Kunjungan Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia ke Malaysia Perkukuh Agenda Kesatuan Ummah Berteraskan Wasatiyyah
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengalu-alukan kehadiran Syeikh Prof. Dr. Ali Muhyiddin al-Qaradaghi, Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia (KUMS) ke Malaysia sebagai suatu perkembangan positif dalam usaha memperkukuh hubungan antara institusi ulama, gerakan Islam dan masyarakat Islam di negara ini.
IKRAM merakamkan penghargaan terhadap kepimpinan dan sumbangan beliau dalam memperjuangkan kesatuan ummah, memperkukuh kewibawaan institusi ulama serta memartabatkan pendekatan wasatiyyah sebagai landasan penting dalam mendepani pelbagai cabaran umat Islam pada peringkat global.
Dalam hubungan ini, IKRAM turut menyambut baik usaha Syeikh al-Qaradaghi bersama KUMS dalam membangunkan Piagam Wasatiyyah yang berteraskan prinsip keadilan, keseimbangan, kesederhanaan, saling menghormati dan kesatuan ummah.
IKRAM berpandangan bahawa inisiatif tersebut berpotensi menjadi suatu kerangka persefahaman bersama yang dapat memperkukuh perpaduan umat Islam, merapatkan jurang perbezaan antara pelbagai aliran pemikiran dan gerakan Islam, serta membina kesepakatan berasaskan prinsip dan nilai Islam yang disepakati.
IKRAM menegaskan bahawa kesatuan ummah tidak semestinya menuntut keseragaman pandangan, sebaliknya perlu dibina atas asas saling menghormati, meraikan kepelbagaian dalam perkara yang dibenarkan syarak serta mengutamakan kepentingan dan kemaslahatan umat berlandaskan adab al-ikhtilaf.
Sehubungan itu, IKRAM menyeru agar usaha memperkukuh kerjasama strategik antara institusi ulama, pertubuhan Islam dan pelbagai pihak berkepentingan terus dipergiat, khususnya dalam memperkasakan agenda dakwah, tarbiah dan islah serta menangani cabaran umat secara berhikmah, bersepadu dan berkesan.
IKRAM berharap agar kunjungan Syeikh al-Qaradaghi ke Malaysia dapat menjadi pemangkin kepada pengukuhan jaringan kerjasama pada peringkat nasional dan antarabangsa, sekali gus menyumbang kepada pembinaan kesatuan ummah yang lebih kukuh, berprinsip dan berdaya menghadapi cabaran semasa.
IKRAM kekal komited untuk mendukung segala usaha yang membawa kepada penyatuan umat, pengukuhan ukhuwah Islamiah dan pemerkasaan peranan umat Islam sebagai pembawa rahmat kepada seluruh alam, selaras dengan tuntutan Islam dan semangat ta‘awun ‘ala al-birri wa al-taqwa.
Haji Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia




