Ucaptama Ketua Wanita di Pemasyhuran Wanita IKRAM

Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan dan Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kumpulan kebun yang berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya dan pohon-pohon yang jarang berbuah, serta sedikit pohon-pohon bidara. (16)

Demikianlah Kami membalas mereka disebabkan kekufuran mereka dan sebenarnya Kami tidak menimpakan balasan yang demikian melainkan kepada orang-orang yang amat kufur. (17)

Dan di antara tempat tinggal mereka (di negeri Yaman) dengan bandar-bandar (di daerah negeri Syam) yang Kami limpahkan berkat kepadanya (dengan kemakmuran), Kami adakan beberapa buah bandar yang jelas kelihatan (kepada orang-orang yang melalui jalan itu) dan Kami tentukan jarak perjalanan di antaranya (sekadar yang dapat dijadikan tempat-tempat persinggahan), (serta dikatakan kepada mereka): Berjalanlah kamu di bandar-bandar itu pada bila-bila masa yang kamu suka, malam dan siang, dalam keadaan yang aman. (18)

(Maka kemakmuran dan kemudahan itu menjadikan mereka sombong dan kufur) lalu berkata: Wahai Tuhan kami, jauhkanlah jarak perjalanan kami (di antara sebuah bandar dengan yang lain) dan mereka berlaku zalim kepada diri mereka sendiri; lalu Kami jadikan (kisah perbuatan derhaka) mereka: Buah mulut orang ramai, serta kami pecah belahkan mereka berkecai-kecai. Sesungguhnya kisah mereka yang tersebut mengandungi tanda-tanda (yang besar pengajarannya) bagi tiap-tiap seorang (mukmin) yang sentiasa bersikap sabar, lagi sentiasa bersyukur. (19)

Tuan-tuan dan puan-puan, hadirin, hadirat yang dihormati,

Saya memulakan ucapan ini dengan memetik beberapa potong ayat daripada surah Saba’, surah ke 34 daripada kitab suci al-Quran al-Karim. Ayat-ayat di atas menceritakan kepada kita satu ummah yang telah mencapai kecemerlangan yang cukup hebat dan tinggi dari sudut kemewahan harta benda, kecerdasan fizikal dan pencapaian mental.

Mereka dianugerahi harta yang melimpah ruah, negeri yang aman damai, tubuh badan yang sihat dan cergas, ilmu sains dan teknologi yang canggih sehingga dapat membangun industri pertanian yang begitu maju serta prasarana yang serba lengkap. Namun semua itu tidak dapat bertahan kerana satu sebab, iaitu ingkar kepada Yang Maha Esa lagi Maha Kuasa, tidak mengiktiraf serta tidak mensyukuri nikmat-Nya.

Hadirin, hadirat yang dirahmati,

Memperkatakan tentang kecemerlangan ummah, maka kita mesti jelas akan maksudnya. Apabila telah jelas maksudnya barulah kita mengetahui peranan yang mesti dimainkan oleh setiap individu dalam membina dan memelihara kecemerlangan itu.

Kecemerlangan ummah Islam dinilai dari segi pencapaian sifat wasat (وَسَطً۬ا) yang dimiliki mereka, baik secara individual atau secara kolektif (jama’ei) kerana itulah sifat yang diberi dan dikehendaki oleh Allah s.w.t.

Firman Allah Ta’ala

وَكَذَٲلِكَ جَعَلۡنَـٰكُمۡ أُمَّةً۬ وَسَطً۬ا لِّتَڪُونُواْ شُہَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِ وَيَكُونَ ٱلرَّسُولُ عَلَيۡكُمۡ شَهِيدً۬ا‌ۗ

Maksudnya:

“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai ummah Muhammad) satu ummah yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada ummah manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu….” Al-Baqarah:143

Wasat bermakna pertengahan atau pusat sesuatu. Ia juga bermaksud sederhana, tidak berlebih-lebihan (إفراط) dan tidak mengurangkan (تفريط).

Menurut at-Tobariy, al-wasat bermakna al-khiar iaitu yang terbaik. Beliau juga meriwayatkan daripada Abi Sa’eid r.a daripada Nabi s.a.w. bahawa makna wasat dalam ayat ini ialah al-‘adul yang bermaksud sangat adil.

Beliau berpendapat, maksud (أُمَّةً۬ وَسَطً۬ا) dalam ayat ini, ummah Nabi Muhammad s.a.w. adalah ummah yang berada di tengah-tengah antara dua pihak yang melampau dalam menyempitkan kehidupan beragama dengan meninggalkan kenikmatan dunia dan pihak yang terlampau meringan-ringankan suruhan agama sehingga meninggalkan perkara yang wajib dan melakukan perkara yang haram.

Almarhum Sayyid Qutub di dalam Tafsir Fi Zilalnya menghuraikan dengan panjang lebar maksud al-wasat. Antara lain, beliau mengungkapkan:

Ummah Islam adalah ummah yang memenuhi semua makna wasat. Iaitu wasat dengan makna terbaik dan terunggul, wasat dengan makna sederhana dan adil, dan wasat dengan makna pertengahan dari segi tempat duduk, tempat letak serta zaman kelahirannya.

Mereka adalah ummah yang wasat dari segi kepercayaan, pemikiran, perasaan, tindakan, peraturan dan undang-undang serta perhubungan.

Dari segi kepercayaan dan pegangan hidup, Islam tidak memberikan sepenuh penumpuan kepada ruh sehingga mengabaikan keperluan jasad serta tidak terlalu mengikuti tuntutan jasad sehingga melupakan ruh. Islam mengiktiraf manusia terdiri daripada jasad dan ruh. Hak-hak dan keperluan kedua-keduanya dipenuhi secara seimbang.

Dari segi pemikiran Islam tidak membiarkan ummahnya menjejaki setiap idea, adat dan budaya semua bangsa dan puak. Di samping tidak menutup pintu daripada perubahan dan penemuan-penemuan yang bermanfaat. Islam sentiasa berpegang kepada prinsip hikmah itu pencarian setiap mukmin, di mana saja dia bertemu dia berhak mengambilnya.

Dari segi peraturan dan undang-undang Islam tidak menjadikan undang-undang dan kuatkuasa pemerintah sebagai satu-satunya cara untuk meluruskan akhlak dan tingkah laku individu. Sebaliknya Islam menggabungkan antara undang-undang dengan kesedaran atau perasaan dalaman yang menjadikan seseorang mematuhi undang-undang dengan sukarela tanpa dipaksa atau semata-mata takut kepada hukuman pihak berkuasa.

Dari segi perhubungan dan kemasyarakatan Islam tidak mengabaikan keperluan individu demi kepentingan masyarakat, dan tidak juga melayani segala tuntutan individu sehingga menjejaskan kesejahteraan masyarakat. Kehendak individu dan kepentingan masyarakat dipenuhi secara seimbang, adil dan saksama.

Justeru, ummah cemerlang yang kita cita-citakan adalah (أُمَّةً۬ وَسَطً۬ا) yang berperadaban tinggi dan maju berteraskan akidah yang murni, ilmu yang luas, akhlak yang luhur, saling berkasih sayang dan hormat dan menghormati.

JATI DIRI WANITA

Tidak syak lagi, wanita merupakan sebahagian daripada anggota masyarakat yang paling penting. Separuh daripada masyarakat adalah wanita. Dan wanita jugalah yang melahirkan yang separuh lagi.

Wanita yang memiliki jati diri yang teguh digambarkan oleh Allah di dalam surah at-Tahrim ayat 5, ketika sebahagian daripada isteri-isteri Nabi berpakat untuk melakukan sesuatu yang tidak disukai oleh baginda, Allah menggesa mereka agar segera bertaubat. Jika tidak, Allah boleh saja memerintahkan Nabi supaya menceraikan mereka dan menggantikan untuk baginda, wanita yang lebih baik daripada mereka yang memiliki jati diri sempurna sebagaimana dikehendaki-Nya wujud pada seseorang wanita.

عَسَىٰ رَبُّهُ ۥۤ إِن طَلَّقَكُنَّ أَن يُبۡدِلَهُ ۥۤ أَزۡوَٲجًا خَيۡرً۬ا مِّنكُنَّ مُسۡلِمَـٰتٍ۬ مُّؤۡمِنَـٰتٍ۬ قَـٰنِتَـٰتٍ۬ تَـٰٓٮِٕبَـٰتٍ عَـٰبِدَٲتٍ۬ سَـٰٓٮِٕحَـٰتٍ۬ ثَيِّبَـٰتٍ۬ وَأَبۡكَارً۬ا (٥

“Boleh jadi, jika Nabi menceraikan kamu, Tuhannya akan menggantikan baginya isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu, yang menurut perintah, yang ikhlas imannya, yang taat, yang bertaubat, yang tetap beribadat, yang berpuasa, (meliputi) yang janda dan yang anak dara.” (At-Tahrim:5)

Di dalam surah yang sama, Allah kemukakan dua orang wanita mukminah yang wajar dicontohi dan diikuti sepanjang zaman. Mereka adalah Asiah dan Maryam r.anhuma.

وَضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلاً۬ لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱمۡرَأَتَ فِرۡعَوۡنَ إِذۡ قَالَتۡ رَبِّ ٱبۡنِ لِى عِندَكَ بَيۡتً۬ا فِى ٱلۡجَنَّةِ وَنَجِّنِى مِن فِرۡعَوۡنَ وَعَمَلِهِۦ وَنَجِّنِى مِنَ ٱلۡقَوۡمِ ٱلظَّـٰلِمِينَ (١١) وَمَرۡيَمَ ٱبۡنَتَ عِمۡرَٲنَ ٱلَّتِىٓ أَحۡصَنَتۡ فَرۡجَهَا فَنَفَخۡنَا فِيهِ مِن رُّوحِنَا وَصَدَّقَتۡ بِكَلِمَـٰتِ رَبِّہَا وَكُتُبِهِۦ وَكَانَتۡ مِنَ ٱلۡقَـٰنِتِينَ (١٢)

“Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudaratnya) kepada orang-orang mukmin (berhubung rapat dengan orang-orang kafir kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu: Perihal isteri Firaun, ketika dia berkata: Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam Syurga dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim;

Dan juga (satu misal perbandingan lagi, iaitu): Mariam binti Imran (ibu Nabi Isa seorang perempuan) yang telah memelihara kehormatan dan kesuciannya (dari disentuh oleh lelaki; “Tetapi oleh sebab Kami telah takdirkan dia mendapat anak) maka Kami perintahkan Jibril meniup masuk ke dalam kandungan tubuhnya dari roh (ciptaan) Kami dan (sekalipun Mariam itu hidup di antara kaum kafir) dia mengakui kebenaran kalimah-kalimah Tuhannya serta kitab-kitabNya dan dia menjadi dari orang-orang yang tetap taat.” (At-Tahrim: 11-12)

Daripada ayat-ayat di atas, dapat disimpulkan bahawa jatidiri wanita beriman adalah:

Pertama: Mempunyai wawasan atau matlamat hidup yang jelas dan tinggi. Hal ini digambarkan dalam ungkapan Asiah: “Ya Tuhanku, binalah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam syurga…” Wanita beriman tidak sekadar mengimpikan sebuah banglo mewah di puncak bukit di pinggiran kota atau desa yang bersifat sementara, tetapi sebuah rumah di sisi Tuhan Yang Maha Agung dalam syurga yang abadi.

Kedua: Wanita beriman memiliki ilmu dan berani mempertahankan kebenaran dan menentang kezaliman. Asiah, permaisuri kepada seorang maharaja yang perkasa dan kaya-raya, tidak membiarkan dirinya leka diulit kemewahan yang tiada batas sehingga tidak mengenal erti kebenaran dan keadilan. Sebaliknya beliau tidak teragak-agak menyatakan keimanan yang tulus suci kepada Allah s.w.t. dan memohon supaya dirinya tidak terpalit dengan kezaliman yang dilakukan oleh suaminya sendiri.

Ketiga: wanita beriman memiliki keyakinan yang tinggi terhadap Allah s.w.t. serta ayat-ayat-Nya. Allah s.w.t. adalah satu-satunya Pencipta dan Penguasa seluruh alam. Dia Maha Berkuasa, Maha Mengetahui, Maha Adil, Maha Bijaksana. Dia tidak menyuruh kecuali yang baik dan tidak melarang kecuali yang buruk serta tidak bermanfaat kepada hamba-Nya. Keyakinan kepada Allah mendorong kepatuhan yang tidak berbelah bagi kepada seluruh ajaran yang terkandung dalam kitab suci yang diturunkan-Nya.

Keempat: Memeliharanya kehormatan diri dan kesucian alat sulit atau kemaluannya. Seorang wanita yang tidak mampu mempertahankan kesucian maruahnya dan tidak peka terhadap harga dirinya adalah pengkhianat kepada satu amanah yang dituntut oleh Pencipta agar dipelihara. Pengkhianatan itu bukan saja akan menjahanamkan diri dan hidupnya, malah mengancam kesejahteraan ummah serta generasi akan datang.

Kelima: Ciri wanita beriman seterusnya ialah zuhud. Zuhud bermaksud tidak terpaut kepada dunia dan segala isinya. Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya),

“Sekiranya aku memiliki emas sebesar bukit Uhud, aku bercita-cita supaya ia tidak berada dalam tanganku lebih daripada tiga malam. Aku tidak akan tinggalkan sesuatu pun selain daripada sedikit untuk melunaskan hutang.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Seorang lelaki bertanya kepada Nabi s.a.w.: “Ya Rasulullah, tunjukkan saya satu amalan yang apabila saya melakukannya saya akan dikasihi Allah dan manusia.”

Baginda menjawab: “Zuhud di dunia, nescaya kamu dikasihi Allah. Zuhud (jangan tamak) apa yang ada pada orang lain, nescaya kamu dikasihi manusia!” (Riwayat Ibn Majah)

Keenam: Sentiasa mendekatkan diri kepada Allah dengan membanyakkan taubat dan istighfar serta istiqamah dalam mengerjakan solat, puasa, zikir, kembara (siahah) untuk menambah ilmu, menyebar kebaikan dan berbakti kepada insan dan alam.

Tanpa ciri-ciri di atas, wanita tidak akan selamat daripada terjebak ke dalam pelbagai kancah kehidupan yang berkemungkinan membawa kepada keruntuhan akhlak dan kemusnahan harga diri.

Dan apabila runtuhnya harga diri seorang wanita, institusi keluarga akan hancur dan ummah akan terkubur.

WANITA DAN KECEMERLANGAN UMMAH

Ummah merupakan paduan serta gabungan individu-individu yang diikat kejap dengan ikatan aqidah yang kukuh dan kemas. Baik individu, baiklah ummah dan begitulah sebaliknya.

Wanita pula bukan sekadar satu juzuk daripada ummah, malah wanitalah yang melahirkan ummah keseluruhannya. Di tangan wanitalah terbentuknya jati diri ummah sebagaimana sebuah ungkapan yang masyhur dan diperakui zaman berzaman “ibu adalah madrasah atau sekolah pertama” bagi setiap insan yang lahir ke dunia ini. Selaras dengan itu, Islam tidak pernah mengabaikan hak dan keperluan wanita dalam segenap bidang terutama hak dalam mendapat pendidikan dan pelajaran yang bermanfaat. Kepentingan kedudukan wanita pada kacamata Islam terserlah dalam sabda Nabi s.a.w. yang berbunyi,

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم من كان له ثلاث بنات أو ثلاث أخوات اتقى الله عز وجل وأقام عليهن كان معي في الجنة هكذا وأشار بأصابعه الأربع

Maksudnya: “Sesiapa yang dianugerahi tiga orang puteri atau tiga orang saudara perempuan, lalu dia bertaqwa kepada Allah ‘Azza wa Jalla, melindungi dan memenuhi hak-hak mereka, maka dia bersama denganku di dalam syurga seperti ini”, seraya baginda menunjukkan keadaan rapatnya itu dengan empat jari-jarinya. Musnad Ahmad.

Pendidikan dan pelajaran bukan sahaja bertujuan untuk melayakkan wanita memperoleh pekerjaan atau jawatan yang standing dengan lelaki, tetapi pendidikan yang mampu membentuk keperibadian dan jatidiri unggul sebagai pencorak kecemerlangan ummah.

Hadirin, hadirat.

Penilaian secara sepintas lalu dalam situasi Malaysia, menunjukkan bahawa kedudukan wanita di Negara ini sudah jauh ke hadapan dari segi penglibatan mereka di dalam kerjaya dan pembangunan masyarakat serta negara. Menurut pernyataan dalam dokumen Dasar Wanita Negara pada masa ini, wanita merupakan satu pertiga daripada jumlah tenaga buruh di mana penyertaan wanita meningkat dari 37.2% dalam tahun 1970 kepada 46.7% dalam tahun 1990. Kini dalam RMK10, Kerajaan mensasarkan untuk mencapai kadar penyertaan tenaga buruh wanita sebanyak 55% pada tahun 2015; ataupun peningkatan sebanyak 9% dalam masa 5 tahun.

Ia juga sekali gus menggambarkan polisi pendidikan Negara dalam memberi peluang yang samarata kepada kaum wanita untuk mendapat pendidikan, telah berjaya mendapat respons.

Namun demikian, pada masa yang sama gejala sosial seperti penderaan, keganasan, penipuan dan ketidakadilan terhadap wanita serta kanak-kanak terus berlaku dengan meluasnya. Tidak kurang juga mereka yang berpendidikan tinggi dan berjawatan tinggi yang turut terjebak di dalam gejala-gejala ini. Berita Harian pada 12 Mei 2009 melaporkan statistik menunjukkan kes jenayah seksual terhadap wanita dan kanak-kanak di negara ini didapati meningkat setiap tahun. Contohnya, pada 2005, kes paling banyak diterima iaitu rogol sebanyak 1,931 terus meningkat pada 2008 iaitu sebanyak 3,405 kes, manakala kes cabul sebanyak 973 pada tahun 2005 kepada 2,228 dan kes liwat dari 71 kes kepada 130 kes pada 2008.

Keadaan ini memberi gambaran bahawa kemajuan dan kajayaan yang dicapai oleh kaum wanita masa kini masih tidak dapat menjamin dan tidak berupaya untuk melindungi diri mereka khususnya dan ahli masyarakat amnya dari segala bentuk ketidakadilan dan kekejaman. Sekali gus ini menunjukkan bahawa perjuangan wanita yang hanya menekankan kesaksamaan gender di dalam semua bidang semata-mata bagi meningkatkan dan memartabatkan kedudukan wanita dan mencapai keadilan kepada kaum wanita tidak mencukupi untuk menjadi penyelesaiaan menyeluruh kepada isu yang dihadapi oleh wanita masa kini. Apa yang jelas, adalah kehidupan ummah pada masa kini dilihat makin jauh menyimpang dari landasan hidup Syariah yang telah disusun oleh Allah SWT.

Justeru, sempena sambutan 100 tahun Hari Wanita Sedunia 2011, Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia ingin turut serta memainkan peranan menggembleng tenaga wanita dalam memperjuangkan isu-isu wanita di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta membela hak-hak mereka seperti yang digariskan oleh syara’. Wanita IKRAM komited untuk membangunkan potensi dan kepimpinan wanita yang akan menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan ummah seluruhnya. Kami juga percaya bahawa dalam memperjuangkan isu-isu wanita kami tidak akan bergerak sendirian malah perlu menjalin hubungan dan membina gabungan dengan pertubuhan wanita yang lain.

Dengan ini Gerak kerja Wanita IKRAM akan memberi fokus kepada 3 perkara utama:

1. Berusaha menyebar luaskan pemahaman terhadap Syariat Islam sebagai Rahmatan lil ‘alamin dengan memberikan pendidikan kepada semua peringkat masyarakat khasnya golongan wanita agar menerima Syariah sebagai satu-satu penyelesaian kepada semua permasalahan yang melanda ummah.

2. Membina jaringan dan bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan, agensi-agensi, orang perseorangan di pelbagai peringkat, tempatan dan antarabangsa bagi meningkatkan persefahaman dan keharmonian masyarakat khasnya menangani isu-isu yang berkaitan dengan wanita.

3. Memberi tumpuan kepada pendidikan kanak-kanak, generasi pewaris yang bakal menjadi pemimpin dan peneraju ummah menuju kecemerlangan.

SARANAN

Justeru, sempena sambutan 100 tahun Hari Wanita Sedunia 2011, Wanita IKRAM menyeru agar;

Ummah Islam di Negara ini kembali kepada syariah Islam sepenuhnya dalam menjalani kehidupan agar kesejahteraan sosial, ekonomi dan politik dapat dinikmati dalam erti kata sebenar.

Perjuangan pembelaan hak wanita pula hendaklah selaras dengan apa yang digariskan oleh syarak iaitu untuk memartabatkan kedudukan wanita yang benar-benar sejahtera merangkumi kehidupan dunia dan akhirat. Keadaan ini akan hanya dapat dikembalikan apabila syariah Islam itu dilaksanakan sepenuhnya dan manusia menjalani kehidupan mengikut apa yang telah disusun oleh Allah SWT.

Pembangunan potensi Wanita mesti berasaskan kepada satu sistem nilai yang menyeluruh meliputi pengukuhkan jatidiri yang juga merangkumi aspek aqidah dan pegangan hidup, akhlak, jasadiah dan insaniah.

Semua pihak perlu terus memberikan sokongan kepada kaum wanita untuk memajukan diri dalam bidang pendidikan agar wanita dapat sama-sama menyumbang dalam sektor pekerjaan. Namun pada masa yang sama tidak mengambil kesempatan dan mengeksploitasi wanita dari sudut ekonomi dan kewangan.

Akhir kata, wanita Ikram akan terus berusaha membina jati diri wanita mengikut acuan yang telah dibentuk oleh Yang Maha Pencipta dan menjadikan sasaran utamanya mengajak masyarakat kembali kepada fitrah dengan menerima Islam sebagai penyelesaian kepada segala permasalahan ummah.

Wassalamu’alaikum wr.wb.


USTAZAH MAZNAH DAUD
Ketua Wanita IKRAM Malaysia

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia