Untuk makluman semua, Dr Hjh Fauziah Mohd Hasan yang kita kasihi saat ini sedang memasuki fasa terakhir dalam misi pelayaran memecah kepungan Israel ke atas Gaza dan dijangka akan memasuki perairan Gaza subuh esok (waktu tempatan), 5 Oktober 2016 (kira-kira jam 11 pagi waktu Malaysia).
Kapal misi ini bernama Zaytouna membawa 13 orang serikandi berjiwa besar dari 13 buah negara mengharungi lautan luas demi memastikan nasib rakyat Palestin terus mendapat perhatian dan pembelaan dunia.
Kapal Zaytouna mempunyai SATU tujuan sahaja iaitu menghentikan kepungan Israel ke atas Gaza kerana Zaytouna percaya rakyat Gaza berhak menikmati kebebasan dan keadilan seperti mana manusia lain.
Sementara itu, Dr Fauziah turut membalas kenyataan pihak Israel semalam yang akan menahan kapal itu untuk meneruskan pelayaran ke Gaza. Menurutnya, segala persediaan sedang dibuat sehingga ke saat-saat terakhir dan sebarang kemungkinan akan dihadapi dengan bijak dan tenang.
“Anak-anak kapal Zaytouna sudah bersiap sedia untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan sekiranya kami dihalang oleh tentera Israel. Zaytouna memilih jalan aman; tanpa provokasi dan konfrontasi. Mesejnya adalah cinta, keamanan dan kemanusiaan. Prinsipnya adalah menolak keganasan. Krew dan anak kapal kesemuanya wanita dan terlatih dengan pendekatan aman,” katanya.
“Aman di sini bukan bermaksud lemah. Aman bahkan adalah pilihan strategik. Tentera yang asyik dengan kezaliman akan kekok dan buntu berdepan dengan keamanan.”
Selaku seorang Muslim, wajib ke atas kita bersama-sama memperjuangkan isu Palestin dan kita harus melakukan sesuatu dalam membantu usaha-usaha ini.
IKRAM dengan ini menyeru agar semua ahli di seluruh negara:
1. Menganjurkan Solat Hajat Perdana di semua peringkat Negeri dan Kawasan agar Dr Fauziah dan misi ini diberikan keselamatan dan kemudahan oleh Allah SWT.
2. Menyebarluaskan info dan maklumat berkenaan misi ini melalui jaringan masing-masing agar masyarakat umum cakna dan turut sama membantu.
3. Bersama-sama membantu menggerakkan MyCARE di Negeri dan Kawasan menjalankan kempen dan program untuk menguar-uarkan misi ini.
Hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalas pengorbanan antum dalam membantu menggalas tugas ini dan semoga kita istiqamah dalam jalan ini agar semua menemui pencipta kita dalam keadaan masih berjuang dan berjihad pada jalan Allah.
Kepada Allah kita bertawakkal dan berserah.
Wassalam.
Daripada:
Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia
4 Oktober 2016