Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian kaum, agama, budaya dan latar kehidupan. Kepelbagaian ini merupakan kekuatan yang membentuk identiti masyarakat Malaysia.
Namun begitu, kepelbagaian ini juga boleh menjadi cabaran apabila wujud prasangka, stereotaip dan polarisasi antara kelompok masyarakat. Polarisasi antara kaum dan agama bukan sahaja menjarakkan hubungan sosial, malah berpotensi menghakis kepercayaan, mempersempit ruang dialog dan akhirnya mencetuskan perpecahan.
Dalam keadaan ini, kejiranan merupakan salah satu ruang sosial yang paling dekat dan praktikal untuk membina semula hubungan antara masyarakat. Jiran bukan sekadar individu yang tinggal bersebelahan rumah, tetapi sebahagian daripada lingkungan sosial yang berinteraksi dalam kehidupan seharian. Oleh itu, pengukuhan hubungan kejiranan boleh menjadi asas penting kepada pembinaan perpaduan masyarakat yang lebih kukuh.
Perpaduan melalui kejiranan
Perpaduan tidak terbina hanya melalui slogan atau program berskala besar. Sebaliknya, perpaduan bermula daripada hubungan manusia yang berlaku secara langsung dalam kehidupan seharian. Kejiranan menyediakan ruang untuk masyarakat saling mengenali, berinteraksi dan bekerjasama tanpa terlalu dibatasi oleh perbezaan kaum, budaya dan agama.
Apabila seseorang mengenali jirannya secara dekat, persepsi terhadap kelompok lain tidak lagi semata-mata terbentuk melalui media sosial, berita atau stereotaip. Mereka mula melihat jirannya sebagai individu yang mempunyai keluarga, tanggungjawab, keperluan dan aspirasi yang hampir sama.
Proses mengenali inilah yang dapat mengurangkan prasangka dan membina kepercayaan. Dalam perspektif Islam, kepelbagaian individu bukan alasan untuk bermusuhan, sebaliknya ruang untuk saling mengenali. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hujurat ayat 13:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ
“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa.”
Prinsip taaruf dalam ayat ini memberikan asas penting kepada pembinaan masyarakat majmuk. Perbezaan seharusnya membawa kepada pengenalan dan kefahaman, bukannya prasangka dan permusuhan.
Dalam konteks ini, gagasan “Wariskan Hormat, Tinggalkan Prasangka” mempunyai makna yang amat signifikan. Hormat tidak bermaksud seseorang perlu mengorbankan prinsip agama atau identitinya.
Sebaliknya, hormat bermaksud mengiktiraf hak orang lain untuk hidup secara aman, mengamalkan kepercayaan masing-masing dan menjadi sebahagian daripada masyarakat yang sama.
Prasangka pula sering lahir apabila kita membuat kesimpulan terhadap seseorang atau sesuatu kelompok tanpa mengenalinya secara dekat. Prasangka boleh berkembang menjadi stereotaip, diskriminasi dan akhirnya permusuhan. Dalam era media sosial, keadaan ini menjadi lebih kompleks apabila kandungan provokatif dan sensasi mudah tersebar tanpa tapisan.
Justeru, masyarakat perlu membudayakan komunikasi yang matang. Jiran perlu belajar mendengar sebelum menghukum, bertanya sebelum membuat kesimpulan dan berdialog sebelum menuduh. Perbezaan pandangan tidak semestinya membawa permusuhan. Masyarakat yang matang ialah masyarakat yang mampu berbeza pandangan tanpa memutuskan hubungan.
Pengalaman di Indonesia, Jordan dan UAE
Pengalaman negara majoriti Muslim turut memberikan beberapa pengajaran yang relevan. Di Indonesia, budaya gotong-royong telah lama menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat.
Walaupun masyarakatnya terdiri daripada pelbagai agama, etnik dan budaya, kerjasama dalam komuniti, aktiviti kebajikan dan pengurusan kepentingan setempat menjadi ruang pertemuan yang merapatkan hubungan sosial. Pengalaman ini menunjukkan bahawa perpaduan boleh dibina melalui pengalaman bekerjasama dalam perkara yang dekat dengan kehidupan masyarakat.
Jordan pula memberikan perspektif tentang kepentingan dialog dan hubungan kemasyarakatan dalam masyarakat yang mempunyai kepelbagaian agama. Hubungan sosial yang baik membantu masyarakat memahami perbezaan secara lebih rasional dan mengelakkan sesuatu kelompok daripada dinilai berdasarkan stereotaip.
Pengajarannya kepada Malaysia ialah dialog tidak seharusnya hanya berlaku ketika konflik tercetus. Sebaliknya, dialog perlu menjadi budaya yang dibina sebelum berlakunya konflik.
Emiriah Arab Bersatu (UAE) pula memberikan perspektif tentang kepentingan membina budaya toleransi dan ruang interaksi antara masyarakat daripada pelbagai latar budaya dan agama. Walaupun konteks demografi dan politiknya berbeza daripada Malaysia, pengalaman tersebut menunjukkan bahawa pengurusan kepelbagaian memerlukan ruang sosial, dialog dan nilai saling menghormati.
Pengalaman tersebut tidak semestinya perlu diaplikasikan secara keseluruhan. Sebaliknya, prinsip yang relevan boleh disesuaikan dengan realiti Malaysia. Antara langkah paling praktikal ialah menghidupkan semula aktiviti kejiranan seperti gotong-royong, kebajikan, sukan, jamuan komuniti, ziarah ketika berlaku musibah dan bantuan kepada keluarga yang memerlukan.
Aktiviti seperti ini mempunyai nilai sosial yang besar kerana masyarakat bekerjasama berdasarkan kepentingan bersama.
Sebagai contoh, ketika membersihkan kawasan kejiranan, seseorang tidak lagi melihat jirannya berdasarkan warna kulit atau agama, tetapi sebagai rakan yang sama-sama menyumbang kepada kesejahteraan kawasan. Kepercayaan terbina melalui pengalaman bersama, bukan semata-mata melalui ceramah atau kempen.
Islam sendiri memberikan perhatian besar terhadap hubungan dengan jiran. Allah SWT berfirman dalam Surah an-Nisa’ ayat 36:
۞وَٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ وَلَا تُشۡرِكُواْ بِهِۦ شَيۡٔٗاۖ وَبِٱلۡوَٰلِدَيۡنِ إِحۡسَٰنٗا وَبِذِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَٰمَىٰ وَٱلۡمَسَٰكِينِ وَٱلۡجَارِ ذِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡجَارِ ٱلۡجُنُبِ وَٱلصَّاحِبِ بِٱلۡجَنۢبِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتۡ أَيۡمَٰنُكُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ مُخۡتَالٗا فَخُورًا
“Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.”
Ayat ini menunjukkan bahawa berbuat baik kepada jiran merupakan sebahagian daripada tuntutan akhlak Islam. Hubungan kejiranan perlu dibina atas dasar ihsan dan kemanusiaan tanpa menjadikan perbezaan latar belakang sebagai penghalang.
Peranan aktivis dakwah
Dalam hal ini, aktivis dakwah mempunyai peranan besar. Dakwah tidak seharusnya hanya berlaku melalui penyampaian ceramah, tetapi perlu diterjemahkan dalam bentuk akhlak, khidmat masyarakat dan pembinaan hubungan.
Aktivis boleh menjadi penggerak program kebajikan yang terbuka kepada semua, membantu menyelesaikan masalah komuniti dan membina jaringan kerjasama dengan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
Dakwah yang berhikmah mampu memperlihatkan keindahan Islam melalui tindakan. Hubungan yang baik dengan jiran berlainan agama tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman terhadap identiti Muslim. Sebaliknya, ia merupakan ruang untuk memperlihatkan akhlak Islam secara praktikal. Islam perlu ditampilkan sebagai agama yang membawa rahmah, keamanan dan kesejahteraan.
Golongan dewasa juga mempunyai kedudukan strategik dalam usaha ini. Mereka merupakan ibu bapa, pemimpin komuniti, ahli persatuan, aktivis masyarakat dan rujukan kepada generasi muda.
Nilai hormat dan toleransi yang mereka tunjukkan akan menjadi contoh kepada anak-anak. Jika generasi muda membesar dalam suasana jiran saling membantu dan menghormati, mereka akan melihat kepelbagaian sebagai sesuatu yang normal dan positif.
Sebaliknya, jika mereka dibesarkan dalam suasana penuh prasangka, penghinaan dan permusuhan terhadap kelompok berlainan, sikap tersebut berpotensi diwarisi. Oleh itu, “Wariskan Hormat, Tinggalkan Prasangka” bukan sekadar tema, tetapi merupakan gagasan pendidikan sosial yang perlu dimulakan dari rumah dan kejiranan.
Rapatkan polarisasi, hidupkan budaya kejiranan
Kesimpulannya, polarisasi antara kaum dan agama di Malaysia boleh dirapatkan sekiranya masyarakat kembali menghidupkan budaya kejiranan. Perpaduan tidak bermula di pentas politik, tetapi bermula apabila kita mengenali jiran, menyapa mereka, membantu ketika diperlukan dan menghormati perbezaan yang wujud.
Pengalaman Indonesia, Jordan dan Emiriah Arab Bersatu menunjukkan bahawa gotong-royong, dialog, toleransi dan kerjasama kemasyarakatan merupakan antara pendekatan yang boleh membantu mengurus kepelbagaian. Namun, Malaysia perlu mengolahnya berdasarkan realiti dan acuan masyarakatnya sendiri.
Akhirnya, masyarakat yang benar-benar bersatu bukanlah masyarakat yang tidak mempunyai perbezaan, tetapi masyarakat yang mampu mengurus perbezaan dengan ilmu, akhlak, rasa hormat dan kebijaksanaan.
Jika setiap kejiranan menjadi ruang untuk saling mengenali dan menghormati, maka perpaduan Malaysia bukan sekadar cita-cita, tetapi dapat menjadi realiti yang diwariskan daripada satu generasi kepada generasi berikutnya.
Dr. Mohd. Yusri Ibrahim
Ahli Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN)




