Sejak kebelakangan ini, tragedi kematian kanak-kanak akibat tertinggal di dalam kenderaan telah menimbulkan kegusaran di seluruh negara khususnya ibu bapa dan penjaga.
Seiring dengan peningkatan suhu, risiko strok haba turut meningkat, menjadikan kereta sebagai perangkap maut dalam beberapa minit, walaupun pada hari yang sejuk.
Suhu dalaman kereta boleh meningkat dengan cepat. Kajian menunjukkan bahawa suhu di dalam kereta yang diparkir boleh melonjak ke tahap berbahaya dalam masa hanya 10 minit, tanpa mengira cuaca di luar.
Kenaikan suhu yang cepat ini boleh membawa maut kepada kanak-kanak yang sangat rentan terhadap strok haba disebabkan oleh saiz badan yang lebih kecil dan keupayaan yang terbatas untuk mengawal suhu badan secara efektif.
Statistik mendedahkan purata 39 kanak-kanak meninggal dunia setiap tahun di Amerika Syarikat akibat ditinggalkan dalam kereta.
Punca yang dikenal pasti adalah 52 peratus akibat terlupa oleh penjaga, 25.8 peratus kerana kanak-kanak mendapatkan akses sendiri, 20 peratus disengajakan oleh penjaga dan 1.43 peratus kes tidak diketahui.
Statistik ini menekankan perlunya kesedaran yang lebih tinggi dan langkah pencegahan yang lebih baik untuk menghindari tragedi hitam ini.
Langkah elak tragedi
Satu fenomena yang perlu diberikan perhatian khusus ialah Forgotten Baby Syndrome atau ‘Sindrom Terlupa Bayi’ iaitu penjaga secara tidak sengaja meninggalkan anak dalam kenderaan, sering kali disebabkan oleh perubahan rutin atau tekanan yang mengganggu memori mereka.
Sindrom ini tidak memilih mangsa dan boleh berlaku kepada sesiapa saja, bahkan kepada ibu bapa yang paling bertanggungjawab sekalipun.
Keadaan ini memberi isyarat akan kepentingan mempunyai sistem pengingat yang baik dan rutin pemeriksaan yang konsisten untuk mengelakkan tragedi ngeri ini.
Pakar menekankan pentingnya kesedaran dan pendidikan awam untuk mengelakkan kejadian tragis ini.
Langkah-langkah mudah seperti meletakkan patung mainan di tempat duduk penumpang depan untuk mengingatkan penjaga tentang keberadaan anak di tempat duduk belakang atau memastikan penyedia penjagaan kanak-kanak menghubungi ibu bapa jika anak tidak tiba seperti yang dijangka, boleh menyelamatkan nyawa.
Seruan untuk semua agar jangan sekali-kali meninggalkan kanak-kanak tanpa pengawasan dalam kenderaan, walaupun hanya untuk seketika perlu sering diwara-warakan.
Usaha komuniti melalui pendidikan, kesedaran dan langkah legislatif harus segera dilaksanakan bagi mengelakkan kehilangan nyawa yang tidak bersalah dan memastikan bahawa tiada statistik yang melaporkan kematian kanak-kanak di dalam kenderaan.
Penubuhan VICED
Dengan kesedaran dan rasa tanggungjawab sebagai warga masyarakat, Persatuan Akademia IKRAM Malaysia (IKRAM Academia) telah menubuhkan Task Force Vehicle Child Death Prevention (VICED) pada Februari 2024 yang terdiri daripada ahli akademik di Malaysia.
Task Force ini bertujuan untuk melakukan penyelidikan bagi memahami punca pengabaian kanak-kanak di dalam kenderaan, memperkukuh kerjasama strategik antara pelbagai pihak sebagai langkah pencegahan, memperkenalkan solusi inovatif dan praktikal, meningkatkan kesedaran masyarakat melalui kempen serta menjadi rujukan utama dalam penyelidikan dan penerbitan isu keselamatan kanak-kanak dalam kenderaan.
Dalam perkembangan terkini, Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita & Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Ekonomi Penjagaan telah memulakan langkah progresif dalam keselamatan kanak-kanak melalui Kempen Keselamatan Kanak-Kanak di dalam Kenderaan dan Kesejahteraan Keluarga Negeri Selangor.
Pelancaran kempen telah disempurnakan oleh YB Puan Anfaal Saari, Exco Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor pada 21 Mac 2024 di Hospital Selayang. Kempen ini mengangkat mesej “Di mana anak anda sekarang?”, mengingatkan pentingnya kepekaan ibu bapa bagi memastikan keberadaan anak-anak.
Pelbagai agensi dan pemegang taruh terlibat dalam pelancaran kempen ini termasuklah IKRAM Academia sebagai mewakili suara ahli akademik di Malaysia.
Penglibatan ahli akademik dan penyelidik amat signifikan dalam merancakkan kempen keselamatan kanak-kanak seperti advokasi bagi menerapkan kepekaan keibubapaan (parenting mindfulness), pembangunan modul latihan, pembangunan alatan berasaskan teknologi (technological solution) serta penulisan akademik mahupun kandungan media sosial.
Usaha berterusan perlu dilakukan oleh semua pihak untuk terus melindungi kanak-kanak daripada pengabaian dan kemalangan yang tidak diingini.
Ini adalah pertaruhan nyawa. Setiap tindakan yang kita ambil hari ini dapat membentuk masa depan yang lebih cerah dan lebih selamat untuk anak-anak kita.
Dr Zilal Saari merupakan pensyarah kanan di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur. Beliau memegang portfolio sebagai Ketua Task Force Vehicle Child Death Prevention (VICED) IKRAM Academia.