Sindrom Bayi Dewasa: Menyingkap Sejarah & Faktor ABDL

Sindrom Bayi Dewasa: Menyingkap Sejarah & Faktor ABDL | IKRAM

Sudah dewasa namun masih keanak-anakan atau masih mempunyai impian menjadi kanak-kanak kecil semula. Dalam erti kata lain, tidak mahu melepaskan sifat naluri kanak-kanak yang ada pada diri.

Itulah isu yang terdapat pada sesetengah individu yang mempunyai masalah Adult Baby Diaper Lover atau ABDL.

Isu ABDL atau sindrom bayi dewasa ini pernah mendapat liputan melalui laporan berita televisyen perdana baru-baru ini. Walaupun komuniti ABDL di Malaysia ini masih dianggap baru dan berbentuk terpencil, namun jika tidak dikekang dari awal, isu ni mampu menjadi kanser dalam masyarakat.

Apakah ABDL dan faktor penggalaknya?

ABDL merupakan singkatan daripada Adult Baby Diaper Lover yang mana individu yang dewasa masih berperilaku dan mengamalkan tingkah laku seperti bayi atau anak kecil yang masih memakai lampin bayi (Diapers), bermain permainan kanak-kanak, menghisap puting susu, minum menggunakan botol susu, menggunakan pakaian dan peralatan bayi ketika makan, minum dan sebagainya.

Individu ABDL berkelakuan sedemikian kerana dipercayai itulah cara mereka membebaskan diri daripada tekanan kerja, melarikan diri daripada masalah dan tanggungjawab orang dewasa, mencari keselesaan, menghidupkan kembali keseronokan dan kebebasan zaman kanak-kanak yang mungkin dirindui dalam kehidupan mereka. 

Pengalaman zaman kanak-kanak juga mampu mempengaruhi penglibatan seseorang dalam ABDL. Sesetengah individu mungkin pernah mengalami trauma atau kurang perhatian semasa kecil, lalu mengamalkan ABDL sebagai cara untuk kembali kepada keadaan kanak-kanak yang dirasakan lebih selamat, dilindungi dan disayangi.

Adakah pengamal ABDL ini mempunyai masalah kecenderungan seksual seperti pengamal Lesbian, Gay, Bisexual & Transgender (LGBT)? Tiada kajian yang spesifik bagi menjawab persoalan ini kerana hasil penemuan kajian sedia ada mendapati bahawa tidak semua pengamal ABDL mempunyai kecenderungan seksual seperti yang sering dikaitkan dengan komuniti LGBT.

Bagi sesetengah individu, hubungan pengamal ABDL dengan pasangan atau ‘pengasuh’ mereka lebih tertumpu pada keselesaan emosi iaitu berasa gembira, selesa, tenang dan ikatan psikologi, bukan kepada rangsangan seksual seperti pengamal LGBT.

Tidak terdapat profil yang jelas mereka yang terlibat dengan ABDL dari segi jantina, umur, latar belakang kerjaya dan akademik. 

Namun, kebanyakan kajian yang dilakukan mendapati majoriti individu yang terlibat dengan ABDL merupakan lelaki dewasa, sudah mempunyai kerjaya yang agak baik dan terdapat dalam kalangan mereka yang sudah berumah tangga serta mempunyai anak. 

Faktor utama dalam amalan ABDL 

Pelbagai kajian di luar negara seperti Kevin J. Hsu, J. Michael Bailey (2023),  Frances C. Maskery (2022),  Elisa Cuter (2020),  Jeleni M. Hilleren (2018), Brian D. Zamboni (2017, 2018),  Brian D. Zamboni & Gracie Madero (2018), Kaitlyn Hawkinson & Brian D. Zamboni (2014) dijalankan bagi memahami fenomena ABDL secara lebih mendalam.

Dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat beberapa faktor utama yang mendorong penglibatan individu dalam amalan ABDL, merangkumi aspek psikologi, biologi dan pengalaman hidup.

Salah satu faktor yang kerap diketengahkan ialah pengaruh pengalaman zaman kanak-kanak pengamal ABDL. Terdapat sesetengah individu ABDL pernah mengalami isu atau pengalaman hidup yang mengerikan.

Kajian berkenaan melaporkan bahawa tingkah laku ABDL menjadi mekanisme mereka untuk melarikan diri daripada tekanan kehidupan, melupakan orang dewasa dan mencari ketenangan emosi.

Dengan kembali semula atau memasuki ruang mental kanak-kanak atau bayi, pengamal ABDL dapat meninggalkan seketika bebanan tanggungjawab yang dihadapi. Tindakan sedemikian menunjukkan keinginan mereka untuk berasa selamat serta sentiasa dilindungi daripada orang lain. 

Masih mencari-cari identiti diri merupakan antara salah satu sebab pengamal ABDL. Bagi sesetengah pengamal, mereka mengalami disforia jantina iaitu berasa tidak selesa dengan jantina sedia ada kerana mereka merasakan jantina yang ditetapkan ketika lahir tidak sesuai.

Maka, pengamal ABDL mencari komuniti sokongan kerana mereka percaya bahawa komuniti tersebut mampu memberikan tempat dan ruang yang selamat untuk mereka meneroka identiti mereka. 

Dalam komuniti ini, mereka boleh mengekspresikan sisi sebenar diri mereka yang keanak-anakan tanpa dihakimi oleh masyarakat yang tidak memahami kehendak dan perasaan mereka. 

Tindakan ini dipercayai mampu membantu pengamal ABDL merasakan dirinya diterima dan mereka merasa puas dengan diri masing-masing, iaitu sesuatu yang mungkin sukar dicapai apabila pengamal ABDL menunjukkan sisi sebenar mereka pada masyarakat umum.

Walaupun kajian faktor psikologi dan pengalaman hidup sering menjadi fokus perbincangan, persoalan mengenai faktor neurologi dan tarikan seksual dalam ABDL turut ditimbulkan.

Adakah terdapat asas biologi atau neurologikal yang menjadi faktor penyebab kepada tingkah laku ini? Setakat manakah elemen fetish seksual mempengaruhi amalan ABDL? Jawapan kepada persoalan ini masih belum konklusif dan memerlukan kajian lanjut yang lebih terperinci.

Sejarah ABDL

Agak sukar untuk dipastikan dari manakah komuniti ini bermula. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa dapatan berdasarkan kajian-kajian yang dilakukan iaitu ABDL dikatakan bermula di Eropah.

Beberapa pengkaji berpendapat bahawa ABDL bermula dari Eropah berdasarkan novel yang dikarang oleh John Cleland dari Perancis pada abad ke-18 iaitu ‘Fanny Hill’ yang menjelaskan tema bayi dewasa dalam kesusasteraan mereka.

Selain itu budaya ABDL dipercayai telah wujud di Amerika Syarikat pada tahun 1980-an dan 1990-an apabila terdapat akhbar yang bersetuju serta mengeluarkan artikel menyokong komuniti ini dan pada masa yang sama komuniti sosial ABDL telah dibentuk di sana.

Situasi ini berlaku disebabkan oleh pengaruh gerakan kebebasan seksual pada tahun 1960-an dan 1970-an di Amerika.

Selain di Eropah, ABDL turut ditemui di Asia iaitu Jepun di mana tema ABDL ini muncul dalam anime manga dan permainan video yang dipercayai sudah diterapkan sejak tahun 1980-an lagi.

Pengamal ABDL di Malaysia pula dikesan baru-baru ini hasil daripada laporan berita stesen televisyen arus perdana yang mendapati bahawa komuniti ini merupakan golongan minoriti, namun sudah mempunyai kumpulan media sosial sendiri yang saling menyokong tindakan dan amalan mereka.

Dengan adanya jalur lebar Internet kini, individu dan pengamal ABDL ini semakin mudah untuk berhubung antara satu sama lain serta membentuk komuniti dalam talian yang merentasi sempadan geografi.

Adakah terdapat  hubungan antara psikologi dengan pelaku ABDL? Berkemungkinan penjelasan di bawah memberikan jawapannya.

1. Tekanan dan kegelisahan

Dalam kehidupan moden yang serba mencabar ini, kebanyakan individu menghadapi tekanan daripada pelbagai aspek seperti kerjaya, hubungan sosial dan tanggungjawab peribadi. 

Bagi sesetengah pengamal ABDL, memasuki ruang mental kanak-kanak atau bayi melalui tingkah laku dan aktiviti seperti memakai lampin, bermain dengan alat permainan bayi, bertutur seperti kanak-kanak membolehkan mereka melepaskan diri buat seketika dari tekanan tersebut.

Selain itu, mereka berasa lebih tenang dan berehat daripada bebanan kerja. Dalam ruang mental kanak-kanak ini, mereka tidak perlu berfikir untuk membuat keputusan, tidak perlu runsing untuk orang lain, sebaliknya hanya perlu menikmati penjagaan dan perhatian daripada “pengasuh”nya.

2. Pengalaman kanak-kanak

Kajian mendapati bahawa kecenderungan tingkah laku ABDL mungkin berpunca daripada pengalaman semasa kecil.

Terdapat pelbagai pengalaman yang tidak menyeronokkan dilalui oleh pengamal ABDL iaitu dipaksa berdikari awal sewaktu kanak-kanak, dipaksa melakukan kerja orang dewasa, dipaksa memberi perhatian terhadap perkara yang tidak digemari, dipaksa berjaya dan cemerlang dalam akademik tanpa  berpeluang untuk memenuhi dan menikmati fitrah kanak-kanak yang bebas bermain.

Justeru, ABDL menjadi cara untuk kembali merasai fasa kanak-kanak yang terlepas selain memenuhi keinginan untuk kembali ke zaman kanak-kanak yang penuh riang dan tidak membebankan.

3. Identiti dan ekspresi diri

Sebagaimana persepsi umum, masyarakat beranggapan dan mempunyai jangkaan tertentu bagi individu berdasarkan umur dan jantina. Contohnya, lelaki dewasa diharapkan bersikap berani, tegas, gagah dan tidak menonjolkan emosi secara terbuka.

Bagi sesetengah ABDL, jangkaan tersebut mungkin bercanggah dengan naluri dalaman mereka. 

Maka, ABDL memberi ruang untuk meneroka dan menunjukkan emosi  diri yang lebih lembut, manja, ingin disayangi, didakap seperti anak-anak. Ekspresi diri ini dipercayai memberi kepuasan psikologi yang mungkin sukar didapati dalam kehidupan sehariannya.

Bantu dan rawat

Maka perbincangan secara terbuka dan jujur mengenai topik ini adalah penting untuk memberi kesedaran dan kefahaman kepada masyarakat. Pada masa yang sama, komuniti ini perlu dibantu, dirawat dan dipulihkan akibat keinginan, nafsu dan faktor dorongan lain. 

Mereka yang menghadapi kesukaran atau tekanan berkaitan dengan keinginan ABDL perlu diberi perhatian sewajarnya, baik daripada pihak berkuasa, badan bukan kerajaan, komuniti yang prihatin dan daripada kalangan profesional terlatih agar komuniti yang minoriti ini tidak merebak dan parah seperti masalah sosial yang lain.

Prof. Madya Dr Khairul Hamimah Mohammad Jodi
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open University Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia