Analisa Bajet 2016 – Mohd Nazari Ismail

Satu lagi cabaran yang dihadapi oleh kerajaan ialah perasaan tidak puas hati yang berleluasa dalam kalangan rakyat yang kesempitan hidup akibat keadaan kos kehidupan yang sentiasa meningkat, termasuk harga rumah yang telah melambung tinggi ke tahap yang mustahil dibeli oleh kebanyakan orang, terutama dalam kalangan anak muda. 

Ramai yang merasakan bahawa punca utama kos kehidupan telah meningkat ialah kegagalan kerajaan menguruskan ekonomi dan oleh itu, berlakulah banyak amalan pembaziran dan ketirisan. Akhir sekali, rakyat juga merasa curiga dengan tindakan kerajaan mewujudkan syarikat 1MDB yang mempunyai beban hutang yang begitu besar yang kemungkinan akhirnya akan ditanggung oleh rakyat juga.

Oleh itu, tidak hairanlah kerajaan telah berusaha untuk menghasilkan satu bajet yang mempunyai banyak ciri yang cuba memujuk rakyat supaya kembali menyokong kerajaan. Pelbagai peruntukan telah diadakan untuk tujuan ini.

Antara lain ialah projek pembangunan yang bukan sahaja akan merangsang aktiviti ekonomi, bahkan juga akan memberi peluang perniagaan dan pekerjaan seperti sembilan projek berimpak tinggi bernilai RM6.7 billion, projek menaik taraf Jalan Tun Razak bernilai RM900 juta, projek menaik taraf jalan di kawasan penempatan Felda bernilai RM200 juta, projek memperbaiki jalan berjumlah jarak 700 km di seluruh negara bernilai RM1.4 billion, projek mempermodenkan sektor pertanian bernilai RM5.3 billion, dan projek MRT bernilai RM28 billion.

Untuk mendapat sokongan dari rakyat di Sawarak dan Sabah, pengguna Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang menelan belanja lebih dari RM20 billion tidak akan tidak dikenakan sebarang bayaran tol. Tarikan lain adalah di dalam bentuk bayaran BR1M, baucar buku kepada pelajar, bantuan persekolahan kepada keluarga miskin, program e-Rezeki dan e-Usahawan, pembinaan 175,000 unit rumah PR1MA, pinjaman mikro kepada peniaga kecil dan sederhana, program kebajikan dan pembangunan komuniti Orang Asli dan penambahan kepada beberapa jenis potongan cukai.

Namun, sama ada sentimen rakyat akan menjadi positif sepenuhnya akibat bajet ini boleh dipertikaikan. Ini kerana kerajaan juga telah mengurangkan peruntukan kepada banyak kementerian yang akan menjejaskan kebajikan banyak golongan. Antara lain ialah pemotongan peruntukan untuk Kementerian Pendidikan Tinggi sebanyak RM2.4 billion yang mengakibatkan peruntukan untuk universiti-universiti dikurangkan sebanyak RM1.442 billion. Yuran pengajian pada peringkat ijazah tinggi besar kemungkinan akan terpaksa dinaikkan selepas ini. Yang paling teruk terjejas ialah Universiti Malaya yang dipotong peruntukan sebanyak 27.3 peratus.

Kementerian Komoditi dan Perladangan juga telah mengalami pemotongan peruntukan sebanyak 60.76 peratus. Kesannya akan dirasai oleh pengguna kerana harga minyak masak kemungkinan besar akan naik akibat pengurangan subsidi. Pemotongan kepada Kementerian Pengangkutan besar kemungkinan akan mengakibatkan kenaikan harga tiket keretapi dan kapalterbang dari beberapa tempat pendalaman.

Pemotongan peruntukan kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air akan mengurangkan subsidi bil elektrik yang akan memberi kesan kepada keluarga miskin yang menggunakan elektrik kurang dari RM20 sebulan. Pemotongan peruntukan lain yang agak memeranjatkan ialah peruntukan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang melibatkan agensi penting seperti MIDA, MPC, MATRADE, dan SME Corp. Pemotongan sebanyak 44 peratus kepada MATRADE adalah memeranjatkan kerana kerajaan di dalam proses menandatangani perjanjian TPPA.

Bantuan kepada pengeksport adalah sangat penting apabila persaingan dalam pasaran antarabangsa menjadi lebih sengit nanti. Pemotongan peruntukan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pula adalah tidak secocok dengan laungan kerajaan tentang keprihatinan mereka kerana ia melibatkan program Vaksinasi HPV dan program Mammogram.

Satu perkara yang sangat merunsingkan ialah, walaupun banyak pemotongan dilakukan kepada pelbagai peruntukan yang penting, namun peruntukan untuk Jabatan Perdana Menteri telah ditambah lebih dari RM1 billion. Perdana Menteri patut memberi penjelasan kerana jika tidak, ini akan menimbulkan persoalan kenapakah wang tersebut tidak diagihkan secara terus kepada berbagai kementerian kerajaan sebagai badan pelaksana program kerajaan untuk manfaat masyarakat? Tanpa penjelasan yang munasabah, ramai akan bertanggapan bahawa apa yang sedang berlaku ialah Perdana Menteri ingin membolot semua kredit daripada perbelanjaan kerajaan untuk tujuan mengukuhkan kedudukan politik beliau.

Seterusnya aspek yang membimbangkan belanjawan ini ialah ianya masih lagi belanjawan defisit sebanyak 3.1 peratus, yang bermakna kerajaan Malaysia sudah melaksanakan belanjawan defisit selama 18 tahun berturut-turut. Dalam kaedah Islam, hutang sepatutnya diselesaikan segera dan bukan ditangguhkan. Lebih teruk lagi ialah ianya ditambahkan. Tetapi di dalam kes belanjawan negara kita, walaupun nisbah hutang kerajaan berbanding KNK negara naik sedikit sahaja ke 55 peratus (berbanding 54 peratus), namun ini bermakna hutang terkumpul semakin meningkat.

Berdasarkan ramalan IMF, jumlahnya akan menghampiri RM1 trillion pada tahun 2020. Ini bermakna kerajaan akan tertekan untuk mencari sumber dana untuk menyelesaikan beban hutang ini dan oleh itu, besar kemungkinan ianya akan datang dalam bentuk kadar GST yang semakin meningkat. Inilah realiti yang sedang berlaku di negara lain. Sebagai contoh di Jepun, kadar GST nya yang dahulu hanya 5 peratus telah meningkat menjadi 8 peratus sekarang dan dirancang untuk dinaikkan ke tahap 10 peratus pada tahun hadapan.

Hutang isi rumah dijangkakan akan meningkat juga. Pada tahun 2014, nisbah kepada KNK adalah 87 peratus. Oleh itu, adalah dianggarkan pada tahun 2015, ianya sudah melepasi angka RM1 trillion. Ini adalah satu situasi yang membahayakan kerana jika berlaku kejatuhan ekonomi dunia yang memberi kesan kepada ekonomi Malaysia, ramai keluarga akan terkesan dengan hebat.

Respon rakyat kepada bajet ini mungkin bercampur-campur. Bagi yang sangat banyak mendapat faedah, seperti penduduk di Sabah dan Sarawak, sudah tentu mereka akan gembira dengan bajet ini. Begitu juga kumpulan lain seperti ahli beberapa NGO yang akan mendapat peruntukan sebanyak RM160 juta, usahawan yang mendapat manfaat secara langsung dari program TEKUN, dan mereka yang mendapat duit bantuan BRIM. Mereka semua akan berasa terhutang budi kepada kerajaan kerana bajet mempunya banyak aspek yang memberikan duit secara terus ke dalam poket mereka.

Namun, ada kemungkinan lambat laun mereka akan berasa tidak puas hati apabila menyedari bahawa mereka masih lagi terpaksa membayar GST setiap kali berbelanja di restoran dan supermarket (pasar raya), dan juga terpaksa membayar kenaikan kos tol (bagi mereka yang menggunakan lebuh raya). Mereka juga mungkin akan berasa tidak puas hati apabila kos kehidupan naik akibat daripada inflasi.

Sebenarnya walaupun cukai GST, tol dan sebagainya memberi kesan kepada kenaikan kos kehidpuan, namun punca utama kepada kenaikan kos kehidupan adalah sebenarnya sistem kewangan yang kita amalkan di negara kita yang berasaskan kepada amalan riba. Sistem ini akan menggalakan orang untuk berhutang.

Apabila jumlah hutang meningkat dengan cepat, jumlah wang juga akan meningkat dan sudah tentu inflasi akan berlaku. Ini adalah satu fenomena yang berlaku hampir di kesemua negara yang beramal dengan sistem riba termasuk di negara maju. Jika masih ramai yang terus berhutang untuk membeli rumah dan lain-lain, ini bermakna harga rumah dan barang lain akan terus naik dan akan memberi kesan kepada kos kehidupan mereka.

Tetapi rakyat yang kurang faham bagaimana sistem kewangan boleh menghasilkan masalah ini akan mengaitkan masalah kenaikan kos kehidupan secara langsung dengan beberapa perkara sahaja iaitu tren kejatuhan ringgit, tren pengurangan subsidi dan pelaksanaan GST oleh kerajaan.

Tambahan pula, ada banyak berita di media sosial dan Internet yang melaporkan tuduhan pembaziran dan ketirisan di pihak kerajaan yang menghasilkan keadaan di mana hanya segelintir daripada rakyat yang berpengaruh mendapat habuan yang sangat banyak sedangkan sebahagian besar yang lain hidup dalam keadaan susah dan melarat. Sudah tentu ini akan membuat rakyat bertambah tidak puas hati kerana mereka akan merasakan mereka telah dizalimi.

Jika perasaan ini meluas dalam kalangan rakyat, sudah tentu mereka akan menuntut agar berlaku perubahan dalam masyarakat, terutama dari aspek kuasa politik. Adalah diharapkan perasaan tidak puas hati ini tidak akan menghasilkan suasana kacau-bilau yang akan merugikan semua pihak tanpa mengira bangsa dan agama.

