Kita mungkin berbangga dengan apa yang kita kecapi hasil titik peluh kita sendiri, contohnya pangkat, harta dan populariti. Namun tanpa kita sedari, ada satu nikmat sebenarnya yang jauh lebih besar kita terima tanpa pernah kita usahakan sendiri. Itulah kemerdekaan negara Malaysia yang kita cintai.
Bukankah kita lahir dalam keadaan bendera telah berkibar, kerajaan telah berdaulat, sistem pemerintahan telah kukuh dan kehidupan masyarakat telah jauh berubah daripada pengalaman nenek moyang kita terdahulu?
Begitulah halnya dengan keharmonian yang kita nikmati pada hari ini. Ia bukan sesuatu yang hadir dengan sendirinya. Di belakang keharmonian tersebut terdapat sejarah panjang perjuangan, pengorbanan, kesusahan, kesakitan dan kesedihan yang dilalui oleh generasi sebelum kita.
Bagi mereka yang hidup sebelum kemerdekaan, kebebasan bukan sekadar sebuah perkataan yang diucapkan dengan mulut. Lebih daripada itu, ia merupakan sesuatu yang diperjuangkan dalam keadaan yang serba terbatas seketika dahulu. Ada yang mengorbankan masa, tenaga, harta, kedudukan bahkan keselamatan diri demi melihat bangsa kita mempunyai hak menentukan masa depan sendiri di tanah air tercinta.
Perjuangan panjang bagi menuntut kemerdekaan itu tidak berlaku dalam satu bentuk, atau melalui satu kelompok sahaja. Ia lahir daripada pelbagai lapisan masyarakat, sama ada tua ataupun muda, lelaki mahupun wanita, kaya atau miskin.
Mereka semua, dalam keadaan dan cara masing-masing, berusaha menghadapi tekanan penjajahan serta membina kesedaran tentang maruah, pendidikan, agama, bangsa dan hak untuk menentukan kehidupan sendiri.
Erti kemerdekaan
Dengan segala mehnah dan cabaran tersebut, apakah sebenarnya erti kemerdekaan bagi generasi terdahulu sehingga mereka sanggup mengorbankan segalanya untuk memperjuangkan kemerdekaan?
Kemerdekaan bagi mereka mungkin bukan sekadar keadaan negara kita bebas daripada pemerintahan kuasa asing. Saya berpandangan, kemerdekaan bagi nenek moyang kita adalah darah, keringat dan air mata yang wajar dicurahkan demi membuka ruang kepada kita untuk menentukan kehidupan dan masa depan sendiri.
Dengan kata lain, masyarakat yang merdeka bukan sekadar bebas daripada penguasaan orang lain, tetapi memiliki jati diri, ilmu, kompetensi dan wawasan untuk mengurus kehidupan serta menentukan hala tuju masa depan.
Oleh sebab itu, kebebasan tanpa jati diri, ilmu, kompetensi dan wawasan hanya akan melahirkan bentuk kebergantungan yang baharu. Kemerdekaan akhirnya menuntut manusia yang mampu berdiri dengan kekuatan sendiri, membina kesejahteraan, menyelesaikan masalah, mengembangkan ilmu dan ekonomi serta mempertahankan nilai yang menjadi asas kehidupannya.
Pandangan saya ini dibina berdasarkan beberapa tulisan tokoh terdahulu seperti Za’ba dan Onn Jaafar. Za’ba, misalnya, berulang kali menekankan kepentingan pendidikan, usaha memperbaik taraf ekonomi dan pembentukan sahsiah sebagai jalan untuk membebaskan masyarakat daripada kemunduran dan sikap bergantung kepada orang lain.
Bagi beliau, kemajuan bukan semata-mata persoalan bantuan yang diterima, tetapi kemampuan seseorang untuk mempercayai kebolehan sendiri dan berusaha memperelok kehidupan. Di sisi yang lain, Dato’ Onn Jaafar melihat kemerdekaan dalam kerangka yang lebih luas sebagai kemampuan untuk membina pemerintahan sendiri dan melihat kepentingan masa depan negara melampaui kepentingan kelompok yang sempit.
Tanggungjawab yang diwariskan
Justeru, kemerdekaan yang diwariskan kepada kita bukan sekadar sebuah negara berdaulat, tetapi merupakan ruang dan peluang untuk kita menentukan serta mencorak masa depan sendiri. Setiap generasi mempunyai kewajipan terhadap generasi selepasnya. Generasi terdahulu telah memikul kewajipan mereka dengan membebaskan tanah air dan membuka ruang kepada kita untuk hidup dalam keadaan yang bebas daripada penjajahan.
Setelah ruang itu terbuka, kewajipan tersebut sepatutnya tidak terhenti, sebaliknya berpindah kepada kita dalam bentuk yang berbeza. Kita tidak lagi dituntut mengangkat senjata untuk merebut kemerdekaan. Malah kita perlu mengisi, memelihara dan mempertahankan segala nilai serta kemampuan yang memungkinkan kemerdekaan itu terus hidup.
Justeru, menjadi pewaris kemerdekaan bukan sekadar menerima manfaatnya, tetapi memikul tanggungjawab untuk mewariskannya semula kepada generasi penerus. Kewajipan ini bukan lagi tentang apakah yang kita nikmati daripada kemerdekaan, tetapi apakah yang akan kita tinggalkan kepada anak-anak kita.
Di sinilah kewajipan generasi kita menemukan coraknya yang tersendiri, bukan lagi di medan peperangan, bertarung antara hidup dan mati seperti dahulu kala, tetapi di medan pembinaan generasi yang mampan.
Dalam konteks inilah, keluarga, khususnya ibu bapa, mempunyai peranan yang sangat penting kerana kita percaya rumah adalah madrasah pertama, tempat bermulanya proses membentuk manusia yang akan menentukan masa depan negara.
Peranan keluarga sebagai pewaris kemerdekaan
Seperti yang telah dinyatakan di atas, kemerdekaan yang diwariskan kepada kita bukan sekadar kebebasan daripada pemerintahan kuasa asing, tetapi ruang dan peluang untuk menentukan kehidupan serta mencorak masa depan sendiri.
Inilah yang dapat kita fahami dan kita gelar sebagai kemerdekaan substantif, suatu konsep kemerdekaan yang kita mahu hayati melalui artikel ini, berbeza daripada kemerdekaan formal, kemerdekaan politik, yang merujuk kepada kebebasan daripada penjajahan asing.
Penting untuk kita sedari, ruang dan peluang (kebebasan) yang datang bersama dengan kemerdekaan substantif tersebut tidak dengan sendirinya menjadikan seseorang itu atau sesebuah masyarakat mampu berdikari. Bahkan kebebasan perlu diisi dengan jati diri, ilmu, kompetensi dan wawasan agar ia dapat diterjemahkan kepada kemampuan mengurus kehidupan, membina kesejahteraan dan menentukan hala tuju sendiri.
Justeru, mempertahankan kemerdekaan bukan hanya soal mempertahankan kedaulatan negara, tetapi juga memastikan setiap generasi yang mewarisinya memiliki keupayaan mengisi dan memanfaatkan ruang yang telah dibuka oleh generasi terdahulu.
Dalam konteks inilah, keluarga sebenarnya mempunyai kedudukan yang signifikan dalam rangkaian pewarisan kemerdekaan dan perlu memainkan peranan yang penting sebagai salah satu mata rantai yang akan memastikan kemerdekaan itu terus diisi, dipelihara dan diwariskan kepada generasi seterusnya.
Sebelum anak mengenal sekolah, negara atau masyarakat, dia terlebih dahulu akan mengenal dunia melalui keluarganya. Dengan itu, rumah menjadi ruang pertama tempat anak melihat bagaimana manusia hidup, berinteraksi, bekerja, bertanggungjawab dan menyelesaikan persoalan kehidupan. Ibu bapa pula menjadi teladan pertama yang diperhatikan dan ditiru.
Jati diri tidak semestinya dibina melalui ceramah yang panjang, budaya ilmu tidak semestinya bermula dengan sukatan pelajaran, dan kemandirian tidak semestinya diajarkan melalui teori yang rumit. Banyak perkara yang lebih penting dalam pembentukan seorang anak sebenarnya tumbuh daripada contoh yang berulang dalam kehidupan sehari-hari.
Bagaimana ibu bapa bercakap, bekerja dan menghormati orang lain? Bagaimana mereka menghadapi kesukaran, mengurus wang yang terhad, menyelesaikan masalah peribadi dan keluarga, menepati janji serta memikul tanggungjawab tanpa melengahkannya?
Semua itu menjadi suatu bentuk pembelajaran melalui teladan. Anak-anak mungkin lupa apa yang pernah dipesan kepada mereka, bahkan mungkin tidak mengingati banyak perkara yang dipelajari di sekolah, tetapi mereka selalunya akan mengingati apa yang mereka lihat dilakukan oleh ibu bapa mereka.
Oleh sebab itu, keluarga sebagai “sekolah” tidak harus difahami sebagai institusi pendidikan yang formal. Keluarga ialah tempat nilai dihidupkan, bukan sekadar diajarkan. Anak belajar tentang kesungguhan apabila melihat ibu bapanya tekun bekerja. Mereka belajar tentang tanggungjawab apabila diberikan amanah dan dibiasakan melaksanakannya.
Mereka juga belajar tentang kesederhanaan apabila melihat bagaimana keluarga mengurus keperluan dan kehendak, di samping terus belajar tentang kemandirian apabila ibu bapa tidak segera menyelesaikan setiap masalah bagi pihak mereka. Dalam suasana seperti inilah kompetensi berkembang secara semula jadi dan wawasan mula terbentuk melalui pengalaman hidup.
Suatu perkara yang hampir pasti terjadi, tidak semua keluarga mempunyai kemampuan, latar belakang atau sumber yang sama untuk menjadi “sekolah” mahupun “guru”. Sehubungan dengan itu, kita tidak seharusnya menetapkan satu bentuk keluarga yang ideal lalu mengukur semua ibu bapa dengan ukuran yang sama.
Apa yang lebih penting ialah kesedaran bahawa setiap keluarga mempunyai peranan dalam membentuk generasi, mengikut kemampuan dan keadaan masing-masing. Apa yang tidak mampu dilakukan oleh sesebuah keluarga boleh dilengkapi oleh keluarga yang lain, komuniti, sekolah, pertubuhan masyarakat dan kerajaan.
Dalam kerangka ini, kerajaan berperanan menyediakan sistem dan ruang pembangunan, keluarga membentuk manusia yang mampu memanfaatkannya, manakala masyarakat memperluas dan memperkukuh pembentukan tersebut melalui kehidupan bersama.
Jiran, komuniti penduduk, masjid, persatuan dan pelbagai ruang sosial menjadi tempat anak-anak mengamalkan nilai yang dipelajari di rumah, belajar memikul tanggungjawab dan berinteraksi dengan orang lain.
Dengan demikian, keluarga membentuk asas manusia, masyarakat membina lingkungan yang menyokongnya, dan kerajaan menyediakan sistem yang memungkinkan semua itu berkembang. Ketiga-tiganya saling melengkapi dalam membina masyarakat yang bukan sekadar bergantung kepada kerajaan, tetapi turut mampu menyumbang dan bersama-sama memajukan negara.
Penutup: Wariskan kemerdekaan
Akhirnya, mewariskan kemerdekaan kepada anak-anak bukan bererti sekadar memastikan mereka lahir selamat dan membesar dengan sihat dalam sebuah negara yang merdeka. Lebih daripada itu, kita perlu mewariskan keupayaan untuk hidup sebagai manusia yang bebas, mempunyai jati diri, gemar mencari ilmu, mampu berdikari, cekap menghadapi cabaran dan mempunyai wawasan untuk menentukan masa hadapan.
Hal ini menjadi semakin penting ketika masyarakat berdepan dengan suasana sosial maya dan politik yang tidak sentiasa tenang. Apabila tekanan hidup semakin menghimpit, ruang media sosial diprovokasi dengan kata-kata kesat, isu-isu sensitif berkaitan agama, bangsa dan institusi raja yang secara semberono dieksploitasi demi kepentingan politik, lalu menampakkan titik-titik rapuh dalam kematangan sosial kita.
Dalam keadaan seperti ini, kita perlu bertanya, adakah generasi yang sedang kita besarkan hari ini akan mempunyai kekuatan untuk berfikir dengan waras, menjaga adab ketika berbeza pandangan, tidak mudah diperalatkan dan tidak menjadikan kemarahan sebagai cara menyelesaikan masalah?
Anak-anak kita kelak akan mewarisi bukan sahaja negara yang kita bina, tetapi juga budaya masyarakat yang kita bentuk pada hari ini. Apabila keluarga berjaya melahirkan manusia yang berjati diri, berilmu, matang dan mampu berdiri dengan kekuatan sendiri, mereka bukan sahaja lebih bersedia menghadapi dunia, bahkan mampu menjadi anggota masyarakat yang menyumbang kepada kestabilan dan kemajuan negara.
Dengan demikian, keluarga dalam konteks kemerdekaan kita pada tahun 2026 ini bukan lagi sekadar penerima hasil kemerdekaan daripada leluhur terdahulu, malah mereka selayaknya menjadi pewaris, penjaga dan penyambung kemerdekaan yang kita muliakan.
Merdeka… Merdeka… Merdeka… Wa lillahil hamd (kepada Allah segala pujian).
Selamat Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
“Malaysia Madani: Kesejahteraan Dinikmati”
“Wariskan Hormat, Tinggalkan Prasangka”
Dr Amer Hudhaifah Hamzah
Ahli Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN)




