Antara berita yang menjadi kontroversi ialah berkenaan pembelian tanah 1MDB oleh TH pada harga yang dirasakan sangat mahal oleh beberapa pihak. Akibatnya ramai yang sangsi sama ada TH bertindak demikian untuk manfaat pencarumnya atau untuk manfaat 1MDB.
Berita terkini pada 26 Januari yang lalu mendedahkan satu surat daripada gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) kepada pengerusi TH yang memberi amaran bahawa tanggungan TH adalah melebihi asetnya dan dalam satu surat lain kepada menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), gabenor BNM telah memberi amaran bahawa keadaan kewangan TH akan memberi kesan kewangan kepada kerajaan.
Ekoran daripada pendedahan tersebut, ramai pencarum mula tertanya-tanya adakah caruman mereka di TH selamat atau tidak.
Sebenarnya isu sama ada simpanan di TH adalah selamat atau tidak bukanlah satu isu yang besar yang perlu dibimbangkan. Ini adalah kerana konsep simpanan di TH adalah berdasarkan konsep ‘Wadi’ah Yad Dhamanah’ di mana pendeposit menyimpan wangnya dan TH sebagai penjaga bersetuju untuk menjaga wang tersebut.
Dalam kontrak ini, pendeposit juga memberi keizinan kepada TH untuk menggunakan simpanan mereka bagi tujuan perniagaan, pelaburan dan sebagainya. Tambahan pula, simpanan tersebut dijamin sepenuhnya oleh kerajaan.
Dalam erti kata yang lain, jika TH mengalami kerugian yang teruk dalam aktiviti pelaburannya, wang yang dilaburkan oleh pencarum tidak akan terjejas satu sen pun kerana kerajaan akan memastikan pencarum akan mendapat balik duit simpanan mereka sepenuhnya.
Daripada sudut keuntungan yang diperolehi, ia adalah milik penuh TH. Oleh itu, keuntungan yang diagihkan adalah menurut budi bicara TH termasuk juga memberi pulangan pada kadar yang berbeza dari tahun ke tahun kepada para pendeposit.
Keadaan ini amat berbeza berbanding jika kita melabur dalam sebuah syarikat perniagaan biasa secara kontrak ‘Musharakah’ atau ‘Mudharabah’ di mana jika syarikat tersebut muflis, maka pelaburan yang dibuat oleh para pelabur mungkin akan hilang terus.
Jadi, mengapakah kerajaan sanggup menjamin pelaburan dalam TH sepenuhnya? Jawapannya adalah kerana sejarah TH itu sendiri di mana ia bermula dengan mendapat caruman daripada orang Islam yang menyimpan wang di TH untuk tujuan menunaikan fardhu haji.
Sebelum itu, ramai orang Islam di Malaysia yang menyimpan wang dalam tabung persendirian. Bahkan mungkin ada yang menyimpan di dalam tabung buluh atau di bawah bantal.
Namun demikian, atas cadangan Profesor Diraja Ungku Aziz yang merasakan bahawa umat Islam akan kerugian besar jika meneruskan amalan menyimpan semata-mata dan akan terlepas peluang untuk mendapatkan keuntungan berbanding jika wang simpanan tersebut dilaburkan, maka TH telah diwujudkan untuk membantu melaburkan wang simpanan berkenaan.
Namun, oleh kerana pelaburan perniagaan mempunyai elemen risiko kerugian, maka kerajaan telah memberikan jaminan penuh kepada semua caruman dalam TH.
Dengan jaminan yang sebegitu rupa, maka tidak hairanlah bagaimana TH telah berkembang dengan pesat dari hanya 1,281 pencarum pada tahun 1963 dengan jumlah caruman sebanyak RM46,600 kepada hampir 9 juta pencarum dengan jumlah simpanan pendeposit bernilai lebih daripada RM54.1 billion pada masa kini.
Tambahan pula, sebahagian besar daripada pencarum TH yang ada sekarang bukan lagi terdiri daripada mereka yang ingin menunaikan haji semata-mata tetapi juga yang mencarum untuk tujuan pelaburan sahaja.
Oleh kerana pelaburan di TH adalah salah satu pelaburan yang tidak mempunyai sebarang risiko kerana dijamin sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia, maka ianya menjadi tarikan utama bagi orang Islam di Malaysia untuk melabur dan mendapatkan pulangan.