Apa yang dapat dirumuskan ialah, sebenarnya Bajet 2016 tidak akan mampu menangani masalah dan cabaran ekonomi yang sedang dan akan dihadapi oleh negara kita. Cabaran yang dihadapi oleh kerajaan adalah sebenarnya sangat serius dan perlu kepada beberapa langkah penting dalam jangka pendek dan panjang. Dalam jangka pendek, kerajaan perlu melakukan perkara berikut:

I. Menambahkan kadar ketelusan dalam pengurusan kewangan kerajaan. Dengan cara ini, perasaan syak wasangka dan tidak puas hati dalam kalangan rakyat akan dapat dikurangkan atau dihapuskan sama sekali.

II. Elemen pembaziran dan ketirisan dalam pentadbiran kewangan kerajaan, serta amalan korupsi dan penyalahgunaan kuasa mesti dihapuskan dengan serta-merta.

III. Pelaksanaan projek kerajaan mestilah dilihat dilaksanakan dengan cara yang adil. Keadaan di mana persepsi bahawa hanya segelintir dari masyarakat yang mempunyai hubungan politik sahaja mendapat faedah dan manfaat dari perbelanjaan kerajaan mesti diatasi. Persepsi itu sekarang ini amat meluas dan selagi ianya tidak ditangani dengan berkesan, akan menimbulkan suasana tidak puas hati yang berleluasa dalam kalangan masyarakat.

Dalam jangka panjang, perubahan-perubahan di atas masih tidak akan menjamin kesejahteraan di dalam masyarakat. Daripada apa yang kita dapat lihat di negara lain, sebenarnya langkah meningkatkan pendapatan negara sahaja tidak akan mampu menjamin kesejahteraan hidup kepada rakyat. Sebagai contoh, di negara berpendapatan tinggi seperti Greece, Sepanyol, Amerika, Britain dan Jepun, ramai dari kalangan rakyat mereka hidup dalam keadaan sengsara.

Sebagai contoh di Amerika Syarikat, lebih dari 17 peratus rakyat adalah dalam golongan miskin, di Jepun ialah lebih dari 15 peratus, di Sepanyol ialah 21 peratus dan di Greece ialah 30 peratus. Kerajaan di negara tersebut juga banyak memotong peruntukan kerana hutang kerajaan mereka juga amat tinggi. Sebagai contoh, nisbah hutang kerajaan Jepun berbanding KNK adalah hampir 250 peratus , di Amerika Syarikat ialah 96 peratus, di UK ialah 97 peratus, Sepanyol 97.2 peratus, dan Greece ialah 158 peratus (berbanding 55 peratus di Malaysia).

Oleh itu, kerajaan negara tersebut juga telah terpaksa melakukan pemotongan kepada perbelanjaan dan akibatnya ramai golongan miskin merana. Kes gelandangan di negara-negara di atas adalah serius, bahkan lebih serius berbanding Malaysia.

Hakikat sebenar ialah selagi amalan riba berleluasa dalam masyarakat, kesejahteraan dari segi ekonomi tidak akan dapat dicapai. Oleh itu, dalam jangka panjang kita juga wajib mematuhi ajaran al-Quran berkenaan riba. Sistem kewangan yang berasaskan kepada amalan riba mesti dihapuskan. Selagi sistem ini berleluasa dan berkembang dengan pesat, selagi itulah masalah ekonomi dan kewangan masyarakat tidak akan dapat diselesaikan dan lambat laun kita akan mengalami masalah ekonomi yang dihadapi oleh negara lain juga.

Namun sistem kewangan riba ini tidak akan dapat dihapuskan jika nilai masyarakat adalah nilai yang berasaskan kepada kebendaan, keduniaan dan kemewahan. Nilai-nilai tersebutlah yang diamalkan di Eropah dan akibatnya, sistem kewangan berasaskan riba dapat berkembang dengan maju dan seterusnya menghasilkan pelbagai masalah yang dihadapi mereka sekarang.

Oleh itu, disamping mewujudkan sistem pemerintahan yang adil, telus, demokratik dan saksama, kita juga semua mesti berusaha untuk menanamkan nilai Islam yang sebenar dalam masyarakat di mana rakyat bukan berlumba-lumba mencari kekayaan dunia tetapi berlumba-lumba mengejar pahala dengan cara berinfaq dan amal solih yang lain.

Dengan cara inilah, sebuah sistem ekonomi dan kewangan yang berteraskan ajaran Islam yang sebenar akan dapat diwujudkan, di mana institusi Waqf menggantikan institusi perbankan sebagai institusi terpenting dalam sistem ekonomi. Insya-Allah, dengan itu kita dan juga generasi akan datang akan dapat menikmati kesejahteraan hidup yang sebenar di negara kita yang tercinta ini.

Penulis:
Prof Dr Mohd Nazari Ismail
Ketua Biro Penyelidikan
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia