Menurut Ketua Wanita IKRAM Petaling Jaya, Ustazah Hanida Abdull Samat, program ini memberi manfaat ke arah meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya pasangan suami isteri tentang fenomena keganasan rumah tangga dan puncanya, menyingkap rahsia rumah tangga bahagia serta panduan yang sewajarnya.
Perasmian program disempurnakan oleh YB Haniza Mohamed Talha selaku ADUN Taman Medan mengharapkan hasil daripada program ini memberikan impak dalam usaha menggerakkan aktiviti pusat sehenti setempat di kawasan Sri Manja yang akan menjadi model dan diimplementasikan ke seluruh kawasan sekitarnya.
Acara forum kekeluargaan menampilkan panelis terdiri daripada Puan Norlaili binti Mohamad, Peguam Syarie unit Guaman Syarie, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Prof. Madya Dr. Zulfakar Ramlee, Pakar Undang – Undang Keterangan Islam, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dan Puan Faridah Maludin, Pusat Sokongan Keluarga Islah (PAKSI – JIM).
Penganjur juga mengadakan acara untuk kanak-kanak antara usia 6 hingga 12 tahun seperti penyampaian khutbah kanak-kanak, pertandingan hafazan dan azan. Di samping itu, peserta juga berkesempatan mengunjungi gerai-gerai jualan barangan terpakai, jualan barangan untuk sumbangan Palestin dan mendapatkan khidmat pemeriksaan kesihatan percuma.
Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran seramai 200 orang merangkumi golongan lelaki, wanita dan kanak-kanak.
Ustazah Hanida menjelaskan, Wanita IKRAM mengambil inisiatif ini dengan menyeru masyarakat Islam supaya kembali kepada panduan al-Quran dan as-Sunnah dalam mengemudi kehidupan berkeluarga. Di samping itu kasih-sayang dalam rumah tangga perlu disuburkan dengan menyertai program-program pengukuhan rumah tangga,.
Tambah beliau, Wanita IKRAM mahu ahli masyarakat prihatin dalam usaha membendung gejala keganasan dalam rumah tangga dan memanfaatkan Pusat Khidmat Krisis Setempat (OSCC) yang diwujudkan di hospital-hospital kerajaan.
Masyarakat tidak boleh membiarkan keganasan rumah tangga membarah dalam senyap yang difahamkan sebagai satu konspirasi senyap (conspiracy of silence). Menghentikan keganasan rumah tangga wajar bagi memastikan survival diri, pasangan dan keluarga terus terpelihara dalam memupuk kesejahteraan dalam rumah tangga sejajar dengan apa yang digariskan oleh Islam.