Kira-kira 50 aktivis Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) termasuk ABIM, GEMA dan IKRAM Siswa turut serta dalam sesi penyerahan memorandum terbabit.
Turut hadir di hadapan kedutaan Mesir adalah Naib Presiden IKRAM, Hj Shahrul Aman Mohd Saari, Setiausaha Agung IKRAM, Hj Nahar Md Nor dan Setiausaha Agung ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz.
Namun, usaha menyerahkan memorandum tersebut mendukacitakan apabila harus menunggu lebih kurang 15 minit dan lebih menghampakan tiada wakil dari pihak kedutaan tampil menerima memorandum tersebut.
Memorandum itu diminta diletakkan di dalam peti surat oleh Shahrul Aman yang kemudiannya isi memorandum tersebut dibacakan di hadapan para aktivis NGO yang hadir.
Wakil IKRAM, Ustaz Abd Haris Bain yang ditemui menyatakan beliau sedikit kecewa kerana pihak Kedutaan Mesir sekali lagi seperti tidak mengendahkan dengan usaha mereka.
Penyerahan memorandum tersebut dijalankan berikutan keputusan hukuman penjara 20 tahun ke atas Dr Mohamed Morsi yang dijangka akan dilaksanakan oleh kerajaan kudeta Mesir pada 15 atau 16 Mei 2015 ini.
Selain membantah hukuman penjara, memorandum tersebut turut menuntut Presiden Morsi dan ribuan rakyat yang dipenjarakan secara zalim dibebaskan serta dikembalikan hak rakyat serta sokongan antarabangsa terhadap kerajaan haram Al-Sisi mesti dihentikan.
Memorandum turut menyeru semua penyokong keadilan dan pencinta demokrasi untuk bersama sehati dan sejiwa dengan rakyat Mesir, mengiktiraf perjuangan mereka dan mengembalikan semula hak mereka memilih sendiri pemimpin secara demokratik.
Dr Morsi merupakan pemimpin pertama di Mesir yang memenangi pilihan raya dan dilantik secara demokratik dalam sejarah Mesir namun digulingkan melalui rampasan kuasa oleh rejim Abdel Fattah al-Sisi pada 3 Julai 2013.