Hukum Mahram: Tiga Kekeliruan yang Perlu Difahami

hukum mahram

“Ustazah, saya boleh bersalam dengan ayah tiri suami saya selepas akad nikah atau perlu tunggu selepas majlis persandingan?”

Soalan seperti ini mungkin kedengaran remeh, namun hakikatnya ia menggambarkan satu kekeliruan yang masih berlaku dalam masyarakat Islam hari ini.

Tidak kurang juga yang bertanya tentang hukum melibatkan mentua dan anak susuan atau hubungan antara menantu dan keluarga pasangan. Ada yang terlalu longgar sehingga mengabaikan batas syarak, manakala ada yang terlalu berhati-hati kerana tidak memahami hukum sebenar.

Konsep mahram dalam Islam bukan hanya menentukan siapa yang boleh bersalam atau membuka aurat. Ia merupakan sebahagian daripada sistem syariah yang bertujuan menjaga maruah, keturunan dan keharmonian institusi keluarga. Justeru, memahami siapakah mahram kita adalah satu keperluan, bukan sekadar pengetahuan tambahan. Allah SWT berfirman:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ

“Diharamkan kepada kamu (mengahwini) ibu-ibu kamu, anak-anak perempuan kamu, saudara-saudara perempuan kamu…” (Surah an-Nisa’: 23)

Ayat ini menjadi asas utama dalam menjelaskan golongan yang haram dikahwini dan seterusnya tergolong dalam kategori mahram.

Mahram kerana perkahwinan 

Selain mahram kerana keturunan, Islam juga menetapkan mahram yang terbentuk melalui perkahwinan atau dikenali sebagai muṣāharah. Di sinilah sering timbul kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Ramai yang menyangka semua hubungan mahram kerana perkahwinan hanya terbentuk selepas berlaku persetubuhan antara suami dan isteri. Hakikatnya, syarak membezakan antara beberapa kategori hubungan tersebut.

Sebagai contoh, hubungan antara mentua dan menantu menjadi mahram sebaik sahaja akad nikah yang sah dilangsungkan. Seorang lelaki yang baru sahaja bernikah dengan seorang wanita, secara automatik menjadi mahram kepada ibu mentuanya walaupun mereka belum sempat tinggal bersama atau belum berlaku persetubuhan.

Begitu juga seorang wanita yang baru dinikahkan akan menjadi mahram kepada bapa mentuanya sebaik sahaja akad nikah selesai. Oleh itu, hukum bersalaman antara menantu dan ibu atau bapa mentua adalah harus selepas akad nikah yang sah. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُم

“Dan ibu-ibu isteri kamu.” (Surah an-Nisa’: 23)

Para ulama menjelaskan bahawa ayat ini tidak meletakkan syarat berlakunya persetubuhan. Oleh sebab itu, status mahram antara menantu dan mentua terbentuk sejurus selepas akad nikah.

Anak tiri: Tidak sama dengan mentua

Berbeza dengan hubungan mentua dan menantu, hukum anak tiri mempunyai perincian yang tersendiri.

Dalam masyarakat, ramai yang beranggapan bahawa apabila seorang ku uu lelaki berkahwin dengan seorang wanita yang mempunyai anak perempuan, maka anak tersebut secara automatik menjadi mahram kepadanya. Hakikatnya, syarak menetapkan syarat yang lebih khusus.

Allah SWT berfirman:

وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُمْ مِنْ نِسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُمْ بِهِنَّ ۖ فَإِنْ لَمْ تَكُونُوا دَخَلْتُمْ بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُم

“Dan anak-anak tiri kamu yang berada dalam pemeliharaan kamu daripada isteri-isteri kamu yang telah kamu campuri. Tetapi jika kamu belum mencampuri mereka, maka tidaklah berdosa kamu (mengahwini anak-anak mereka).” (Surah an-Nisa’, 4:23)

Ayat ini menunjukkan bahawa hubungan mahram antara bapa tiri dan anak tiri hanya terbentuk selepas berlaku persetubuhan yang sah antara lelaki tersebut dengan ibu anak berkenaan.

Sekiranya berlaku perceraian selepas akad nikah tetapi sebelum persetubuhan, maka status mahram itu belum terbentuk. Hal ini merupakan perincian hukum yang masyarakat sering terlepas pandang. 

Dalam konteks keluarga moden yang semakin banyak melibatkan perkahwinan semula, kefahaman terhadap hukum ini amat penting bagi mengelakkan kekeliruan berkaitan aurat, khalwat dan pergaulan dalam keluarga.

Hubungan susuan yang sering dilupakan 

Satu lagi aspek yang sering menimbulkan kekeliruan ialah hubungan susuan.

Dalam budaya masyarakat Melayu, amalan menyusukan anak orang lain kadangkala dilakukan atas dasar kasih sayang atau membantu sahabat dan saudara-mara. Namun tidak semua menyedari bahawa penyusuan yang memenuhi syarat syarak boleh mewujudkan hubungan mahram yang kekal. Rasulullah SAW bersabda:

يَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ

“Menjadi haram kerana penyusuan apa yang haram kerana keturunan.” (HR al-Bukhari, 2645 dan Muslim, 1445)

Hadis ini menjelaskan bahawa hubungan susuan mempunyai kesan hukum yang hampir sama seperti hubungan keturunan. Anak susuan tidak boleh dikahwini oleh ibu susuan, bapa susuan atau saudara susuan sebagaimana anak kandung tidak boleh mengahwini ahli keluarga kandungnya.

Pada hari ini, terdapat keluarga yang tidak merekodkan hubungan susuan dengan baik. Ada yang hanya bergantung kepada ingatan, sedangkan maklumat tersebut mungkin diperlukan puluhan tahun kemudian apabila anak-anak meningkat dewasa dan memasuki alam perkahwinan.

Justeru, setiap hubungan susuan yang memenuhi syarat syarak hendaklah direkodkan dan dimaklumkan kepada ahli keluarga bagi mengelakkan sebarang kekeliruan pada masa hadapan.

Hikmah di sebalik pensyariatan mahram

Apabila membincangkan hukum mahram, ada yang melihatnya hanya sebagai batas pergaulan atau larangan perkahwinan, sedangkan di sebalik hukum tersebut tersimpan hikmah yang besar.

Antaranya ialah menjaga keturunan (hifz an-nasl), memelihara maruah manusia serta mengelakkan kekeliruan dalam hubungan kekeluargaan. Syariat menetapkan garis yang jelas supaya setiap individu memahami kedudukannya dalam sesebuah keluarga.

Dalam dunia hari ini yang menyaksikan pelbagai bentuk struktur keluarga, termasuk keluarga campuran, ibu atau bapa tunggal serta hubungan susuan yang semakin meluas, kejelasan hukum menjadi semakin penting.

Islam tidak menetapkan hukum-hakam ini untuk menyusahkan manusia. Sebaliknya, ia bertujuan memastikan hubungan kekeluargaan dibina atas asas yang jelas, teratur dan terpelihara daripada fitnah.

Kekeliruan tentang status mahram mungkin kelihatan kecil, namun kesannya boleh menjadi besar apabila melibatkan aurat, khalwat, pergaulan dan kesahihan sesebuah perkahwinan. Oleh itu, setiap Muslim wajar mengambil berat untuk memahami hukum-hakam yang berkaitan dengan keluarga mereka sendiri.

Sesungguhnya, mengetahui siapa mahram kita bukan sekadar memahami satu cabang fiqh kekeluargaan. Ia adalah sebahagian daripada usaha memelihara amanah keluarga yang telah diatur dengan penuh hikmah oleh Allah SWT.

Apabila syariat difahami dengan benar, keluarga bukan sahaja menjadi tempat bernaung, malah menjadi institusi yang memelihara maruah, kasih sayang dan keberkatan hidup di dunia serta akhirat.

Hasliza Talib
Jabatan Kefahaman Islam dan Bahasa Arab
Fakulti Sains Sosial
Universiti Islam Selangor

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia