Undi18: Anak Muda ‘Kingmaker’ Sebenar PRU15?

Undi18: Anak Muda ‘Kingmaker’ Sebenar PRU15? | IKRAM

Hamza Taouzzle, 23, adalah seorang anak muda Muslim yang menjadi Datuk Bandar Westminster, United Kingdom (UK).

Beliau menyandang jawatan sebagai datuk bandar termuda di Westminster tahun lalu, sekali gus menjadi datuk bandar pertama dalam kalangan BAME (Black, Asian & Minority Ethnic) di sana [1].

Tidak mustahil Malaysia turut akan memiliki pemimpin berkredibiliti dan kompeten seusia Hamza setelah kerajaan meluluskan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan  warganegara Malaysia yang berusia 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon pada 25 Julai 2019 yang lalu.  

Pelaksanaan undang-undang ini telah bermula pada Februari tahun 2022 yang mana pilihan raya di negara ini menggunakan pendaftaran pemilih secara automatik bagi pengundi yang berusia 18 tahun. 

Pemuda Ejen Pengubah Negara 

Secara teknikal, terlaksananya undang-undang baru ini akan menyaksikan pertambahan jumlah pemilih baru seramai 7.8 juta orang, iaitu peningkatan signifikan lebih daripada 50 peratus pada PRU15 berbanding jumlah pemilih seramai 14.9 juta orang pada PRU-14 [2]

Daripada jumlah itu, seramai 3.8 juta ataupun 34 peratus mewakili golongan pemuda berusia 18 tahun. Ringkasnya, tiga daripada sepuluh pengundi adalah pengundi baharu.

Tentunya melalui peningkatan sebesar ini akan menyaksikan kekuatan kuasa pengundi 18 tahun mampu melakar dimensi baru atau mengubah landskap politik negara sekiranya mereka semua turun mengundi. 

Ini yang diharapkan daripada anak-anak muda agar mereka bersolidariti bersama aspirasi pembangunan negara dengan menggunakan hak kuasa rakyat sebagai pemilih dalam PRU15.

Realiti Lawan Jangkaan Apabila Tidak Seindah Khabar

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac lalu merupakan pilihan raya pertama yang melibatkan undi pemilih 18 tahun. Ramai yang teruja untuk melihat pencapaian pelaksanaan undi18 apabila dikenal pasti terdapat kira-kira 750,000 pengundi tambahan disebabkan Undi18.

Namun apabila melihat kepada keputusan data yang direkodkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam PRN Johor, dianggarkan tidak lebih daripada lima peratus pengundi adalah daripada pengundi muda daripada keseluruhan 54.82 peratus yang keluar pengundi.

Ia terlalu sedikit dan ini realiti pahit yang harus ditelan. Adakah situasi ini boleh menjadi salah satu penanda aras yang mengisyaratkan bahawa majoriti orang muda di Malaysia kini tidak berminat dengan politik?

Kesedaran Politik 

Hanya 33 peratus belia berbangsa Melayu berminat dengan politik menurut hasil tinjauan yang mana sinonimnya kaum Melayu merupakan bangsa yang mewakili majoriti pengundi pemilih terbesar di Malaysia. 

Kajian ini  dijalankan oleh Merdeka Center terhadap 1,216 responden dalam lingkungan umur 15 hingga 25 tahun yang terdiri daripada kaum Melayu dalam tempoh dari 30 Oktober 2021 hingga 25 Januari 2022. 

Kajian ini telah mengungkap golongan muda negara ini telah hilang minat terhadap cabaran dan isu politik dalam negara dengan 52 peratus berpandangan negara berada dalam landasan yang salah. 

Menurut Pengarah Merdeka Center Ibrahim Suffian, isu alam sekitar, pengangguran, pergelutan ekonomi, wabak penyakit dan ketidaktentuan politik telah mempengaruhi dan memberi kesan terhadap keyakinan golongan muda berkenaan masa depan dan hala tuju negara. 

Menurutnya lagi,  golongan muda berasa ragu-ragu terhadap proses politik dan beranggapan politik boleh dibeli. Pandangan ini turut selari dengan beberapa pandangan pakar dan penganalisis politik yang lain. 

Minat Kesukarelawanan, Aktiviti Masyarakat

Persoalannya, apakah yang boleh memujuk atau menarik anak muda untuk bersama-sama terlibat sebagai rakyat yang bertanggungjawab memikul masa depan negara?

Sebenarnya golongan Undi18 atau generasi Z ini adalah kelompok yang terkenal cakna dan prihatin terhadap masa depan negara.

Ini boleh dilihat ketika mereka mempertaruhkan kesihatan atau nyawa ketika bersoldariti beramai-ramai untuk menjadi sukarelawan vaksinasi ketika negara masih bertarung dengan wabak Covid-19 pada tahun 2021 yang lalu. 

Jumlah pendaftaran belia untuk menjadi sukarelawan program Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) dilaporkan telah melebihi keperluan penempatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negara.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pernah menyatakan bahawa golongan belia merupakan majoriti sukarelawan yang mendaftar dimana mereka berminat dengan kerja-kerja kesukarelawan dalam membantu kerajaan mencapai imuniti kelompok [3]

Jelas, Malaysia memiliki ramai anak muda yang prihatin dan bertanggungjawab. Perhatian dan minat mereka sewajarnya dapat disalurkan kepada politik atau sekurang-kurangnya mempunyai kesedaran, pemahaman dan penghayatan terhadap ilmu politik.

Dengan demikian, persepsi orang muda terhadap politik boleh diupayakan menjadi lebih bermakna daripada sekadar dibatasi sebagai medan perebutan kuasa dan penindasan, kepada medan mencapai kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. 

Pendidikan dapat mematangkan pemikiran golongan muda dalam memilih kepimpinan yang berkaliber dan berintegriti dalam membawa negara terkehadapan. 

Malah melalui kelulusan undang-undang Undi18, mereka turut diberi peluang untuk bersama-sama dalam lingkungan kuasa dengan menyertai barisan kepimpinan membangunkan negara melalui pencalonan. 

Generasi Z mungkin tidak kelihatan ramai di lapangan atau ceramah politik, tetapi mereka mengikuti perkembangan politik di media sosial seperti YouTube, Instagram dan Twitter terutamanya di platform visual seperti TikTok yang merupakan medan sosial paling popular.

Belia merupakan tonggak kepada negara sepertimana yang disebut dalam peribahasa, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Mereka sarat dengan idea baru dan segar. 

Sekiranya mereka dapat didekati dan disantuni untuk sekurang-kurangnya menggunakan kuasa mengundi pada PRU15 nanti, negara akan bakal menyaksikan gelombang perubahan yang sekali lagi mampu mengubah senario politik negara.

Merekalah ‘kingmaker’ sebenar PRU15.

Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi Strategik dan Multimedia
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia