Syariah: Bukan Hanya Sekadar Hukum

Syariah adalah suatu istilah dalam bahasa Arab yang bermaksud jalan, laluan atau sumber air. Sebagai sebuah disiplin ilmu, syariah merujuk kepada sistem undang-undang Islam yang berdasarkan kepada al-Quran, hadis, ijma’ (kesepakatan ulama), dan qiyas (analogi). Syariah mencakupi segenap aspek keagamaan, moral, sosial, ekonomi, dan politik dalam kehidupan seorang manusia.

Syariah yang bersumberkan wahyu menjadikannya bersifat Rabbani iaitu murni daripada Allah Taala Yang Maha Pencipta dan Maha Mengetahui segalanya. Prinsip-prinsip syarak menjadikannya kekal dan malar hingga ke hari kiamat.

Fiqh pula adalah sintesis kefahaman para mujtahid terhadap dalil yang bersifat anjal dan fleksibel menurut keperluan semasa juga setempat. Oleh itu, syariah bersifat kekal, manakala fiqh berubah demi kepentingan manusia dan maslahahnya.

Dengan sifatnya yang rabbani, syariah memberikan kerangka moral dan etika yang bukan sahaja bersifat keagamaan tetapi juga bersifat universal serta sesuai untuk kehidupan manusia dalam pelbagai konteks.

Syariah diturunkan dengan misi yang jelas iaitu rahmatan lila’lamin, sebagai rahmat kepada sekalian alam. Gagasan rahmat inilah yang dikenali sebagai maqasid al-syariah.

Maqasid al-syariah ialah objektif di sebalik pensyariatan hukum iaitu demi menjaga maslahah dan kepentingan manusia sejagat. Syariah dirancang untuk membawa kebaikan dan kemaslahatan kepada manusia, baik di dunia mahupun di akhirat.

Ia merangkumi semua aspek kehidupan dan memberikan panduan holistik yang memastikan keseimbangan antara hak individu dan kepentingan masyarakat. Tanpa syariah, bagaimanalah kehidupan manusia?

Menyusun Keutamaan Adalah Satu Seni Fiqh

Bagi yang mempelajari fiqh dan syariah, sudah pasti anda telah menemui perbincangan tentang fiqh awlawiyyat atau dalam Bahasa Melayu-nya Fiqh Keutamaan. Fiqh yang digagaskan oleh al-marhum Prof Yusuf al-Qaradawi merujuk kepada konsep dalam Islam yang memberi panduan tentang bagaimana membuat keputusan yang bijak dan tepat berdasarkan keutamaan dalam situasi tertentu.

Bukan sekadar hukum, ia membentuk pemikiran seseorang dengan memberi fokus kepada perkara yang lebih penting atau utama dalam konteks masa, keadaan, dan kesan sesuatu tindakan.

Fiqh awlawiyyat menganjurkan bahawa tidak semua perkara mempunyai nilai yang sama dalam setiap situasi. Sebagai contoh, dalam keadaan tertentu, menjaga nyawa lebih utama daripada melaksanakan ibadah yang bersifat sunat.

Pemahaman ini membantu individu untuk menilai keutamaan dalam mengamalkan ajaran agama berdasarkan keadaan yang dihadapi. Sebagai contoh, menghadiri kuliah agama di masjid ialah sunat, manakala ketika sakit, hukumnya boleh menjadi makruh kerana boleh memudaratkan diri dan orang lain jika penyakit tersebut boleh berjangkit.

Fiqh awlawiyyat juga menekankan kepentingan untuk mengutamakan kebaikan umum (maslahah ammah) daripada kepentingan peribadi. Dalam membuat keputusan, seseorang diajar untuk mempertimbangkan kesan sesuatu tindakan ke atas masyarakat atau ummah secara keseluruhan, bukan sekadar kepentingan individu semata-mata.

Hal ini menjadikan seorang muslim cakna dan peka kepada keperluan sekelilingnya. Muslim disifatkan sebagai seorang yang bermanfaat kepada umat. Berada di mana sahaja, dalam kapasiti apa pun, bermanfaat dan memberikan kebaikan ialah isu utama. Ibaratnya, seperti biji benih yang subur, dicampak ke mana sahaja, akan menumbuh dan meneduhkan dan memberikan buah yang manis.

Fiqh awlawiyyat membantu dalam membuat keputusan yang memerlukan keseimbangan antara beberapa pilihan. Contohnya, dalam situasi di mana sumber atau masa adalah terhad, fiqh ini mengarahkan agar perkara yang lebih mendesak atau mempunyai impak lebih besar diutamakan.

Tingkatan-tingkatan kepentingan dalam agama mestilah difahami dengan sebaiknya. Rasulullah SAW telah menunjukkan teladan dalam hal ini. Semudah dalam urusan dakwah dan mengajak kepada kebaikan, eloklah dimulakan dengan dalam kalangan keluarga dan rakan-rakan yang rapat, meskipun itulah yang paling sukar.

Contoh yang lain ialah dalam membantu ketika sukar, keluarga dan kaum kerabat adalah yang perlu dibantu pada sudut kewangan mahupun sokongan moral serta semangat.

