Hari ini masuk hari ke enam kita semua dirundung duka mengenang tragedi  yang menimpa pesawat MH370 yang hilang dalam perjalanan menuju ke  Beijing. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul; tentunya  peristiwa ini memberi kesan duka dan pilu yang cukup mendalam kepada  semua pihak yang terbabit.
 
 Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia ingin merakamkan ucapan takziah dan  simpati kami kepada semua keluarga kru dan penumpang MH370. Sementara  pihak berkuasa terus meningkatkan usaha bagi mengesan pesawat malang  itu.
 
 Wanita IKRAM menyeru kepada:
 
 1. Semua ahli keluarga krew dan penumpang untuk terus tabah dan  meningkatkan kesabaran di atas musibah yang menimpa mereka. Bagi  keluarga muslim, perbanyakkan solat hajat dan do’a kepada Allah dan yang  belum Islam bertafakkurlah menurut ajaran kepercayaan masing-masing.
 
 2. Semua ahli wanita IKRAM dan masyarakat amnya melakukan munajat dan  solat hajat beramai-ramai memohon agar Allah yang Maha Berkuasa  memberikan kita semua hidayah dan petunjuk serta memberi kita jalan  keluar dari dugaan besar yang sedang kita hadapi ini. Sebaiknya kita  mulakan dengan memperbanyakkan istighfar,  memohon ampun atas segala  kesilapan dan keterlanjuran kita disusuli solat hajat, berdo’a dan  berselawat untuk Nabi kita Muhammad SAW.
 
 3. Semua pihak menghentikan penyebaran berita-berita palsu yang akan  lagi mengusutkan keadaan dan menambah kegusaran terhadap keluarga  mangsa.
 
 4. Semua pihak menjadikan kejadian ini sebagai satu peringatan besar dan  peluang untuk kita memuhasabah diri dan meningkatkan kecerdasan  spiritual kita. Di sebalik kecanggihan dunia teknologi yang mengelilingi  kita, manusia harus sedar akan keterbatasan ilmu dan kemampuan kita  serta perlunya kita semua kembali mengakui kebesaran dan kehebatan  kekuasaan Allah Ta’ala, Tuhan yang memiliki sekalian alam.
 
 Doa selamat kami untuk kru dan penumpang pesawat MH370 serta ahli-ahli keluarga mereka.
Ustazah Maznah Daud 
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia
 
				 
															 
								



