SERI KEMBANGAN – Suasana negara yang sangat tidak menentu baik dari segi politik dan ekonomi serta kesan krisis iklim seperti perubahan cuaca yang mendadak dan banjir besar, menuntut semua wanita untuk terlibat secara aktif melakukan perubahan.
“Laporan PBB pada tahun 2022 telah menunjukkan bahawa negara yang mempunyai peratus wanita yang lebih tinggi di parlimen cenderung untuk mengamalkan dasar negara yang lebih bijaksana dengan tadbir urus sumber yang lebih saksama dan inklusif,” kata Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia hari ini
Tambahnya, secara umum wanita cenderung untuk mempertimbangkan keluarga dan komuniti dalam proses membuat keputusan iaitu aspek yang penting untuk mencapai penyelesaian holistik dan menghasilkan tindakan yang berkesan dalam semua situasi.
“Usaha semua pihak harus digembleng untuk mengkaji peluang serta kekangan yang wujud dalam memperkasakan wanita agar terus bersuara dan terlibat sama dalam membuat keputusan bagi memastikan masa depan negara yang mampan dan saksama untuk semua lapisan masyarakat,” jelasnya.
Wanita IKRAM menyambut baik tema sambutan Hari Wanita Sedunia 2022 yang ditetapkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat iaitu “Saksama Bersama”.
Beliau menyifatkan bahawa seruan “Saksama Bersama” sewajarnya berlandaskan lunas-lunas agama yang meraikan fitrah manusiawi dengan penuh keadilan.
“Walaupun tema PBB tersebut adalah memfokuskan kepada peranan wanita dalam menangani krisis iklim, namun seruan untuk memperkasakan wanita adalah sangat sinergistik dengan tema Saksama Bersama,” ujar Ustazah Sallawahiu.
Bersempena dengan sambutan Hari Wanita Sedunia 2022, Wanita IKRAM menyeru kepada semua pihak, khususnya wanita untuk terus berusaha menjayakan empat perkara:
1. Meningkatkan keterampilan dan keyakinan diri serta mengambil inisiatif merancang untuk mengisi semua peluang yang ada demi membela dan memartabatkan kedudukan wanita bersesuaian dengan peranan dan tanggungjawab seperti yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
2. Bersama atas dasar semangat lengkap-melengkapi dengan kaum lelaki, suami dan bapa dalam melaksanakan tanggungjawab membangunkan keluarga dan mendidik generasi masa hadapan yang berakhlak, bermaruah dan berdaya saing bagi memajukan negara.
3. Melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan secara berterusan bagi membela golongan wanita yang teraniaya.
4. Berperanan dalam menentukan kepimpinan negara yang kompeten dan berintegriti bagi memastikan agenda pembangunan dan pembelaan kepada wanita serta pembangunan negara dilaksanakan dengan adil dan saksama.
“Wanita perlu memahami bahawa pengaruh dan sokongan kita mampu membawa Malaysia menjadi sebuah negara harmoni yang bebas daripada segala penyelewengan dan rasuah.”