Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengalu-alukan pelancaran Pelan Anti-Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 oleh YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.
Pelan yang dibangunkan melalui kerjasama Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah, Jabatan Perdana Menteri (GIACC) dan agensi kerajaan lain bertujuan untuk membudayakan integriti dan membanteras rasuah.
Usaha ini, bertemakan ‘Memecah Rantaian Rasuah’ patut disokong oleh semua pihak kerana memberi fokus kepada pencegahan dan bersifat jangka panjang. Melalui pelaksanaan yang bersungguh-sungguh, kesannya dijangka akan lebih lestari.
Dengan misi Malaysia bebas rasuah menjelang 2023, 22 strategi utama dan 115 inisiatif antirasuah yang meliputi aspek politik, perolehan awam, penguatkuasaan undang-undang, pentadbiran sektor awam, perundangan dan kehakiman serta tadbir urus korporat disusun dalam pelan ini. NACP dibangunkan bagi menggantikan Pelan Integriti Nasional (PIN) sebelum ini.
Usaha ini bertepatan dengan ciri-ciri Negara Rahmah yang diperjuangkan IKRAM. Khususnya, IKRAM konsisten mendukung kepimpinan yang berintegriti tinggi dan memperjuangkan tadbir urus yang baik, selaras dengan ciri pertama dan ketiga dalam 12 Ciri Negara Rahmah.
Menurut statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), 894 tangkapan telah dibuat pada tahun 2018 berbanding 879 kes pada tahun 2017 dan 939 kes pada tahun 2016.
Pada tahun 2017, Malaysia telah jatuh ke tangga 62 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah yang dikeluarkan Transparency International berbanding tangga ke-55 pada tahun 2016.
Statistik ini menunjukkan budaya rasuah masih meluas tanpa penurunan ketara jumlah tangkapan kes rasuah bagi tempoh 2016-2018.
Kajian pula mendapati penjawat awam lebih berisiko terlibat dengan kes rasuah. Sebanyak 40 peratus daripada pesalah yang ditahan oleh SPRM adalah dalam kalangan penjawat awam bagi tempoh 2011 hingga 2015.
Untuk memastikan rasuah dapat dibanteras dengan berkesan, IKRAM ingin menekankan bahawa pelan ini memerlukan sokongan daripada semua pihak termasuklah sektor awam dan sektor swasta.
Mana-mana anggota masyarakat pula digesa untuk tidak gentar melaporkan rasuah dengan memberikan maklumat mengenai sebarang perlakuan rasuah kerana perlindungan diberikan kepada mereka melalui Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Walau bagaimanapun, IKRAM ingin mengingatkan bahawa pelan yang dilancarkan mestilah disertakan dengan komitmen dan ‘political will’ kerajaan, sumber yang mencukupi, pelaksanaan secara berperingkat dan berdisiplin, dan pemantauan yang rapi.
Dengan semangat Malaysia baharu, IKRAM bersedia terlibat dalam usaha membanteras rasuah melalui panel pemikir atau pasukan petugas khas (task force).
Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia