Wacana MM2.9: Catatan 3 Februari 2012
76. Selari dengan kehadiran ‘Tok Syeikh’ daripada gerakan Islam tertua dan tersohor kini, saya ingin menyimpang sedikit daripada wacana asal. Walau bagaimanapun, ia masih sekitar maudhu’ masyarakat madani. Mencuit tentang ummah dan masyarakat.
77. Agak menarik dan sebenarnya tidak mengejutkan apabila dua Naib Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin (IM) menegaskan kepentingan untuk kita berkongsi Islam dan tamadunnya dengan semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum, tidak kira sama ada mereka liberal, bukan Islam atau apa sahaja. Menariknya, mereka mengatakan demikian walaupun lebih 90 peratus penduduk Mesir terdiri daripada Muslim. Di Malaysia, waqi’ kaum lebih rencam terdiri daripada Melayu, Cina, India, Sikh, Iban, Kadazan, Dayak, Jakun, Bajau, Murut, Momogun Rungus, Bisaya, Iranun, Suluk, Idahan, Tidong, Kedayan, Bagahak dan lain-lain.
78. Mereka turut menegaskan betapa pentingnya untuk kita mengutamakan keadilan dan kebebasan dapat dikecapi oleh semua lapisan masyarakat. Tidak hanya buat segelintir kaum. Bermakna pemikiran perkauman sempit tidak termasuk dalam kamus taghyir atau perubahan. Mereka buktikan ini semasa thaurah. Himpunan rakyat di Medan Tahrir digerakkan tanpa propaganda IM untuk semua rakyat Mesir kerana mereka mahukan rejim dan rakyat faham bahawa isu yang dihadapi bukan antara IM dengan rejim tetapi antara masyarakat seluruhnya dengan rejim.
79. Juga tidak kurang menariknya ialah pengamalan berbagai kaedah fiqh dalam tindakan IM. Misalnya mengutamakan keadilan dan kebebasan terdahulu sebagai tuntutan asasi sebelum melaksanakan hudud, walaupun hudud wajib dilaksanakan. Ini sebahagian daripada fiqh al-awlawiyat. Membuat pertimbangan antara al-masalih dan al-mafasid dalam penyertaan thaurah (fiqh al-muwazanat).
80. Dalam pada itu, IM kekal dengan fikrah dan pegangan akidahnya, tidak terikat dengan mana-mana. Terdahulu, saya juga sudah berkongsi bahawa dalam mendampingi masyarakat kita mesti berpegang teguh dengan Islam pada setiap ketika. Kita tidak berasa malu atau menyembunyikan apa-apa tentang Islam. Kita membawa fikrah kita. Tetapi kita tidak pula memaksa fikrah kita ke atas orang lain. Saya yakin IM tidak mengamalkan demikian.
81. Pada masa yang sama, kita tidak mencairkan atau menghapuskan fikrah kita untuk engagement sehingga boleh mengakibatkan kita takut berdamping dengan masyarakat atau golongan yang kita tidak biasa. Saya yakin IM juga tidak mengamalkan demikian. Ini bermakna kita perlu bijaksana dalam membuat pertimbangan dalam engagement. Bijak dalam merebut peluang dakwah dan Islah, bijak juga dalam merubah ancaman kepada peluang.