Anak Maut dalam Kereta: 5 Langkah Elak Sindrom Lupa

Anak Maut dalam Kereta: 5 Langkah Elak Sindrom Lupa | IKRAM

Gerun pula membaca pelbagai berita kes anak-anak maut kerana ibu bapa tertinggal mereka di dalam kereta, tetapi begitulah hal yang berlaku hari ini. 

Hakikat yang perlu kita terima, kejadian menyebabkan kematian anak sendiri, terutamanya bayi dan anak-anak kecil, ialah pengalaman pahit yang benar-benar terjadi biarpun tiada siapa menginginkannya.

Maut tertinggal 7 jam

Baru-baru ini, ibu kepada kanak-kanak perempuan yang maut selepas ditinggalkan lebih tujuh jam di dalam kereta didakwa di Mahkamah Seksyen, Petaling Jaya, Selangor atas tuduhan melakukan pengabaian terhadap anaknya sendiri.

Ibu tersebut yang berusia 38 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan hakim. 

Beliau didakwa melakukan kecuaian dengan meninggalkan anak perempuannya yang berusia dua tahun tiga bulan di dalam kereta sehingga meninggal dunia di hadapan sebuah rumah di Jalan PJU 1A/25, Ara Damansara antara pukul 8 pagi hingga 3.15 petang pada 8 November lalu. 

Mahkamah menetapkan 30 Januari 2024 bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Buat masa sekarang, beliau dibenarkan diikat jamin sebanyak RM7,000 dan dikehendaki melapor diri di balai polis berdekatan pada setiap bulan.

Menurut hasil siasatan polis, pada pada jam 7 pagi hari kejadian, tertuduh menghantar dua anaknya ke sekolah berhampiran dan seterusnya ke tadika berdekatan untuk menghantar mangsa.

Bagaimanapun setibanya di tadika, ibu mangsa berhenti sebentar untuk menyelesaikan urusan perniagaan dalam talian sehingga terlupa menurunkan mangsa di lokasi.

Dia kemudian terus pulang ke rumah dan hanya menyedari mangsa berada dalam kereta pada pukul 3.35 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Bukan kisah terpencil

Berita anak-anak tertinggal di dalam kenderaan ini adalah antara siri kejadian yang cukup menyayat hati kita semua.

Ia bukan kisah terpencil yang jarang didengari, bahkan tragedi serupa yang melibatkan bayi dan kanak-kanak ini sudah sering kali berlaku.

24 Ogos 2023 – Seorang kanak-kanak dilihat bersendirian di dalam sebuah kereta yang berkunci tanpa dihidupkan enjin dan penghawa dingin, hanya  sebahagian kecil tingkap sahaja terbuka.

Setelah lelaki yang menjumpainya menunggu selama 40 minit, tiada kelibat ibu atau bapa kanak-kanak itu kelihatan. 

Bimbang akan keselamatan mangsa yang kelihatan pucat, berpeluh-peluh dan menangis, lelaki itu dengan bantuan orang ramai memecahkan tingkap kereta dan mengeluarkan mangsa lalu membawanya ke klinik berdekatan. 

5 Oktober 2023 – Seorang bayi perempuan berusia lapan bulan maut selepas ditinggalkan hampir 10 jam dalam kereta ibunya dari pagi hingga petang di kawasan parkir kenderaan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HTCM), Cheras. 

Ibu mangsa yang juga seorang doktor menyangka sudah menghantar bayinya itu ke taska sebelum ke tempat kerja.

Beliau hanya teringatkan bayinya yang diletakkan di tempat duduk belakang kereta pada petang hari yang sama selepas dimaklumkan oleh suaminya bahawa mangsa tidak dihantar ke taska.

24 Oktober 2023 – Seorang bayi perempuan berusia 16 bulan disahkan meninggal dunia selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri sekitar jam 4.30 petang. 

Bayi itu ditemui di dalam kereta di sebuah universiti awam di sekitar Kuala Nerus, Terengganu. 

Bapanya yang bekerja di universiti tersebut dikatakan terlupa menghantar anaknya ke pusat asuhan yang juga terletak di dalam kampus yang sama.

Tulisan ini hanya mencatat kembali peristiwa-peristiwa berkaitan sindrom “forgotten baby” atau “ibu bapa yang secara tidak sengaja meninggalkan bayi atau anak kecil di dalam kereta berkunci” sepanjang empat bulan lepas.

Jika dicampur dengan kes-kes sebelum ini, entah berapa banyak pula bilangannya, apatah lagi jika diambil kira kes-kes yang tidak dilaporkan kepada pihak polis.

Sindrom lupa anak

Dari sudut perubatan, ibu bapa yang mengalami sindrom ini dikatakan boleh berjalan keluar dari kereta tanpa memikirkan anak mereka di tempat duduk belakang.

Kes seperti ini kebiasaannya terjadi apabila para ibu bapa terlalu memberi tumpuan dan memikirkan hal lain sehingga boleh terlupa anak sendiri.

Kes-kes sebegini terutama yang melibatkan kematian mangsa biasanya diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak. 

Sudahlah ibu bapa dan keluarga mangsa diselubungi kesedihan atas kejadian yang tidak disangka-sangka, ada pula antara mereka yang mengalami trauma dan kemurungan.

Kita turut bersimpati dengan ibu bapa yang terjebak dengan kejadian sedemikian, namun apakan daya, akta sudah termaktub begitu. Tujuan akta adalah untuk melindungi kanak-kanak supaya tidak diabaikan oleh golongan dewasa.

Para hakim pasti akan mengkaji semua sudut sebelum menjatuhkan hukuman, sama ada tertuduh benar-benar terlupa atau ia lebih kepada kecuaian. 

Sekiranya tertuduh disabitkan bersalah dan diperintahkan menjalani hukuman, setidak-tidaknya ia memberi pengajaran kepada orang lain untuk lebih berhati-hati supaya kejadian serupa tidak berulang.

Langkah elak sindrom

Apakah yang boleh kita lakukan untuk mengatasi sindrom lupa anak ini? Langkah-langkah berikut mungkin boleh dijadikan amalan:

1. Doa keselamatan

Yang paling penting, dekatkan diri dengan Allah dan banyakkan berdoa agar diri dan keluarga kita sentiasa berada dalam perlindungan Allah SWT.

2. Komunikasi suami isteri

Rancakkan komunikasi antara suami, isteri dan anak-anak dalam keadaan mesra dan saling mengingati antara satu sama lain. Walau sesibuk mana pun kita, cuba cari masa untuk berinteraksi antara satu sama lain secara langsung atau maya.

3. Pemanfaatan alat talian hayat

Letakkan sesuatu yang penting dalam kehidupan kita, contohnya telefon bimbit, berdekatan bayi atau anak kecil yang kita bawa di dalam kereta. 

Tujuannya adalah apabila kita terlupa, pasti ada masa yang kita akan mencari telefon bimbit tersebut kerana ia telah dianggap sebagai alat yang sangat penting, bagaikan “talian hayat” bagi kebanyakan orang. Pada waktu itulah kita akan teringat kepada anak kita di dalam kereta.

4. Penggunaan fungsi “Child Reminder

Ada juga pihak menyarankan agar ibu bapa mengaktifkan fungsi “Child Reminder” dalam aplikasi Waze. Mod ini berfungsi untuk memberi peringatan kepada ibu bapa bahawa adanya anak kecil di dalam kereta apabila tiba di destinasi.

5. Penggunaan tali

Bagi yang lebih gigih, anda boleh menggunakan tali yang diikat antara kerusi keselamatan bayi (baby car seat) dengan apa-apa barang di badan anda. Tujuannya adalah apabila hendak keluar dari kereta, tali tersebut akan bertindak sebagai pengingat.

Perhatian serius

Isu ini juga telah diambil perhatian serius oleh pihak kerajaan khususnya menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). 

Menterinya Dato’ Seri Nancy Shukri berkata, susulan kes kanak-kanak maut yang kerap berlaku selepas ibu bapa terlupa dan meninggalkan mereka di dalam kenderaan, operator Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dan Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) kini diwajibkan untuk menghubungi ibu bapa dengan kadar segera jika ada kanak-kanak dilihat tidak hadir ke kelas.

Peraturan baru itu telah ditambah dalam prosedur operasi standard (SOP) pengendalian Taska dan Tadika sebagai salah satu inisiatif bagi mengelakkan insiden penjaga terlupa tentang keberadaan anak di dalam kereta.

Pihak Taska dan Tadika juga disarankan supaya menyimpan nombor telefon tambahan ahli keluarga terdekat kanak-kanak selain daripada ibu bapa agar boleh dihubungi dengan segera ketika waktu kecemasan.

A Ralim M Yassen
Editor

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia