Krisis pastinya akan menimbulkan kekacauan dan kerisauan. Ia sering membuatkan kita tidak selesa kerana krisis pasti mengganggu aturan kebiasaan kehidupan kita, bahkan juga mengganggu keperluan asasi kita.
Itulah yang berlaku pada waktu ini di negara kita. Krisis kesihatan yang berpunca daripada wabak Covid-19 benar-benar telah mengubah situasi kita.
Jika dahulu, setiap kali diumumkan data-data terkini kes semasa, kita melihat ia hanyalah angka dalam pengumuman Ketua Pengarah Kesihatan. Tapi kini, angka itu mula berubah menjadi nama yang kita kenali. Bahkan ada nama itu dalam kalangan insan yang dekat dengan kita.
Krisis ini bahkan menjadi lebih berat apabila kita sedari bahawa kita sedang berdepan dengan permasalahan yang bersifat multidimensi.
Lebih meluluhkan hati apabila mereka yang berada di posisi utama untuk mengawal dan menguruskan krisis ini masih bertelagah dan tidak benar-benar serius untuk mengerjakan tanggungjawab mereka.
Politik negara masih menemui jalan buntu, ekonomi negara masih tidak memberikan petanda yang baik, juga permasalahan sosial semakin ketara buruknya.
Krisis benar-benar mengubah situasi kita. Hingga ke satu tahap, ia seperti satu fasa yang entah masih ada harapan atau tidak untuk kita lepasi.
Namun kata Anis Matta, “Krisis adalah takdir bangsa.” Krisis pada asasnya adalah situasi yang pasti akan dilalui oleh mana-mana negara bangsa dalam proses untuk mematangkan dan menambah baik lagi keadaan.
Kenapa? Kerana krisis itu hakikatnya hadir kerana kegagalan kita menemukan titik buta yang ada pada sistem dan budaya kita. Ketika tiba masanya, krisis akan timbul dan meletus, lalu mendedahkan masalah yang selama ini dipendam dan diperam di sebalik kelompongan yang ada.
Ia secara langsung akan menyentak kita daripada sikap acuh tidak acuh dan ketidakpedulian kita dengan simptom-simptom yang dampak daripada masalah ini.
Bukankah kerana krisis pada hari ini menyedarkan kita bahawa kita mesti memilih pemimpin yang benar-benar berkredibiliti dan berkelayakan, bukan pakai tangkap muat, apatah lagi menggunakan ‘scheme of things’ untuk kekal berkuasa?
Kita sedar bahawa kepimpinan bukan lagi tentang kuantiti, tetapi kualiti. Itulah yang dapat kita pelajari daripada saiz kabinet kerajaan Perikatan Nasional yang sungguh besar, namun kualitinya tidak mampu menandingi kesan besar daripada wabak Covid-19.
Bukankah kerana krisis pada hari ini menyedarkan kita bahawa penyalahgunaan kuasa dan ketidakadilan dalam menentukan hukuman itu benar-benar wujud?
Rakyat sudah berani mewujudkan bandingan bentuk hukuman yang dikenakan kepada rakyat marhaen dengan rakyat ‘kayangan’. Hal yang sama kepada mereka yang berkuasa.
Rakyat sedar bahawa setiap wakil rakyat itu jika melanggar apa-apa undang-undang mesti dipertanggungjawabkan, tidak boleh semudah itu dilepaskan.
Maka, ketika ada yang melanggar, bertebaranlah segala bukti gambar kesalahan itu di media sosial hingga memberi tekanan kepada wakil rakyat bahawa mereka tidak boleh sewenangnya mempersenda undang-undang yang ditetapkan.
Bukankah kerana krisis pada hari ini semakin dampak kesenjangan dan kelompongan yang ada pada sistem semasa? Sebagai contoh dalam ruang politik kepartian, kerana disebabkan tiada apa-apa akta yang menghalang wakil rakyat daripada lompat parti, ia telah menyebabkan negara berdepan krisis politik yang masih tiada penghujungnya.
Hal yang sama dalam pendidikan. Kegagalan menguruskan projek-projek yang berkaitan dengan pendidikan seperti infrastruktur sekolah, capaian Internet dan peranti dengan penuh akauntabiliti, telah memburukkan lagi situasi keciciran murid di negara kita.
Juga wujud kesenjangan perlindungan sosial (social net) seperti Employees Provident Fund (EPC) dan Social Security Organisation (SOCSO) khususnya mereka yang bekerja di sektor ekonomi gig dan bekerja sendiri.
Maka, krisis adalah fasa terbaik untuk merevolusikan dengan drastik budaya dan sistem yang sedia ada kepada yang lebih baik serta mampu menampung masalah semasa. Krisis akan memaksa kita untuk berubah. Jika kita tidak berubah, maka kita akan diubah atau terus ditinggalkan oleh perubahan.
Krisis sewajarnya menjadikan kita lebih rendah diri dan bersikap empati dalam mencermati simptom-simptom masalah yang wujud. Hanya dengan sikap rendah diri akan membuatkan kita bersedia mengakui sesuatu masalah itu sebagai masalah yang perlu dirawati.
Jika kita bersikap sombong, kita akan sengaja membutakan mata dan memekakkan telinga terhadap masalah yang sedang dampak dan menjerit kepada kita.
Hal yang sama jika kita tiada empati. Kita akan cepat menghakimi dengan prasangka berbanding mencuba untuk memahami dengan jujur. Kesannya, kita tidak akan menemukan punca masalah yang sebenarnya perlu dibaiki.
Krisis yang dihadapi memang benar telah meranapkan sebahagian cita-cita dan impian kita. Tapi, pada setiap krisis yang berlaku, sentiasa ada ganti yang lebih baik buat kita.
Utamanya, teruslah berani untuk menyatakan masalah yang dampak, merevolusikan sikap masyarakat kita serta berusaha sekuatnya untuk menambah baik keadaan.
Suatu hari nanti, krisis ini akan dibalik menjadi rahmat buat kita.
Mohd Hafiz Abd Hamid
Ketua IKRAM Muda
Pertubuhan IKRAM Malaysia