Syawal Permulaan Baharu Kekalkan Momentum Perjuangan – Presiden IKRAM

Syawal Permulaan Baharu Kekalkan Momentum Perjuangan - Presiden IKRAM

اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ 

لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاَللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ

Hari Raya Aidilfitri pada 1 Syawal adalah hari kemenangan kerana kembalinya umat Islam kepada fitrah setelah berjuang mendidik jiwa dan mengawal nafsu pada bulan Ramadan.

Oleh itu, hendaklah kita membesarkan Allah SWT dan memanjatkan rasa syukur kepada-Nya atas kemenangan ini.

وَلِتُكْمِلُوا۟ ٱلْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا۟ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

“Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.” (Al-Baqarah: 185)

Umat Islam meraikan hari yang mulia ini dengan melaungkan takbir raya, melakukan solat sunat Aidilfitri dan mendengar khutbah sebagai tanda kemenangan, kegembiraan dan kesyukuran.

Sambutan perayaan ini turut diserikan dengan budaya saling menziarahi, beramah mesra, bermaafan, rumah terbuka dan duit raya untuk kanak-kanak.

Amalan-amalan ini menjadi satu tradisi yang baik dan perlu diteruskan bagi mengeratkan tali silaturahim dengan keluarga, sanak saudara dan sahabat handai.

Namun begitu, janganlah kita terbuai dengan kemenangan ini. Cabaran yang lebih getir ialah bagaimana untuk kita mengekalkan momentum perjuangan mendidik jiwa ketika Ramadan pada bulan-bulan seterusnya.

Syawal adalah permulaan dan lembaran baharu kehidupan umat Islam setelah melalui madrasah Ramadan untuk menjadi individu yang lebih baik, berakhlak, prihatin dan bertakwa kepada Allah SWT.

Nilai kesabaran, ketaqwaan, kelembutan serta ketundukan hati yang disemai waktu Ramadan perlu disuburkan lagi agar ia menjadi penghayatan sejati dalam jiwa kita semua. 

Hari Raya Aidilfitri yang diraikan sepatutnya menjadi titik tolak untuk kita mengislahkan diri (soleh) dan seterusnya berusaha untuk menjadi orang yang dapat memperbaiki (musleh) keadaan keluarga, masyarakat dan negara.

Keluarga adalah institusi terpenting dalam mana-mana masyarakat. Justeru institusi ini perlu diperkukuhkan dengan kasih sayang, pembelaan serta perlindungan ahli keluarga. Institusi keluarga yang utuh akan melahirkan masyarakat yang utuh seterusnya negara yang utuh. 

Dalam pada itu, masyarakat yang memerlukan terus dibantu dan disantuni, kebajikan mereka terus terjaga dan keprihatinan terhadap golongan ini sentiasa menjadi keutamaan pelbagai pihak termasuk kerajaan, korporat, NGO mahupun individu.

Negara yang masih dalam fasa pemulihan daripada pandemik Covid-19 memerlukan reformasi dalam aspek pentadbiran, ekonomik, sosial, pendidikan demi menjamin kelestarian dan kesejahteraan negara pada masa hadapan.

Usaha ini memerlukan gandingan tenaga semua pihak termasuk kerajaan, organisasi masyarakat madani, kepimpinan komuniti dan lain-lain untuk memudahkan proses tersebut. 

Ingatlah firman Allah SWT:

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.” (Al-Maaidah: 2)

Selain itu, roh Ramadan boleh dihidupkan pada bulan Syawal ini melalui galakan amalan berpuasa sunat enam hari. Kelebihan mereka yang berpuasa Ramadan diikuti dengan puasa sunat enam bulan Syawal seolah-olah berpuasa selama setahun.

“Sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian berpuasa enam hari pada bulan Syawal, maka dia berpuasa seperti setahun penuh.” (HR Muslim, No. 1164)

Di samping menyambut Aidilfitri dan kemeriahan Syawal, janganlah kita cemarinya dengan perbuatan dosa, maksiat dan juga pembaziran makanan, kerana perbuatan ini boleh menghilangkan keberkatan dan pahala.

Semoga kita menjadi insan yang benar-benar bertakwa setelah melalui Ramadan, dengan mengikuti segala perintah Allah SWT dan menjauhi segala larangan-Nya, serta memberikan manfaat untuk ummah.

Dengan sifat-sifat yang sedemikian, diharapkan kita juga dapat bersama-sama membina keluarga, komuniti, masyarakat dan negara yang bertakwa.

Seterusnya akan lahirlah sebuah negara yang aman, makmur, maju, sejahtera dan memelihara kelestarian alam sekitarnya, iaitu negara Rahmah, negara impian semua.

Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri. Moga Allah menerima segala amalan soleh kita pada bulan Ramadan, insya-Allah.

تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا ومِنكُم

“Syawal Permulaan Baharu.”

Hj Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

1 Syawal 1444 H

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia