Tahun Baru 2024: Bersama Melangkah Maju ke Hadapan

Tahun Baru 2024: Bersama Melangkah Maju ke Hadapan | IKRAM

Tahun 2023 bakal berlalu menjadi kenangan, menyimpan pelbagai episod suka dan duka. 

Melangkah ke hadapan, apa yang pahit perlu dijadikan panduan dan apa yang manis disimpan sebagai pendorong semangat untuk meneruskan perjalanan. 

Pelbagai peristiwa terjadi sepanjang tahun yang telah mencetuskan pelbagai rasa dalam kalangan rakyat Malaysia. 

Imbasan peristiwa

Tahun 2023 dimulakan dengan langkah proaktif kerajaan dalam menyahut cabaran ekonomi dengan memperkenalkan Menu Rahmah, hidangan seimbang bernilai RM5 yang mendapat sambutan hangat dalam kalangan rakyat dan pemain industri. 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Almarhum Datuk Seri Salahuddin Ayub menjadi tokoh yang dikenang dalam inisiatif ini.

Tahun ini juga menyaksikan perubahan iklim drastik dengan terjadinya fenomena banjir yang luar biasa dan kebakaran hutan akibat gelombang haba.

Malaysia tidak terkecuali daripada terkena tempias El Nino dari bulan April hingga September yang menyebabkan cuaca menjadi panas dan kering hingga menyurutkan paras air empangan di beberapa tempat. 

Pada bulan April, kita dikejutkan dengan pendaki Malaysia, Allahyarham Lt. Kol (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub yang terkorban semasa ekspedisi pendakian Gunung Everest.

Tidak lama selepas itu, diberitakan pula tentang kehilangan seorang lagi pendaki Everest, Muhammad Hawari Hashim ketika turun dari puncak gunung tersebut.

Bulan Ogos menguji keutuhan perpaduan rakyat Malaysia apabila sentimen 3R (perkauman, agama dan raja) dimainkan ketika kempen pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri. Sekatan jalan raya secara besar-besaran diadakan di seluruh Malaysia susulan keputusan PRN.

Bulan September memperlihatkan kegembiraan rakyat di negeri Borneo apabila Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melakukan Kembara Kenali Borneo selama 11 hari ditemani  Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

7 Oktober merupakan tarikh yang sukar dilupakan apabila bermulanya perang sengit antara rejim Israel dan Palestin yang berlanjutan sehingga kini, memakan korban lebih 20,000 penduduk Gaza.

Kerajaan Malaysia telah melancarkan Ops Ihsan yang merupakan usaha kolektif dan bersepadu pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan dalam mengumpul dan menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk di Gaza.

Kerajaan bahkan mengambil tindakan lebih tegas dengan menyekat dan tidak membenarkan syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia.

Teknologi pembuatan kecerdasan (AI) semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna apabila dapat diakses dengan percuma dan bersifat mesra pengguna. Ini merancakkan lagi penggunaan teknologi digital termasuk risiko meningkatnya perlakuan jenayah siber.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan rombakan Kabinet buat pertama kalinya pada 11 Disember setelah lebih setahun mentadbir. Bulan Disember turut menyaksikan kes Covid-19 naik mendadak dengan jumlah kes baharu meningkat dua kali ganda sejak awal bulan ini. 

Sejak pandemik Covid-19 melanda, Malaysia telah mengharungi detik-detik sukar, namun masih mampu bertahan dan berdiri tegak hingga ke hari ini di sebalik segala kecelaruan yang  berlaku.

Ketidaktentuan ekonomi, inflasi, kenaikan kos sara hidup, perubahan drastik iklim dan cabaran sosial telah mengesani rakyat Malaysia dengan pedihnya.  

Pencapaian semasa

Meskipun menghadapi cabaran ekonomi yang getir, Malaysia berjaya mencatat pertumbuhan ekonomi 4 peratus bagi keseluruhan tahun 2023. Menurut Kementerian Kewangan, ekonomi Malaysia diunjur berkembang antara 4.0 hingga 5.0 peratus pada tahun 2024.  

Belanjawan 2024 yang dibentangkan pada Oktober lepas seiring dengan kerangka ekonomi ‘MADANI: Memperkasa Rakyat’ menumpukan penstrukturan semula ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia, yang menggambarkan tekad kerajaan untuk memulih dan membangunkan negara. 

Hubungan Malaysia yang baik di peringkat antarabangsa membuka peluang untuk mendapatkan pelabur yang berkualiti dalam menjadikan negara ini lokasi pelaburan kompetitif bagi pelabur asing. 

Negara meraih pelaburan yang diluluskan bernilai RM225 bilion dalam tempoh Januari-September 2023. Ini merupakan peningkatan 6.6 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam tempoh yang sama tahun lepas. 

Kementerian Ekonomi telah pun meluncurkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) pada Julai 2023. Pelan ini dijangka dapat meningkatkan GDP negara pada kadar 10-15 peratus daripada produk pasaran yang bernilai tinggi dan bersifat pertumbuhan tinggi (high growth, high value) di samping menjana 350,000 peluang pekerjaan. 

Malaysia juga telah diiktiraf sebagai negara terbaik di Asia Tenggara dalam Indeks Peralihan Tenaga oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF). Indeks tersebut mengukur keupayaan negara untuk beralih kepada sumber tenaga mesra alam. 

Pelan Induk Perindustrian Baru 2030 pula diluncurkan pada September 2023. Aspirasinya ialah peralihan dari industri berintensif buruh kepada industri berintensif modal yang memerlukan pekerja mahir. 

Kadar inflasi negara telah mereda pada 1.9 peratus pada September 2023 berbanding 2.0 peratus pada bulan sebelumnya. 

Walaupun terdapat beberapa inisiatif baik yang telah diperkenalkan kerajaan, namun dalam setiap perancangan, kaedah pelaksanaan harus melalui mekanisme yang teliti dan disemak imbang dari masa ke masa agar misi pemulihan ekonomi dan meringankan beban kewangan rakyat dapat direalisasikan. 

Maka, polisi berasaskan bukti (evidence based policy) amat diperlukan agar sebarang peruntukan oleh kerajaan sampai kepada kumpulan sasar yang tepat dan dapat dipertanggungjawabkan dengan efektif. 

Komitmen IKRAM

Cabaran seperti rasuah dan pembaziran sumber mampu menghalang pembangunan negara yang lebih mampan. Oleh itu, transformasi harus dilakukan dengan keazaman politik yang kuat. 

Pertubuhan IKRAM Malaysia mendukung usaha kerajaan untuk menghapuskan budaya rasuah dan komited dalam usahanya untuk membendung jenayah ini melalui penglibatan dalam gabungan Rasuah Busters.

IKRAM percaya usaha membasmi rasuah memerlukan langkah reform yang lebih tegas seperti memastikan SPRM bebas daripada pengaruh eksekutif, pemisahan kuasa antara pendakwa raya dan peguam negara serta penambahbaikan kepada Akta Pemberi Maklumat. 

Perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia yang berbilang etnik dan agama harus dipuji walaupun sesekali diprovokasi dengan serangan fahaman radikal dan ekstrem yang dimainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Buat pertama kalinya, IKRAM bersama tiga pertubuhan dakwah utama negara iaitu Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Angkatan Belia Islam (ABIM) dan Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) bergabung membentuk Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HGIM) pada 7 Ogos lalu. 

HGIM diwujudkan untuk menolak ekstremisme dan berganding bahu memperjuangkan keharmonian serta kemajuan negara melalui pendekatan mendukung nilai-nilai wasatiyyah dalam Islam. 

Sehubungan itu, IKRAM juga menyahut seruan kerajaan bagi memperkukuh iklim perhubungan yang baik dan mesra dalam kalangan pemimpin dan penganut pelbagai agama melalui penglibatan dalam Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (HARMONI).

IKRAM turut aktif mengadakan libat urus dengan beberapa kementerian dan agensinya terutama dalam aspek perpaduan dan keharmonian, pembangunan hal ehwal Islam, kemakmuran ekonomi, kemanusiaan, kekeluargaan dan juga pendidikan masyarakat.

Dalam situasi perkembangan ekonomi yang perlahan, isu kemiskinan bandar hangat diperkatakan. Kajian berkenaan memperkasakan kehidupan komuniti miskin bandar telah dimulakan oleh IKRAM sebagai usaha ke arah mencari model solusi yang berkesan untuk golongan ini.

Sehubungan ini, beberapa inisiatif telah digerakkan yang memfokuskan kecemerlangan pendidikan bagi golongan B40 di bandar. 

IKRAM telah menggerakkan program Ibu Bapa Memastikan Peningkatan Akademik Anak (IMPAK) yang merupakan satu modul latihan untuk ibu bapa belajar, mempraktikkan dan berlatih menguruskan pendidikan anak-anak dengan teknik yang efektif. 

Projek Kemerlangan Kanak-Kanak B40 Melalui Nutrisi dan Pembacaan (PROTEEN) anjuran IKRAM Pulau Pinang pula mengkhususkan untuk meningkatkan kecemerlangan akademik pelajar melalui pemakanan sihat dan aktiviti pembacaan. Projek-projek ini telah menerima penyertaan yang menggalakkan.

IKRAM bersedia menjadi rakan strategik dengan mana-mana pihak yang ingin bersama dalam usaha menangani dan mencari solusi berkenaan isu masyarakat dan negara.

Langkah ke hadapan

Mengorak langkah ke hadapan menghadapi cabaran, perlunya kolaborasi antara rakyat, pemimpin komuniti dan organisasi, gabungan tenaga NGO, agensi kerajaan dan pemerintah untuk mendorong perubahan yang memberikan impak dan transformasi positif kepada rakyat dan  negara. Kesejahteraan rakyat akan menghasilkan kemakmuran pada negara. 

Tahun baru 2024 akan menjadi tahun yang bakal dipenuhi dengan harapan baru di Malaysia. Penting bagi semua rakyat di pelbagai peringkat berperanan menjadi pencetus solusi bagi memperkukuh usaha Malaysia menjadi negara yang aman sentosa dan makmur. 

Ayuh kita bersatu padu dan terus berusaha mendukung perubahan demi membina sebuah negara yang harmoni, maju, makmur dan sejahtera.

Membuka tirai 2024, bersama-sama kita melangkah maju ke hadapan, menjayakan harapan dan melakar masa depan negara yang lebih gemilang.

Hj Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia