Setiap kali bulan Ogos menjelang, jalan raya mula dihiasi dengan kibaran Jalur Gemilang. Lagu patriotik kembali berkumandang. Sekolah, pejabat dan kawasan perumahan berlumba-lumba menyemarakkan sambutan kemerdekaan.
Kita mengingati jerih payah generasi terdahulu membebaskan tanah air daripada penjajahan. Namun, setelah puluhan tahun berdiri sebagai sebuah negara merdeka, terdapat satu pertanyaan yang perlu kita jawab dengan benar, adakah hanya tanah air kita yang sudah merdeka, sedangkan pemikiran, sikap dan jiwa kita masih terjajah?
Kemerdekaan bukan semata-mata peristiwa menurunkan bendera penjajah dan menaikkan bendera sendiri. Kemerdekaan ialah keberanian membebaskan manusia daripada segala bentuk penindasan, ketakutan, kebodohan dan penghambaan.
Negara boleh memiliki kerajaan sendiri, lagu kebangsaan sendiri dan sempadan sendiri, tetapi rakyatnya belum benar-benar merdeka jika masih takut menyatakan kebenaran, mudah diperalatkan, malas mencari fakta dan membiarkan kebencian menguasai pertimbangan.
Barangkali, negara sudah tidak lagi dijajah oleh kuasa asing, tetapi sebahagian daripada kita sedang dijajah oleh sentimen. Apabila satu berita diterima melalui WhatsApp, seseorang itu terus menyebarkannya tanpa menyemak.
Apabila satu video dipotong dan dimuat naik dengan tajuk menghasut, dirinya terus marah, melenting. Apabila seseorang berbeza parti, kaum, agama atau pandangan, mereka cepat menganggapnya musuh.
Keadaannya seolah-olah jari bergerak lebih pantas daripada akal, manakala emosi mendahului pertimbangan. Inilah penjajahan bentuk baharu yang tidak memerlukan tentera atau kapal perang. Ia hanya memerlukan masyarakat yang enggan berfikir.
Merdeka sepatutnya…
Lebih membimbangkan, kebencian kadangkala dijual atas nama cinta kepada agama dan bangsa. Kita dimomokkan bahawa sesuatu kaum mahu menguasai negara, sesuatu agama sedang terancam atau jiran yang berbeza kepercayaan mesti sentiasa dicurigai.
Akhirnya, rakyat yang sepatutnya bekerjasama membina negara dipecahkan oleh mereka yang mendapat keuntungan daripada ketakutan. Kita sibuk bergaduh sesama sendiri, sedangkan rasuah, kemiskinan, keciciran pendidikan, kerosakan alam dan ketidakadilan terus berleluasa di hadapan mata.
Merdeka sepatutnya menjadikan kita lebih berani melawan rasuah, bukan hanya berani melaungkan slogan. Rasuah ialah penjajahan terhadap hak rakyat. Setiap ringgit yang dicuri daripada wang awam mungkin bermakna sebuah sekolah tidak dapat dibaiki, sebuah klinik kekurangan kemudahan atau sebuah keluarga miskin terlepas daripada menerima bantuan.
Anehnya, ada orang membenci rasuah apabila dilakukan pihak lawan, tetapi diam apabila pelakunya datang daripada kelompok sendiri. Jika prinsip berubah mengikut warna bendera parti, itu bukan kemerdekaan fikiran. Itu kesetiaan yang telah memperhambakan kewarasan.
Kemiskinan pemikiran
Kita juga belum merdeka selagi kemiskinan pemikiran terus diraikan. Kemiskinan pemikiran bukan bermaksud seseorang tidak memiliki sijil tinggi. Ia berlaku apabila manusia enggan membaca, takut bertanya, menolak fakta dan menganggap perbezaan pandangan sebagai penghinaan.
Mereka yang berpendidikan juga boleh menjadi miskin pemikiran sekiranya hanya mencari maklumat yang mengukuhkan kepercayaannya, lalu menolak semua perkara yang tidak disukainya.
Pendidikan sebenar bukan mengajar kita menghafal jawapan, tetapi melatih kita membezakan antara fakta dengan fitnah, hujah dengan hasutan, serta kebenaran dengan kepentingan.
Realitinya, penjajahan digital turut menjadi ancaman besar. Telefon di tangan yang sepatutnya membuka pintu ilmu boleh bertukar menjadi pintu manipulasi. Pada masa yang sama, algoritma memerhatikan apa yang kita suka, apa yang kita benci dan apa yang membuatkan kita marah.
Ia terus “menjajah” pemikiran kita dengan menyuapkan kandungan serupa berulang kali sehingga kita menyangka seluruh dunia berfikir seperti kita. Tanpa sedar, kita tinggal di dalam bilik gema ciptaan teknologi. Kita berasa bebas memilih, sedangkan pilihan kita sedang dibentuk oleh sistem yang mahu mengekalkan perhatian demi keuntungan.
Apakah kemerdekaan sebenar?
Kemerdekaan digital bermula apabila kita kembali menguasai teknologi, bukannya dikuasai olehnya. Kita perlu belajar berhenti sebelum berkongsi, membaca sebelum menghukum dan menyemak sebelum mempercayai.
Tidak semua perkara yang tular itu benar. Tidak semua orang yang lantang itu berilmu. Tidak semua kandungan yang menggunakan ayat agama membawa akhlak agama. Kadangkala, diam sementara untuk menyelidik lebih patriotik daripada tergesa-gesa menyebarkan sesuatu yang boleh memecah-belahkan masyarakat.
Dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama, kemerdekaan juga bererti kesediaan hidup bersama secara bermaruah. Islam mengajar prinsip fiqh muwatanah, iaitu kefahaman tentang tanggungjawab kewarganegaraan dalam sebuah negara yang dikongsi bersama.
Menjadi Muslim yang baik tidak bermakna kita perlu menjauhkan, menghina atau menzalimi orang yang berbeza. Sebaliknya, keimanan seharusnya menjadikan kita lebih adil, amanah dan mampu membawa rahmat kepada semua.
Hakikatnya, kepelbagaian adalah wajah Malaysia. Kita memiliki bahasa, makanan, pakaian, adat dan rumah ibadat yang berbeza, tetapi berkongsi jalan raya, sekolah, hospital, tempat kerja, pasaran dan masa depan yang sama.
Sambutan bulan kemerdekaan berupaya memperkukuh identiti Malaysia melalui penghargaan terhadap kepelbagaian budaya, agama dan etnik. Ia bermaksud, mencintai negara tidak menuntut kita menjadi serupa. Ia menuntut kita belajar menghormati perbezaan tanpa kehilangan identiti sendiri.
Mari memerdekakan fikiran!
Selain itu, patriotisme bukan hanya berdiri tegak ketika lagu Negaraku dimainkan. Patriotisme adalah tidak membuang sampah sesuka hati, tidak memotong barisan, tidak memberi rasuah, tidak menipu dalam pekerjaan dan tidak menyebarkan fitnah.
Patriotisme ialah membantu jiran yang ditimpa kesusahan meskipun berbeza agama. Patriotisme adalah memastikan anak-anak mengenali sejarah negara tanpa mewarisi kebencian generasi terdahulu. Patriotisme juga bermaksud berani menegur pemimpin secara beradab dan berani mempertahankan kebenaran walaupun melibatkan kelompok sendiri.
Pada bulan kemerdekaan ini, janganlah kita hanya menukar gambar profil dan memasang bendera. Marilah kita memerdekakan fikiran daripada kebencian, fanatisme, rasuah, ketakutan dan kebodohan yang disengajakan.
Bacalah sebelum percaya. Semaklah sebelum berkongsi. Dengar sebelum menghukum. Berbeza tanpa menghina. Berpolitik tanpa memutuskan persaudaraan. Beragama tanpa kehilangan rahmah.
Kemerdekaan yang sebenar berlaku apabila manusia tidak lagi mudah diperalatkan oleh kebencian. Ia tumbuh apabila rakyat berani berfikir, memilih berdasarkan ilmu, menghormati perbezaan dan mempertahankan keadilan untuk semua.
Jalur Gemilang yang dikibarkan mesti membawa makna di dalam jiwa, bahawa bumi ini milik bersama, keamanan ini tanggungjawab bersama dan masa depan ini perlu dibina bersama.
Kita sudah lama merdeka sebagai sebuah negara. Kini tiba masanya kita merdeka sebagai manusia.
Atriza Umar
Pegawai Kanan
Jabatan Pendidikan Masyarakat
Pertubuhan IKRAM Malaysia