Pada tahun 2014, TH telah mengumumkan jumlah bonus sebanyak 8.25%, yang terdiri daripada 6.25% bonus tahunan dan 2% bonus Haji. Keputusan TH membayar bonus yang begitu tinggi dikatakan tidak berhemah oleh pihak BNM kerana ianya bermakna TH telah membayar dividen yang lebih berbanding keuntungan yang diperolehi iaitu sebanyak RM1.07 bagi setiap RM1 keuntungan yang diperolehinya.
Kesan daripada tindakan tersebut akan mengakibatkan rizab TH berkurangan. BNM juga berasa bimbang jika pada masa akan datang pembayaran dividen yang pasti akan berkurangan mungkin akan mengakibatkan ramai pencarum mengeluarkan caruman mereka daripada TH sekaligus akan mengancam kedudukan kewangan TH dan juga kestabilan sistem kewangan negara.
Hakikatnya kini, jika semua pencarum ingin mengeluarkan caruman mereke sepenuhnya yang berjumlah RM54.1 billion dengan serta merta dalam bentuk tunai, sudah tentu TH tidak akan dapat memenuhi kehendak tersebut. Ini kerana asetnya dalam bentuk tunai hanyalah lebih kurang RM10 bilion sahaja.
Walau bagaimanapun, TH sebenarnya mempunyai pelaburan yang banyak dalam pelbagai sektor. Oleh itu jika diberi masa, TH boleh sahaja mencairkan semua aset pelaburannya yang dianggarkan bernilai lebih daripada RM100 bilion dan menggunakan dana tersebut untuk membayar balik tuntutan-tuntutan pencarum.
Walaupun mungkin senario ini sukar untuk berlaku, namun adalah baik juga untuk kita memikirkannya secara bersama. Apakah yang akan terjadi jika nilai dana yang diperolehi setelah aset TH dicairkan sepenuhnya adalah kurang daripada jumlah caruman sebanyak RM54.1 billion itu? Jawapannya ialah, memandangkan pelaburan oleh TH dijamin penuh oleh kerajaan, maka kerajaan perlu membantu dengan menyuntik dana ke dalam TH.
Namun demikian, oleh kerana kerajaan juga kini sedang menanggung beban hutang sebanyak hampir RM700 bilion, maka sudah tentu kerajaan akan terpaksa meminjam daripada sumber lain untuk mendapatkan dana yang bakal disalurkan kepada TH serta juga menanggung kos pinjaman tersebut.
Jika ini berlaku, maka bukan sahaja hutang kerajaan akan bertambah bahkan jumlah matawang dalam sistem kewangan negara juga akan bertambah. Ini bermakna rakyat keseluruhannya daripada segenap lapisan, termasuk yang miskin akan dipaksa ‘membantu’ demi memastikan kesemua pencarum TH (yang sebahagiannya terdiri daripada yang kaya juga) mendapatkan balik pelaburan mereka sepenuhnya.
Bantuan yang akan diberikan melalui suntikan dana oleh kerajaan ini akan diperolehi daripada pelbagai sumber dana kerajaan termasuk GST (iaitu yang disumbangkan oleh setiap lapisan masyarakat termasuk yang miskin juga).
Di samping itu, oleh kerana pertambahan jumlah matawang akan disusuli oleh inflasi, maka nilai matawang yang dipegang oleh rakyat Malaysia (termasuk yang miskin) juga akan susut sedikit akibat daripada tindakan membantu pelabur-pelabur dalam TH (yang mungkin terdiri daripada golongan yang kaya). Dari satu aspek, satu `kecurian nilai matawang’ akan berlaku jika kerajaan menunaikan jaminannya kepada pencarum dan pelabur TH itu.
Sebagai rumusan, ada dua persoalan yang timbul daripada kaedah pelaburan dalam tabung TH. Pertama, adakah kaedah meletakkan jaminan pelaburan ke atas kerajaan, iaitu sebenarnya ke atas bahu rakyat keseluruhannya (termasuk yang miskin) untuk membantu pencarum TH mendapat keuntungan pelaburan tanpa risiko sesuai dengan kehendak Syariah?
Kedua, jika kedudukan TH terjejas teruk dan kerajaan terpaksa meminjam duit untuk memastikan semua simpanan dipulangkan sepenuhnya kepada pencarum TH, maka kes ‘kecurian nilai’ ke atas matawang yang dimiliki oleh rakyat akan berlaku akibat inflasi.
Adakah `kes kecurian nilai’ ini sehaluan dengan kehendak Syariah? Tambahan pula, jika ini berlaku, siapakah yang akan menanggung dosa `kecurian nilai’ matawang yang dipegang oleh rakyat Malaysia itu?
Prof Mohd Nazari Ismail
Ketua Biro Penyelidikan
Pertubuhan IKRAM Malaysia