Undi18: Pengundi Muda Tidak Matang Memilih?

Undi18: Pengundi Muda Tidak Matang Memilih? | IKRAM

Jika kita renungi semula garis masa bermula dari kelulusan Undi18 hingga ke hari mengundi pada Pilihanraya Umum ke-15, kita punyai tempoh waktu kira-kira selama tiga tahun empat bulan dan tiga hari untuk lakukan sesuatu terhadap pengundi baharu ini.

Apatah lagi, ia memberi penambahan yang sangat signifikan terhadap jumlah keseluruhan pengundi baharu menjelang PRU15 nanti. Untuk rekod, 52 peratus pengundi daripada keseluruhan pengundi merupakan pengundi muda dan baharu. 

Namun demikian, apa yang berlaku? Kita berdepan dengan beberapa krisis besar, secara langsung atau tidak langsung, yang tidak pernah negara kita alami terutamanya wabak Covid-19 dan politik nasional. 

Dalam tempoh tiga tahun berkenaan, lebih dua tahun kita berdepan dengan krisis Covid-19 yang memberi dampak sangat besar terhadap keutamaan pihak yang berkaitan, khususnya Kementerian Pendidikan dan Kementerian Belia dan Sukan yang sepatutnya menjadi pengatur utama membina kesedaran, pengetahuan dan sikap generasi ini terhadap politik dan demokrasi. 

Waktu itu keutamaannya bukan lagi literasi politik, akan tetapi pada akses pendidikan buat pelajar-pelajar yang terpaksa berkurung di dalam rumah dengan serba kurang peranti dan data Internet. 

Langkah Sheraton yang telah memunculkan krisis politik menyebabkan berlakunya peralihan kepimpinan. Elit politik dilihat bekerja dengan sangat bersungguh untuk mengekalkan jumlah kerusi, bukan pada pembinaan dasar dan polisi.

Kita masih ingat bagaimana parti-parti ini bersungguh-sungguh bermesyuarat hingga lewat malam untuk bincang tentang status letak duduk kerusi mereka, namun sedihnya, tidak nampak kesungguhan kepada usaha-usaha untuk kebaikan dan membaikkan keadaan rakyat. 

Sekali gus, ia memberikan kesan besar terhadap usaha literasi politik kepada generasi baharu ini kerana kementerian yang berkaitan khususnya Kementerian Pendidikan dan Kementerian Belia dan Sukan tidak dilihat cukup berminat dan mempunyai iltizam politik untuk benar-benar berusaha memberikan literasi politik yang sepatutnya kepada generasi baharu. 

Jelas secara sistemnya yang berada di tangan pihak kerajaan, tidak memberi dorongan yang cukup kepada generasi ini. Nah, mengapa mereka – pengundi baharu muda – pula yang disalahkan dengan anggapan tidak matang dan tidak tahu apa-apa? 

Lensa Parti dan Lensa Pertiwi

Saya ada kerisauan cara sebahagian lingkungan saya menilai pengundi baharu ini. Rata-rata mereka merasakan Undi18 ini gagal kerana mereka mengundi parti lawan, bukan parti yang mereka inginkan. Logik ini aneh dan sempit dalam menjustifikasikan keberkesanan Undi18.

Menilai Undi18 menggunakan lensa parti hakikatnya merosakkan kesuburan demokrasi. Ini kerana kepentingan mereka bukan pada demokrasi tapi kepada kemenangan parti. 

Jika menang, maka baik. Jika kalah, maka buruk. 

Kita harus menggunakan lensa pertiwi untuk menentukan sikap terhadap Undi18. Jika kita menggunakan lensa pertiwi, ruang penilaian kita itu lebih besar daripada status parti.

Ia ada pada pengisian teori dan penyertaan aksi dalam ruang politik dan demokrasi. Ia menyubur wacana yang lebih rancak, kritikan yang lebih bernas dan penyertaan yang lebih luas terhadap generasi baharu ini.

Saya melihat suatu yang positif terhadap Undi18 melihat kepada jumlah peratusan yang turun mengundi. Ia memberi gambaran bahawa sistem demokrasi kita ini masih dapat dipercayai meskipun pelbagai krisis yang menghakis keyakinan rakyat terhadap elit politik kerana tindakan mereka sebelum ini. 

Kita harus perhatikan semula lensa yang kita gunakan. Jika lensa yang kita pakai itu sudah sedia salah, maka akhirnya pasti berhujungkan masalah.

Undi18: Jalan Panjang Kematangan Demokrasi

Memutuskan untuk menurunkan had umur pengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun adalah antara langkah yang harus kita lakukan untuk mematangkan demokrasi negara. Menilai keberkesanannya hanya pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang pertama adalah sikap yang tidak cermat.

Harus diingat, negara kita memerlukan hingga 14 kali PRU, barulah dapat mencipta sejarah baharu dengan mengubah kerajaan buat pertama kali. Sikap yang sama perlu kita letakkan terhadap generasi baharu yang baru mengundi buat kali pertama. 

Kita mempunyai jalan yang panjang untuk mematangkan demokrasi negara kita. Jalan panjang ini harus diisi melalui reformasi sistem dan budaya yang melingkari generasi muda ini. 

Pendidikan berasaskan dialog dan dialektika harus disuburkan, tidak lagi kerja-kerja pembodohan dan pendangkalan akal mereka. 

Kita harus ingat, literasi politik bukan hanya berkisar pada hari pengundian yang berlangsung lima tahun sekali. Seperti yang dirakam oleh Dr. Azhar Ibrahim di dalam buku beliau, Emancipated Education harus kita renungi:

“We need political literacy not simply for citizens to exercise their rights as voters but as citizens equipped with some intellectual capacity to name/articulate the situation they are in and are confronted by, as much as they will to act based on their understanding of the necessary course of action informed by their critical knowledge of the political issues and conditions in society.”

(Kita memerlukan literasi politik bukan sahaja untuk rakyat melaksanakan hak mereka sebagai pengundi tetapi sebagai rakyat yang dilengkapi dengan beberapa kapasiti intelek untuk menamakan / menyatakan situasi yang mereka hadapi, seberapa banyak yang mereka mahu untuk bertindak berdasarkan pemahaman mereka tentang perkara yang perlu tindakan yang dimaklumkan oleh pengetahuan kritikal mereka tentang isu dan keadaan politik dalam masyarakat).

Jika kita sedari bahawa literasi politik bukan sekadar tentang mengundi, maka Undi18 masih lagi terlalu awal untuk kita ukur keberhasilannya, juga masih terlalu panjang untuk kita matangkannya. 

Usaid Asmadi
Ketua Penerangan IKRAM Muda Malaysia

Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia