Bagaimanakah rupa Malaysia pada 2057, ketika negara menyambut 100 tahun kemerdekaan?
Pada ketika itu, anak-anak yang sedang membesar hari ini mungkin sudah menjadi ibu bapa, pemimpin, guru, doktor, usahawan dan penjawat awam. Barangkali, mereka juga pembentuk dan penentu dasar negara. Mereka bukan sekadar mewarisi negara yang dibina oleh generasi terdahulu, tetapi akan hidup dengan kesan daripada keputusan yang dibuat pada hari ini.
Persoalannya, apakah yang mahu diwariskan?
Persoalan inilah yang mendasari seruan #Malaysia100 oleh Dato’ Hussamuddin Yaacub bagi mengajak rakyat Malaysia membina sebuah negara yang lebih baik dalam masa satu generasi, menjelang ulang tahun ke-100 kemerdekaan pada 2057.
Masih ada 31 tahun untuk menuju ke sana. Namun, satu generasi sebenarnya tidaklah selama yang disangka.
Dalam tempoh itu, bukan sahaja wajah negara yang akan berubah. Nilai, budaya dan cara masyarakat hidup bersama juga sedang dibentuk. Apa yang dinormalisasikan hari ini mungkin menjadi kebiasaan mereka esok. Berbahaya apabila apa yang diwariskan sebagai kebencian menjadi prasangka yang mereka bawa tanpa pernah memilihnya sendiri.
Atas sebab itu, membina #Malaysia100 bukan sekadar tentang bagaimana negara mahu menjadi lebih maju. Ia juga tentang manusia seperti apakah yang mahu dibentuk dan masyarakat seperti apakah yang mahu diwariskan.
Anak-anak sedang memerhatikan
Dr. Yusuf al-Qaradawi pernah mengingatkan bahawa jika mahu melihat wajah sesebuah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini. Jika golongan muda dibentuk dengan akhlak dan nilai yang baik, negara mempunyai asas untuk menjadi aman dan makmur. Jika sebaliknya, kesannya akan dirasai oleh seluruh masyarakat.
Pesanan ini wajar direnungkan kerana masa depan anak-anak sebenarnya sedang dibentuk melalui teladan generasi hari ini. Anak-anak bukan hanya belajar daripada buku dan sekolah.
Sahsiah lebih banyak terkesan melalui pemerhatian dan interaksi secara langsung bagaimana orang dewasa bercakap tentang jiran yang berbeza agama dan kaum. Mereka melihat bagaimana perselisihan politik diuruskan, bagaimana perbezaan pendapat dilayan dan bagaimana kuasa digunakan.
Jika mereka membesar dalam suasana yang sentiasa mencurigai orang lain, mereka mungkin menganggap prasangka sebagai sesuatu yang biasa. Jika mereka melihat perbezaan diuruskan dengan hormat, mereka akan belajar bahawa kepelbagaian bukan alasan untuk bermusuhan.
Justeru, generasi hari ini mempunyai pilihan tentang warisan yang mahu ditinggalkan.
Wariskan hormat
Malaysia dibina dalam kepelbagaian dan itu keunikan dan identiti negara. Kemerdekaan dan pembangunan negara tidak lahir daripada satu kelompok sahaja, tetapi daripada kesediaan rakyat dengan latar belakang berbeza untuk berkongsi sebuah tanah air dan membina masa depan bersama.
Hari ini, cabarannya berubah. Media sosial menjadikan suara lebih mudah didengari, tetapi juga menjadikan perbezaan lebih mudah dibesar-besarkan. Isu kaum, agama dan politik boleh bertukar menjadi bahan yang menyemarakkan kemarahan dalam sekelip mata.
Dalam keadaan ini, rasa hormat menjadi semakin penting.
Menghormati orang lain tidak bermaksud bersetuju dengan semua perkara atau mengorbankan prinsip. Ia bermaksud mampu berbeza tanpa menghina, menegur tanpa merendahkan dan mempertahankan pendirian tanpa menganggap orang yang berbeza sebagai musuh.
Anak-anak perlu melihat bahawa perbezaan pendapat boleh dibincangkan tanpa penghinaan. Mereka perlu melihat bahawa perbezaan agama boleh dihadapi dengan kefahaman dan rasa hormat. Mereka juga perlu belajar bahawa perbezaan politik tidak sepatutnya memutuskan hubungan sesama warga.
Malaysia yang matang bukan Malaysia tanpa perbezaan. Malaysia yang matang ialah Malaysia yang mempunyai kebijaksanaan untuk mengurus perbezaan. Itulah nilai yang perlu diwariskan.
Tinggalkan prasangka
Jika rasa hormat ialah sesuatu yang perlu diwariskan, prasangka pula ialah beban yang perlu ditinggalkan. Prasangka sering diwarisi tanpa disedari. Anak-anak yang lahir tanpa kebencian boleh membesar dengan rasa curiga apabila mereka sentiasa mendengar naratif bahawa kelompok tertentu tidak boleh dipercayai, tidak layak dihormati atau sentiasa menjadi ancaman.
Kitaran ini perlu dihentikan.
Meninggalkan prasangka tidak bermaksud melupakan sejarah atau menafikan perbezaan. Sebaliknya, sejarah perlu dipelajari agar kesilapan yang sama tidak berulang, manakala perbezaan perlu difahami supaya tidak mudah dimanipulasi.
Apa yang perlu ditinggalkan ialah sikap yang terus membangkitkan konflik terdahulu sehingga menjadi alasan untuk mencetuskan permusuhan baharu. Kita perlu belajar daripada sejarah, bukan terus terikat dengannya sehingga menghalang usaha untuk membina hubungan yang lebih baik.
Hal yang sama berlaku dalam soal kepercayaan terhadap institusi. Rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah dan ketidakadilan bukan sekadar masalah pentadbiran. Apabila dibiarkan, semuanya menghakis keyakinan masyarakat bahawa negara boleh ditadbir dengan amanah dan adil.
Ibnu Khaldun mengingatkan tentang kesan kezaliman terhadap kekuatan masyarakat dan tamadun. Sesebuah negara mungkin mencapai kemajuan material, tetapi kemajuan itu sukar dipertahankan jika nilai yang menopangnya semakin lemah.
Maka Malaysia yang mahu diwariskan kepada generasi akan datang bukan sekadar memerlukan ekonomi yang kukuh. Ia memerlukan masyarakat yang berintegriti dan institusi yang boleh dipercayai.
Seruan #Malaysia100 dan Negara Rahmah
Gagasan #Malaysia100 dan cita-cita Malaysia Negara Rahmah oleh IKRAM dapat dilihat sebagai sebahagian daripada perjalanan yang sama untuk membina Malaysia yang lebih baik.
Jika 2057 menjadi horizon untuk melihat wajah Malaysia pada ulang tahun ke-100 kemerdekaan, 2035 pula merupakan sasaran penting untuk merealisasikan cita-cita Malaysia Negara Rahmah. Tempoh ini memberikan ruang untuk membina asas yang kukuh sebelum negara melangkah lebih jauh menuju 2057.
Cita-cita Negara Rahmah menawarkan nilai dan ciri yang boleh memperkaya perjalanan #Malaysia100. Kerangka 15 ciri Negara Rahmah merangkumi:
- Kepimpinan yang Berwibawa, Kompeten dan Berintegriti
- Sistem Pemerintahan yang Berasaskan Semak dan Imbang yang Berkesan
- Tadbir Urus yang Baik
- Undang-undang yang Adil
- Masyarakat Berilmu, Berakhlak dan Penyayang
- Keluarga yang Utuh
- Hubungan Etnik dan Agama yang Harmoni
- Ekonomi yang Mampan
- Agihan Kekayaan yang Saksama
- Pembangunan yang Lestari
- Kebajikan, Kesihatan dan Keselamatan Rakyat yang Terpelihara
- Menerajui Usaha Keamanan dan Kesejahteraan Sejagat
- Ekosistem Pendidikan yang Holistik dan Inklusif
- Kemajuan dan Inovasi yang Terkedepan
- Sektor Swasta yang Beretika dan Bertanggungjawab
Nilai-nilai ini mengisi intipati cita-cita #Malaysia100. Sebuah Malaysia yang lebih maju tentu penting, tetapi kemajuan yang ingin diwariskan perlu disertai institusi yang amanah, masyarakat yang saling menghormati, ekonomi yang adil, alam sekitar yang terpelihara dan kehidupan yang sejahtera.
Dengan saling melengkapi, kedua-dua gagasan ini menghubungkan impian tentang Malaysia pada 2057 dengan usaha yang perlu dimulakan hari ini. Cita-cita sebuah negara yang lebih baik bukan hanya dibayangkan, tetapi dibina melalui cara masyarakat mengurus perbezaan, institusi melaksanakan amanah, kekayaan dikongsi secara adil dan generasi muda dibentuk dengan ilmu serta akhlak.
Inilah yang menjadikan #Malaysia100 lebih daripada sebuah pandangan tentang masa depan. Ia menjadi ruang untuk menyatukan pelbagai cita-cita baik tentang Malaysia dan menggerakkannya bersama menuju sebuah negara yang lebih matang, adil, rahmah dan sejahtera.
Satu generasi, satu amanah
Tiga puluh satu tahun mungkin kelihatan jauh, tetapi satu generasi berlalu dengan cepat. Anak-anak yang sedang bersekolah hari ini akan menjadi golongan yang mengisi institusi negara pada 2057. Mereka akan membuat keputusan yang memberi kesan kepada ekonomi, pendidikan, keluarga dan kehidupan masyarakat.
Mereka akan mewarisi apa yang dibina hari ini, termasuk perkara yang gagal diperbaiki. Oleh sebab itu, #Malaysia100 bukan projek untuk generasi 2057 sahaja. Ia adalah amanah generasi 2026.
Setiap kali seseorang memilih untuk menghormati walaupun berbeza, satu nilai sedang diwariskan. Setiap kali prasangka dijauhi, satu tembok sedang diruntuhkan. Setiap kali rasuah ditolak, kepercayaan sedang dibina. Setiap kali ketidakadilan diperbetul, masa depan sedang diperkukuh.
Mungkin generasi hari ini tidak lagi berada di sini ketika Jalur Gemilang dikibarkan pada ulang tahun ke-100 kemerdekaan Malaysia. Namun keputusan mereka hari ini akan menentukan negara yang dihuni oleh anak-anak mereka ketika itu.
Maka seruan #Malaysia100 wajar disambut bukan sekadar dengan impian tentang sebuah negara yang lebih maju, tetapi dengan kesediaan membina manusia dan masyarakat yang mampu menjaga kemajuan tersebut. #Malaysia100 bermula dengan satu persoalan tentang masa depan. Jawapannya perlu dibina mulai hari ini.
Haji Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia




