Sinopsis Buku ‘PENAT’: Mengurus Emosi, Meraih Bahagia

Sinopsis Buku 'PENAT': Mengurus Emosi, Meraih Bahagia | IKRAM

Adakah kita terlupa untuk merasai kebahagiaan?

Mungkin kita terlupa bahawa suatu ketika dahulu, kita hanyalah kanak-kanak yang mempunyai kemahuan tidak rumit.

Untuk merasai kegembiraan, kita berasa cukup dengan menerima beberapa biji gula-gula, menunggang basikal mengelilingi taman permainan, menyiapkan binaan mainan Lego, atau menerima pujian daripada ibu bapa atas kecemerlangan peperiksaan akhir tahun. 

Perkara-perkara ini mudah menyajikan kebahagiaan buat kita. 

Cukup mudah dan cukup ringkas. 

Ketika kecil, ibu bapa kita juga sering menggunakan teknik psikologi setiap kali kita belajar membuat perkara-perkara baru. Mereka meraikan kejayaan kecil dan memuji kita supaya dapat memberi keyakinan kepada kita untuk mencapai sesuatu yang lebih besar. 

Contohnya, kita semasa bayi yang membesar akan belajar untuk meniarap, mengesot, merangkak dan seterusnya berjalan.

Apabila kita cuba melangkah dua hingga tiga tapak, kita pun terjatuh. Pada waktu itu, ibu bapa tidak marah atau mengutuk, malah mereka cuba membina keyakinan kita melalui kata-kata semangat.

“Wah, dah boleh jalan!”

Ibu bapa tidak menghukum semasa proses anak belajar berjalan, malah memberi ganjaran walaupun anak baru menapak dua hingga tiga langkah. 

Walau bagaimanapun, semakin kita dewasa, kita merasakan semakin rumit dan sukar untuk kita mencipta kejayaan sebelum mampu beroleh bahagia.

Ibaratnya jika bermain Lego; kalau semasa kecil Lego yang dibina mungkin kecil dan mudah, sekarang Lego itu semakin besar dan sukar disempurnakan. 

Perjalanan ke Destinasi

Saya akan memberikan kisah lain sebelum meneruskan perbincangan. Katakanlah, kita hendak pergi ke suatu destinasi dengan menaiki sebuah bas ekspres.

Dalam perjalanan itu, bas akan berhenti di hentian R&R (Rehat dan Rawat); sama ada untuk berehat, pergi ke tandas, makan dan membuat regangan otot. Misalnya kalau perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang, kebiasaannya bas berhenti berdekatan Ipoh. 

“Ah, dah sampai Perak,” kita berbisik setibanya bas di R&R. 

Sepanjang perjalanan juga, kita melihat papan-papan tanda di susur keluar lebuh raya yang menulis nama-nama bandar. Setiap destinasi kecil ini menjadi penanda aras dalam perjalanan kita yang panjang, sekali gus diraikan sebagai kejayaan-kejayaan kecil. 

“Oh dah sampai sini. Dah jauh dari KL, maknanya dah dekatlah dengan Penang.” 

Hal ini sama seperti meraikan proses belajar berjalan semasa kita kecil dahulu. Kita mudah mengecapi kebahagiaan dengan pencapaian-pencapaian kecil.

Akan tetapi, kalau kita tidak melihat papan tanda atau kalau bas tidak berhenti, maka kita akan tertanya-tanya sepanjang perjalanan, “Lamanya perjalanan. Bilalah nak sampai Penang ni.” 

Kita merasakan destinasi (kejayaan) itu masih lagi jauh dan sukar dikecapi. 

Apabila dewasa, kita (termasuk ibu bapa kita) menjadi obses untuk melihat hasil akhir yang satu itu sehingga terlupa hendak meraikan kejayaan-kejayaan kecil dalam perjalanan.

Kita gagal memahami bahawa sebenarnya semakin jauh perjalanan kita, maka semakin dekat diri kita dengan kejayaan. 

Bagi kita, hasil akhir itulah keputusan yang paling utama – jika berjaya hasil akhir, maka berjayalah kita, jika gagal hasil akhir, maka gagallah kita.

Apabila kita gagal meskipun ada banyak kejayaan kecil yang dikecapi dalam perjalanan, kita tetap terasa gagal sepenuhnya – bahkan mungkin kita boleh menganggap bahawa pencapaian kecil itulah yang membawa kepada kegagalan tersebut.

Sedangkan kita masih boleh mengambil pengajaran daripada kegagalan itu supaya kita bangkit semula. Seperti bola, orang yang mempunyai ketahanan tinggi untuk mencapai kejayaan besar akan melantun semula apabila jatuh ke bawah. 

Disebabkan obsesi dengan kejayaan akhir ini, kita tidak berupaya untuk memecahkan masalah kehidupan yang besar dan kompleks kepada isu kecil-kecil untuk diselesaikan; lalu dicapai satu per satu.

Rasa Tersekat, Tidak Membangun, Beku, ‘Meh’, ‘Blah’

Inilah yang sebenarnya menyebabkan orang dewasa berasa penat. Mereka rasa jauh hendak mencapai kebahagiaan dan kejayaan, rasa seperti mahu menyerah kalah segera sebab rasa tidak mampu untuk mencapai jauhnya lagi perjalanan itu. 

Oleh sebab itu, sepatutnya perjalanan jauh itu disertai dengan batu tanda yang dekat untuk kita berasa semakin hampir dengan destinasi utama.

Saya percaya, ramai daripada kalangan anak muda hari ini sedang atau pernah mengalami keadaan ini. 

Mereka berasa seperti tidak mencapai kemajuan dan kejayaan dalam hidup, rasa stuck (tersekat) di tempat sama. Perkara ini paling ketara dipandang dari sisi kerjaya masing-masing. 

Contohnya, pekerja yang muda-muda hanya boleh survive (bertahan) di tempat kerja, tetapi dia tidak boleh thrive (berkembang) sebab rakan sekeliling tidak membantu dia untuk thrive. Rakan-rakan pula jenis yang kurang bermotivasi, suka mengganggu dan tidak memberi kerjasama. 

Hal begini pun boleh menyebabkan seseorang itu lembam atau tidak bertumbuh di tempat kerja. Meskipun dia sebenarnya menuju ke aras tersebut, dia tetap tidak mampu merasainya.

Rugilah apabila kita mendapat kejayaan tetapi tidak dapat merasai. Contohnya, seseorang individu dapat menyiapkan sebuah projek setelah enam bulan bertungkus lumus mengerjakannya. Akan tetapi, dia gagal untuk merasai bahawa dia sebenarnya sudah mencapai sesuatu. 

Sepatutnya kita menikmati proses untuk mencapai kejayaan itu, bukannya menikmati hasil akhir semata-mata.

Kita Jatuh atau Bangun, Kita Masih Boleh Menikmati Kebahagiaan

Jika kita tidak meraikan kejayaan-kejayaan kecil, maka sewaktu kita sudah dapat hasil akhir itu, kita sudah rasa hilang tenaga, keringdan penat. Kita sudah tiada rasa seperti hendak meraikan hasil akhir itu. Meraikannya pun akan membuatkan kita rasa lebih penat.

Rasa penat ini membuatkan kita rasa seperti berpura-pura gembira juga. Bagi kita, kejayaan itu hanya perayaan sekali, kerana esok kita perlu datang ke tempat kerja lagi dan mengulang kerja yang sama juga. 

Pernahkah anda mendengar orang berkata begini selepas habis meraikan projek? 

“Esok kerja lagi ke? Boringnyalah.” 

Ada, bukan? Ya, mereka berkata begitu meskipun baru lepas meraikan kejayaan. 

Saya mahu memberikan contoh lain tentang bagaimana orang yang bermain saham menikmati proses mereka. Mungkin orang ekonomi atau kewangan boleh memahami contoh ini. 

Kebiasaannya, apabila satu-satu kaunter saham itu jatuh, kebanyakan pelabur akan berasa sedih dan tertekan. Hal ini kerana mereka rasa mereka telah rugi. 

Walau bagaimanapun, ada juga daripada kalangan pelabur yang lebih berpengalaman menganggap hal ini sebagai peluang untuk menambahkan lagi pelaburan kerana harga saham menjadi murah pada ketika itu. 

Tatkala orang lain mengeluarkan duit kerana rugi, dia pula memasukkan duit kerana harganya murah, dan dia memerhatikan proses turun naik saham tersebut. 

Setelah harga melambung balik, dia akan berasa lebih seronok kerana dia menikmati proses tersebut sehingga mendapat kejayaan akhir. 

Pelabur-pelabur yang sudah mengeluarkan duit awal-awal tadi pula baru hendak masuk semula apabila harga sudah menaik.

Mereka berasa seronok juga tetapi tidak sebanyak mana, terutama apabila melihat pelabur yang seorang itu lebih untung. Biarpun saham jatuh atau naik, dia tetap positif dan bahagia. Dia mengambil peluang untuk belajar daripada proses tersebut.

Perkara yang saya cuba sampaikan daripada cerita saham ini adalah naik turunnya pasaran saham tidak terlalu mengganggu ketenangan pelabur yang berpengalaman kerana mereka tahu mengawal emosi dan menikmati proses bermain saham itu.

Pelajaran yang diambil daripada setiap proses itu menjadi batu penanda kejayaan bagi mereka.

Lahirnya Buku ‘PENAT’

Saya telah menulis buku bertajuk ‘PENAT: Bagaimana Mengurus Emosi, Tenaga & Tekanan Dalam Menempuhi Alam Dewasa’ yang diterbitkan IMAN Publication.

Ia baru dipasarkan pada awal bulan November, mula memasuki carta MPH Bestseller pada 11 November 2022 dan menduduki tangga pertama MPH Bestseller dari 9 hingga 29 Disember 2022 (hingga artikel ini ditulis).

Mungkin ramai rakyat Malaysia yang ‘PENAT’ tapi tidak memahami tabiatnya dan ingin tahu bagaimana ingin mengurusnya. 

Buku ini hadir kerana saya melihat kepentingan untuk kita mengenal bahawa rasa penat itu bukanlah bermakna kebahagiaan telah hilang daripada diri kita.

Saya membuka buku ini dengan bercerita tentang meraikan proses, kerana saya mahu memberi perspektif kepada anak muda bahawa kita tetap boleh berseronok walaupun dalam tempoh turun dan naik.

Perkara itu tidak mustahil. Bahkan, kejatuhan itu sebenarnya peluang untuk membuatkan kita lebih bahagia. 

Kelesuan (Languishing) Menuju Kemekaran (Flourishing)

Bahagian satu buku ini akan menceritakan pengenalan tentang rasa penat dan rasa hilang minat (dalam istilah psikologi, ini dipanggil languishing atau kelesuan) yang dihadapi dalam kehidupan dan kerjaya kita terutamanya, serta cara mengenal pasti jika kita sedang berada dalam situasi tersebut.

Dalam bahagian dua buku ini pula, saya akan memperincikan teori yang dibangunkan untuk membantu kita mengatasi masalah kelesuan tersebut, supaya akhirnya kita dapat menikmati kemekaran (dalam istilah psikologi, ini dipanggil flourishing) dalam kehidupan kita. 

1. P = Positive emotion atau emosi positif

2. E = Engagement atau Rasa keterlibatan (dengan aktiviti)

3. R = Relationship atau Hubungan yang baik

4. M = Meaning of life atau Makna kehidupan

5. A = Accomplishment atau Sensasi pencapaian

Kemekaran, kebahagiaan, kesejahteraan, kepuasan hidup, kesihatan mental atau apa sahaja istilah yang digunakan, ia adalah hak semua insan.

Anda akan faham selepas membaca buku ‘PENAT’ bahawa mereka yang mengalami penyakit mental juga boleh bahagia sedangkan mereka yang tiada penyakit mental pula belum tentu bahagia.

Walaupun buku ‘PENAT’ bukan buku agama, tapi ia turut memaparkan ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW yang berkaitan dengan isu-isu kesihatan mental. 

Hargai Proses Menuju Matlamat

Saya sentiasa percaya kepada proses. Menghargai perjalanan dan proses itu ialah satu nikmat yang besar kalau kita betul-betul menghargainya. 

Saya percaya bahawa kalau proses itu tidak lebih penting daripada hasil akhir, maka ia sama penting dengan hasil akhir.

I feel that the process is equally, if not more important than the outcome itself.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran: 

“Katakanlah: “Bekerjalah kamu maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakannya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.” (At-Taubah: 105)

Dr Alizi Alias
Pengerusi Psikospiritual IKRAM
Penulis buku ‘PENAT’

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia