Selagi SPRM ‘makan gaji’ dengan JPM

Rasuah berasal daripada bahasa Arab yang berbunyi ‘rasy-wah.’ Wujud sekurang-kurangnya tiga sebab mengapa manusia terus terjebak dalam lingkaran ganas rasuah.

 

Pertama, berasa rezeki tidak cukup dan tidak pandai mensyukuri nikmat dalam hayat. Kedua, menuruti cara hidup pemimpin yang terlibat dalam rasuah siasah dan ketiga, tidak mahu mengislah sistem masyarakat yang sarat rasuah.

 

Dari tahun 2016 hingga 2019, saya telah dilantik sebagai ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Saya dapat memahami kontroversi SPRM dari dekat.

 

Selagi SPRM ‘makan gaji’ dengan Jabatan Perdana Menteri (JPM), selagi itulah ramai rakyat menyangsikan neutralitinya.

 

Sudah sampai masanya SPRM dijadikan sebuah institusi yang melapor terus kepada Parlimen Malaysia. Pemilihan pengarahnya pula perlu dilaksanakan secara meritokrasi.

 

Ia melibatkan temu duga, penyemakan rekod kerja dan pengundian oleh sebuah panel pemilih yang dilantik oleh Parlimen. Cadangan itu telah saya sebut dalam kolum ini setahun lalu.

 

Transparency International (TI) mentakrifkan rasuah sebagai salah guna kuasa yang diamanahkan untuk kepentingan peribadi. Rasuah menghakis kepercayaan, melemahkan demokrasi dan menyekat pembangunan ekonomi.

 

Ia memburukkan keadaan ketidaksaksamaan, kemiskinan, perpecahan masyarakat dan krisis alam sekitar.

 

Pada 2017, menurut Indeks Pengamatan Rasuah (IPR) atau Corruption Perceptions Index (CPI) TI, Malaysia berada di tempat ke-62 dalam senarai negara paling kurang rasuah. Pada tahun 2018, Malaysia berada di tempat ke-61.

 

Pada 2018, kumpulan empat buah negara terbaik dalam senarai 175 negara ialah Denmark (tempat pertama dengan skor 88/100), New Zealand (tempat kedua dengan skor 87), Finland (tempat ketiga dengan skor 85) dan Singapura (tempat ketiga dengan skor 85).

 

Prestasi Pada 2019, Malaysia (Skor 53) melompat 10 anak tangga untuk berada di tempat ke-51. Pada 2019 juga, prestasi Malaysia dalam beberapa indeks global yang lain meningkat dengan baiknya.

 

Ia termasuk Indeks Mudahnya Melakukan Bisnes, Indeks Kedamaian Global dan Indeks Demokrasi Global. Ia adalah satu kejutan yang memberangsangkan apabila Pakatan Harapan (PH) memerintah selama 21 bulan dari Mei 2018 hingga Februari 2020 sebelum kerajaan baharu merampas kuasa.

 

Bagi tahun 2020, Malaysia jatuh ke tempat 57 dalam kalangan 180 negara dengan skor 51. Saya telah menulis dalam kolum ini pada awal 2021 bahawa jika kita tidak dilihat bersungguh-sungguh memerangi rasuah dengan langkah-langkah pencegahan dan hukuman lebih meyakinkan, prestasi negara akan menjunam lagi.

 

Pada 25 Januari lalu, TI telah menerbitkan IPR untuk tahun 2021. Skor purata bagi 180 negara ialah 43/100.

 

Malaysia terus jatuh ke tempat 62 (skor 48/100) dalam kalangan 180 negara. Melainkan Brunei yang maklumatnya tidak didapati, semua negara Asia Tenggara berada jauh di belakang Singapura (tempat 4; skor 85/100).

 

Vietnam (tempat 87; skor 39/100), Indonesia (tempat 96; skor 38/100), Thailand (tempat 110; skor 35/100), Laos (tempat 128; skor 30), Myanmar (tempat 140; skor 28/100) dan Kemboja (tempat 157; skor 23/100).

 

Indonesia, Vietnam, Laos dan Kemboja berjaya memperbaiki prestasi mereka berbanding tahun 2020. Denmark, Finland and New Zealand berada di tempat pertama dengan skor 88/100, diikuti Norway dan Singapura dengan skor 85.

 

Negara-negara Islam berikut mendahului Malaysia untuk tahun 2021 iaitu Emiriah Arab Bersatu (skor 69/100), Qatar (skor 63/100), Oman (skor 52/100) dan Arab Saudi (skor 53/100).

 

Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom
Penulis dan aktivis masyarakat

Sumber: Sinar Harian

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia