Tepat pada 9 Oktober 2022, YDPA telah memperkenankan permintaan pembubaran parlimen yang dibuat oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.
Dengan pembubaran tersebut, maka detik Pilihan Raya Umum yang ke-15 (PRU15) bakal berkunjung tiba. Mandat dikembalikan ke tangan rakyat untuk sekali lagi memilih pemimpin yang berintegriti dan bebas rasuah.
Semenjak dari tarikh keramat itu, media rancak mengulas mengenai calon yang layak dilantik untuk menjadi Perdana Menteri ke-10 serta kempen yang telah mula dijalankan oleh ahli-ahli politik.
Demi memastikan keutuhan kerajaan yang bakal dibina, usaha bagi memperoleh pemimpin yang berintegriti tersebut haruslah bermula dari akar umbi iaitu, Pilihan Raya Umum (PRU) itu sendiri.
Pemegang taruh (stakeholders) yang terlibat dalam PRU termasuk pihak yang berkuasa haruslah memahami bahawa unsur rasuah adalah tidak dibenarkan dalam menjalankan proses tersebut.
Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKPR 1954) ada menjelaskan bentuk kesalahan rasuah dan salah guna kuasa ketika atau selepas tamatnya tempoh PRU.
Elemen rasuah yang diperuntukkan dalam AKPR 1954 membolehkan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) untuk mengambil tindakan terhadap seseorang yang menjalankan aktiviti tersebut memandangkan akta itu mencegah kesalahan serta perbuatan yang menyalahi undang-undang dalam PRU.
AKPR 1954 di bawah seksyen 8 tidak membenarkan sebarang jamuan dengan mempengaruhi secara rasuah menyebabkan seseorang itu memberikan atau tidak memberikan undinya disebabkan secara langsung atau tidak langsung belanja atau janji untuk membayar kesemua atau sebahagian segala bentuk minuman, makanan atau bekalan, tiket atau menggunakan apa-apa cara atau tipu daya.
Akta yang sama menegaskan bahawa tiada pihak yang dibenarkan untuk menggunakan pengaruh tidak wajar dengan mendorong atau memaksa seseorang itu untuk mengundi atau tidak mengundi pada PRU, atau melarikan pengundi seperti yang dinyatakan dalam seksyen 9. Â
Seksyen 10 AKPR 1954 pula menjelaskan bahawa kesalahan menyogok apabila seseorang itu menawarkan pembelian undi dengan gantian terhadap penerimaan sama ada wang, hadiah, pekerjaan atau pinjaman.
Selain daripada AKPR 1954, PRU juga haruslah dijalankan selari dengan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Kanun Keseksaaan (KK) dan Akta Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) bagi memastikan ketelusan dalam pilihan raya tersebut.
Kesimpulannya, pihak-pihak yang terlibat dalam PRU perlulah berganding bahu bagi memastikan proses tersebut dijalankan secara telus dan bebas rasuah bagi memilih pemimpin yang berintegriti.
Farhatun Najah Shahrul Hizam
Ahli Jawatankuasa IKRAM Legal