona, AS, seterusnya menyandang jawatan sehingga menjadi hakim wanita Muslim bertudung pertama di Arizona.
Beliau mengangkat sumpah jawatannya di hadapan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Anthony Blinken sambil berkata:
“Sesungguhnya, sesebuah negara menjadi makmur apabila individu mengamalkan kepercayaan agama yang mereka anuti tanpa campur tangan daripada kerajaan atau kawalan sekatan sosial.”
Dalam pada itu, Setiausaha Negara AS itu mengesahkan melalui akaun Twitter rasminya pada masa Hari Kebebasan Beragama Kebangsaan, Amerika Syarikat mengisytiharkan semula untuk menyokong kebebasan beragama dan kepercayaan sebagai hak untuk semua individu.
Ini juga rentetan dan bersempena dengan angkat sumpah dan pelantikan rasmi Abdullah Hammoud, pegawai Arab dan Muslim pertama yang berkhidmat sebagai datuk bandar Dearborn, Michigan.