Misi tersebut bertujuan membantu penduduk Somali yang dilanda kemarau berpanjangan menyebabkan krisis kebuluran berterusan.
“Misi bantuan MyRamadan ke Somaliland ini merupakan bantuan kali kedua hasil sumbangan rakyat Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Hj Kamarul Zaman Shaharul Anwar.
Sehubungan dengan itu, Misi MyRamadan MyCARE ke Somaliland ini membawa bantuan jumlah keseluruhan RM200,000 terdiri daripada pek makanan, iftar dan sahur serta bekalan air bersih.
“Kemarau yang berpanjangan juga menyebabkan aktiviti pertanian dan penternakan lumpuh.”
Menurut beliau, bekalan makanan yang tidak mencukupi dan kenaikan harga barang telah menyebabkan rakyat Somalia mengharap ihsan bantuan kemanusiaan daripada NGO antarabangsa.
“Dua jenis bantuan utama akan diserahkan dalam misi tersebut iaitu pek makanan yang mengandungi beras, tepung, gula, tamar dan minyak untuk 2,000 keluarga bagi setiap kampung dengan setiap keluarga terdiri daripada enam hingga sembilan orang, juga bekalan air bersih serta pek berbuka dan sahur bersama penduduk di pedalaman Burao, Somaliland,” ujar Kamarul Zaman.
Misi Ramadan MyCARE dengan kerjasama iamFaithmen dan rakan media, Media Prima dan TV3 ini turut disertai penyanyi terkenal tanah air iaitu Faizal Tahir.
Sebelumnya, bantuan awal makanan telah diagihkan pada pertengahan April lalu dan diteruskan pada minggu kedua Ramadan melalui kerjasama NGO yang terlibat.
Dalam pada itu rakyat Malaysia boleh terus menyalurkan bantuan projek Ramadan MyCARE dengan menyalurkan sumbangan dalam talian https://mycareproject.org/myramadan