“Yarhamullah Umma Ismail.” Semoga Allah merahmatimu wahai Ummu Ismail.
Demikianlah penggalan doa yang dipanjatkan baginda Nabi SAW kepada Siti Hajar dalam hadis riwayat Bukhari (No. 2368) tatkala meriwayatkan sebuah episod kehidupan yang sarat dengan hikmah.
Dalam hadis itu, Nabi mendoakan kesejahteraan kepada Siti Hajar atas usaha gigihnya di tengah padang pasir yang tandus untuk membendung air zamzam. Jika itu tidak dilakukan, nescaya air zamzam akan terus mengalir jauh daripada mata airnya.
Segala pengorbanan yang dilakukan itu tidak lain demi menghilangkan haus anaknya serta dirinya agar dapat meneruskan kehidupan.
Peranan Besar Siti Hajar
Sejarah mencatatkan bahawa Nabi Ibrahim a.s. telah diperintahkan Allah untuk meninggalkan isteri dan anaknya di kota Makkah, lembah yang tandus dan kering-kontang, lalu Siti Hajar memikul tanggungjawab untuk mendidik dan membesarkan Ismail a.s.
Setelah Ismail beranjak dewasa, Nabi Ibrahim kembali ke Makkah, betapa pertemuan yang sangat dinanti setelah sekian lama tidak berjumpa.
Namun, Allah uji lagi dengan perintah yang lebih berat, perintah untuk menyembelih Ismail. Adakah Ismail memberontak? Tidak, bahkan Ismail menerima perintah itu dengan hati yang tenang.
Saudaraku, pernahkah kita terfikir bagaimana Siti Hajar, tanpa kehadiran suaminya mampu mendidik dan mencapai visi Nabi Ibrahim dalam doanya agar zuriatnya menjadi generasi yang soleh dan taat?
Dengan taufik daripada Allah SWT, beliau berjaya menancapkan keimanan yang kukuh di dada Nabi Ismail. Berkat didikan Siti Hajar, Ismail a.s. mampu menerima perintah yang berat itu, sambil menyebutkan kalimah yang begitu indah, yang dirakamkan dalam surah As-Saffaat ayat 102:
يَـٰٓأَبَتِ ٱفْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِىٓ إِن شَآءَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلصَّـٰبِرِينَ
“Wahai ayahku, laksanakanlah apa yang telah diperintahkan kepadamu. Kau akan dapati aku termasuk golongan orang yang sabar.”
Kaji Kekurangan, Manfaatkan Kelebihan
Kisah Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan ibunya Siti Hajar adalah contoh sebuah pasukan yang mempunyai peranan masing-masing mencapai visi mendidik anak yang soleh.
Di sini kita memahami ada keperluan mengkaji kekuatan dan kekurangan yang dimiliki wanita dan lelaki dalam mencapai sesuatu visi, dan bagaimana wanita dan lelaki saling melengkapi dan saling berkorban.
Mungkin sebahagian wanita ada kelebihan dari aspek emosi, kemampuan berbicara, kasih sayang, lemah lembut serta kelebihan lain. Mungkin sebahagian besar lelaki, Allah anugerahkan fizikal yang kuat, daya fikir rasional, cita-cita yang tinggi dan sebagainya.
Tugas kita adalah bekerjasama agar kekuatan kita mengatasi kelemahan kita, sehingga membuatkan saf kita semakin kukuh, selaras dengan firman Allah Taala:
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain.” (At-Taubah:71)
Andai kita mempunyai misi besar, pastinya ia perlukan pengorbanan yang besar. Mana mungkin dicapai visi yang besar itu dengan bersantai-santai. Ia menuntut kita melakukan pengorbanan tenaga, fikiran, masa, wang ringgit dan perasaan.
Dua Kata Berpisah Tiada
Kalimat pengorbanan mempunyai hubungan yang sangat erat dengan wanita. Selain kisah Siti Hajar, begitu banyak teladan dalam sirah para wanita terdahulu yang kita temukan.
Antaranya Asiyah, isteri Firaun, dalam perjuangan menyembunyikan keimanan, akhirnya terserlah keimanan itu dan akhirnya beliau sanggup mengorbankan nyawanya demi mempertahankan akidah.
Khansa’ yang berjuang mendidik lima anaknya merindui jihad dan perjuangan, hingga akhirnya kesemua anaknya syahid di medan juang, serta banyak lagi sahabiyah serta salafus soleh lainnya.
Tidak lupa juga para wanita di dunia moden hari ini. Mereka bertarung nyawa melahirkan, serta mendidik anak dan mengurus rumah tangga dan pada masa yang sama, mereka juga berada di barisan hadapan sebagai profesional yang menyumbang dalam dunia kerjaya.
Pelihara Daripada Anasir Perosak
Kini kita sedar betapa signifikan peranan wanita dalam mencapai sebuah visi, baik ia visi keluarga, masyarakat mahupun negara.
Oleh itu, kita perlu memelihara para wanita, terutama anak-anak dan generasi muda kita daripada anasir yang merosakkan mereka.
Antaranya ancaman pemikiran sekular dan plural yang menyempitkan nilai agama dalam diri dan menghilangkan keyakinan terhadap perasaan kebanggaan dengan Islam.
Selain itu, gaya hidup individualistik, mewah dan bersantai-santai. Natijahnya, anak muda kita kurang kepedulian kepada masyarakat dan hanya berfikir dalam jangka pendek untuk diri sendiri sahaja.
Kita memohon kepada Allah Yang Maha Kuasa agar generasi muda kita, terutama para wanita, dapat terpelihara daripada anasir-anasir perosak.
Semoga kita dapat membina para wanita solehah, muslehah seperti Siti Hajar, Ummu Ismail yang rela berkorban demi keluarga, agama, bangsa dan negara.
Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia