BATANG KALI – Sehingga jam 1.00 tengah hari tadi, angka korban telah mencecah 16 orang dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku di sebuah tapak perkhemahan di Batang Kali, pada awal pagi tadi.
Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Twitter berkata, keseluruhan mangsa terlibat kira-kira 94 orang.
“61 mangsa ditemukan selamat, manakala 17 lagi masih hilang,” katanya.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.24 pagi sebelum menggerakkan anggota dan aset ke lokasi kejadian.
“Menurut laporan awal komander operasi, kejadian tanah runtuh berlaku di tepi jalan berhampiran ‘Father’s Organic Farm’ dan telah menghempap tapak perkhemahan yang berada berdekatan dengan jalan.
“Ketinggian runtuhan dianggarkan setinggi 30 meter dengan anggaran keluasan runtuhan satu ekar,” katanya.
Menurutnya, pasukan unit K9 dan EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentosa, BBP Ampang, BBP Pandan, BBP Kota Anggerik, BBP Kajang, BBP Andalas turut digerakkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) turun telah diaktifkan untuk penyelamatan mangsa yang masih terperangkap,” ujarnya.
Usaha mencari dan menyelamat masih giat dilakukan.