Memahami fiqh ini membantu muslim menghadapi konflik nilai. Dalam situasi di mana dua nilai bertembung, seperti kejujuran dan keselamatan, fiqh awlawiyyat memberi panduan untuk memilih tindakan yang memberikan manfaat yang lebih besar atau mudarat yang lebih kecil. Ini membolehkan seseorang membuat keputusan yang lebih rasional dan berasas.

Dalam konteks kepimpinan, fiqh awlawiyyat dapat membantu pemimpin – dalam kapasiti apa pun- untuk mengurus keutamaan dengan lebih efektif, memastikan bahawa sumber, tenaga, dan masa digunakan untuk perkara yang paling penting juga mendesak.

Ini adalah asas kepada pengurusan yang berkesan dalam apa jua bidang. Baik kepimpinan dalam rumahtangga, organisasi kecil peringkat mahupun kepimpinan negara. Pemimpin yang memahami keutamaan akan bertindak dengan hikmah, meraikan keperluan dan bertindak wajar.

Justeru, Fiqh awlawiyyat mendorong fleksibiliti dalam pemikiran manusia dengan mengajarkan bahawa keutamaan boleh berubah mengikut masa dan keadaan. Ini menuntut keterbukaan untuk mengubah pendekatan atau tindakan berdasarkan keperluan semasa, tanpa mengabaikan prinsip asas Islam.

Qawaid Fiqhiyyah Sendi Kepada Memahami Keutamaan

Fiqh awlawiyyat berkait rapat dengan qawaid fiqhiyyah (kaedah-kaedah fiqh), kerana kedua-duanya berfungsi sebagai panduan dalam membuat keputusan yang tepat dan bijaksana dalam pelbagai situasi.

Qawaid fiqhiyyah adalah prinsip-prinsip umum yang disusun oleh para fuqaha untuk membantu memudahkan proses ijtihad dalam fiqh. Di luar kotak pembinaan hukum, fiqh awlawiyyat dan qawaid fiqhiyyah memberikan inspirasi bahawa terdapat kaedah-kaedah yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian seorang muslim.

Malah, menjadikan prinsip-prinsip fiqh sebagai sandaran dalam pemikiran akan membuahkan hasil yang murni dan terarah kepada pencapaian maslahah yang digariskan oleh maqasid al-syariah. Ini bermakna, gabungan antara fiqh awlawiyyat dan qawaid fiqhiyyah memperkukuh keupayaan seseorang untuk menentukan keutamaan dalam situasi tertentu berdasarkan landasan yang kukuh.

Sebagai contoh, kaedah: “الضرر يزال” (Ad-Darar Yuzal) – Mudarat Hendaklah Dihilangkan menekankan bahawa sesuatu yang membawa mudarat perlu dihilangkan atau diminimumkan.

Dalam konteks fiqh awlawiyyat, apabila seseorang berhadapan dengan dua pilihan, seseorang itu perlu memilih tindakan yang paling efektif dalam menghilangkan atau mengurangkan mudarat. Contohnya, dalam situasi kecemasan, menyelamatkan nyawa lebih utama daripada mematuhi beberapa adab yang kurang kritikal.

Satu contoh yang lain ialah Kaedah: “لا ضرر ولا ضرار” (La Darar wa La Dirar) – Tiada Mudarat dan Tidak Boleh Memudaratkan Orang Lain menyarankan keutamaan untuk mengelakkan tindakan yang boleh mendatangkan mudarat kepada diri sendiri atau orang lain.

Dalam fiqh awlawiyyat, jika seseorang perlu memilih antara dua tindakan, tindakan yang paling kurang membawa mudarat adalah lebih utama. Contohnya, memandu dalam keadaan yang membahayakan tanpa menurut peraturan jalan raya adalah salah di sisi adab syarak kerana boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

Syariah Adalah Kehidupan

Mempelajari syariah bererti mempelajari hukum. Memahami syariah pula bermaksud memahami kehidupan. Prinsip dan gagasan pemikiran yang ada dalam syariah bukan hanya bersifat legalistik semata-mata tetapi menjangkaui ruang lingkup ketetapan hukum.

Penghayatan kepada Fiqh awlawiyyat dan qawaid fiqhiyyah dalam konteks menentukan keutamaan tindakan atau keputusan berdasarkan situasi adalah satu kemahiran yang perlu diketahui oleh semua.

Dengan memanfaatkan kaedah-kaedah fiqh ini, fiqh awlawiyyat memberikan panduan yang lebih spesifik dan praktikal, membantu individu dalam menghadapi dilema dengan pendekatan yang mengutamakan kebaikan umum, mencegah mudarat, dan memastikan keseimbangan yang adil dalam kehidupan. Gabungan antara fiqh awlawiyyat dan qawaid fiqhiyyah menjadikan keputusan yang dibuat lebih berlandaskan prinsip Islam yang jelas dan relevan dalam setiap keadaan.

Dr Hamidah Mat
Dekan
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open University Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia