Menjelang mana-mana pilihan raya di negara ini, kita dapat lihat sesetengah pihak yang sengaja memainkan sentimen agama dan perkauman bagi meraih populariti parti dan pemimpin mereka.
Dengan kehadiran media sosial seperti Facebook, Twitter dan TikTok, api kebencian antara kaum dan agama kepada parti-parti lawan semakin disemarakkan, yang boleh mengundang ketidakharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia.
Tempoh kempen pilihan raya yang ditetapkan seolah-olah seperti medan perang antara parti-parti politik dengan menggunakan apa sahaja taktik dan cara ala Machiavelli untuk menjatuhkan lawan, hingga melanggar norma, tatasusila dan adab ketimuran.
Sepatutnya medan politik digunakan untuk bersaing mengemukakan polisi dan solusi demi kebaikan masyarakat dan negara, bukannya untuk menyebarkan fitnah dan hasutan yang meruntuhkan negara.
Kini Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi enam negeri dijangka bakal berlangsung seawal Julai ini,dan gendang-gendang sentimen agama dan perkauman telah mula dipalu.
Adakah situasi ini yang kita mahukan berlaku di negara kita setiap kali pilihan raya? Sudah pasti sebagai rakyat Malaysia, kita tidak mahu keadaan ini terus membarah dan memecahbelahkan masyarakat.
Naratif pertengahan
Naratif yang memisahkan antara kaum dan agama telah mewujudkan suasana polarisasi dalam kalangan rakyat, yang menyebabkan sifat saling menghormati, mempercayai dan bekerjasama semakin hilang daripada amalan kemasyarakatan.
Pergaduhan, pertelingkahan melampau kerana sentimen agama dan kaum tidak akan menguntungkan semua, bahkan boleh menambahkan lagi kerumitan. Cukuplah hanya satu tragedi 13 Mei yang menjadi pengajaran untuk negara, seterusnya menghasilkan Rukun Negara.
Selain daripada itu, negara memerlukan naratif yang menyatukan semua anggota masyarakat dan bukan memisahkan, naratif yang bersifat pertengahan dan inklusif yang mengiktiraf sumbangan semua anggota masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan budaya.
Setiap komuniti pula mestilah diperkasakan untuk membina kerjasama dan kesepaduan dalam kalangan anggota komuniti berkenaan, dan usaha-usaha mestilah digiatkan untuk membangunkan minda yang bersifat terbuka dan bukan membenci.
Sebarang benteng dan persepsi yang tidak benar terhadap sesuatu kumpulan hendaklah diruntuhkan, manakala sifat saling mempercayai antara anggota masyarakat hendaklah dibina melalui inisiatif yang diusahakan.
Contohnya, projek-projek kerjasama dan silang budaya seperti pembersihan taman, membangunkan kebun komuniti dan program kebudayaan dapat memupuk rasa kebersamaan dan saling mempercayai antara satu sama lain.
Manakala penyebaran fitnah dan berita-berita palsu perlu dibanteras dan dikuatkuasakan dengan lebih tegas bagi mengelakkan rasa kurang selesa dan prejudis menebal yang boleh meretakkan hubungan mesra sesama rakyat Malaysia.
Sebarang isu yang diperselisihkan dan dipertikaikan seharusnya diselesaikan melalui platform dialog dan meja rundingan, bukan hamburan kata-kata hinaan, benci dan hasutan sebagai tindak balas.
Usaha-usaha murni seperti kerjasama dan penguatkuasaan ini tentunya memerlukan komitmen semua pihak dan dilaksanakan secara konsisten dengan sumber yang secukupnya.
Dalam pada itu, Pertubuhan IKRAM Malaysia tidak ketinggalan untuk berperanan menyemarakkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan rakyat. Ini selari dengan ciri ketujuh Negara Rahmah yang digagaskan IKRAM iaitu dengan terbinanya hubungan etnik dan penganut agama yang harmoni.
Antara aktiviti memupuk perpaduan yang diusahakan IKRAM ialah Sambutan Bulan Kebangsaan (SBK), Karnival Kita Anak Malaysia (KAMI), forum Bicara Bina Negara, menyertai gabungan NGO berbilang bangsa seperti Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), dialog perpaduan, program silang budaya dan banyak lagi.
Tumpu pembinaan negara
Semua pihak seharusnya menghentikan politiking yang boleh menggugat kestabilan politik dan merencatkan usaha untuk memulihkan negara pascapandemik Covid-19.
Ketidakstabilan politik yang ditimbulkan pasca-PRU14 lalu tidak boleh diulang lagi kerana mudaratnya amat menjejaskan kesejahteraan rakyat dan membantutkan usaha pembangunan negara.
Selepas berakhirnya PRU15, fokus kerajaan dan pemimpin politik sepatutnya terarah kepada usaha memulihkan negara dan mengemukakan model solusi dari pelbagai sudut seperti ekonomi, sosial, kebajikan, infrastruktur, perkhidmatan, kesihatan, pendidikan, taraf hidup rakyat, perpaduan, alam sekitar dan sebagainya.
Perhatian juga seharusnya ditumpukan kepada menyelesaikan segala permasalahan rakyat serta memastikan infrastruktur asas untuk rakyat dibaik pulih terutamanya berkaitan masalah bekalan air, kerosakan jalan, sekolah dan klinik daif, serta kemudahan-kemudahan yang lain.
Antara kesan daripada kestabilan politik yang dinikmati pasca-PRU15, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dilaporkan berkembang 5.6 peratus pada suku pertama 2023 dan dalam tempoh yang sama, pelaburan diluluskan meningkat 60 peratus berbanding 2022.
Manakala hasil lawatan Perdana Menteri ke luar negara setakat ini telah berjaya menarik potensi pelaburan berjumlah RM184.73 bilion. Ini menunjukkan negara berada di landasan yang baik untuk terus berkembang maju.
Dalam pada itu, kes-kes rasuah, penyelewengan dan korupsi diperangi dengan agresif bagi mengembalikan wang rakyat yang dicuri ke kantung negara.
Iltizam kerajaan untuk memerangi rasuah ada asasnya, merujuk kepada anggaran konservatif kerugian negara akibat jenayah ini oleh badan kaji selidik Emir Research berjumlah RM4.5 trilion selama 26 tahun.
Perlu bijak menilai
Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2022 menunjukkan pencapaian nilai skor 0.629 iaitu kesepaduan nasional negara berada pada tahap sederhana dan terkawal, meningkat 0.062 berbanding IPNas 2018.
Ini selari dengan Indeks Malaysia Negara Rahmah (IMNR) 2022 oleh IKRAM yang menunjukkan skor bagi ciri Hubungan Etnik dan Penganut Agama yang Harmoni ialah 7.40, meningkat 0.47 berbanding IMNR 2021.
Walaupun kajian-kajian ini menunjukkan skor bagi perpaduan berada di tahap sederhana dan masih terkawal, namun ia menjadi ‘sumbu’ permainan yang boleh digunakan bagi mereka ingin meraih perhatian dan simpati perjuangan politik.
Oleh itu, rakyat seharusnya bijak menilai dan menangani suasana, serta tidak termakan dengan hasutan kebencian yang berasaskan sentimen agama dan kaum, sama ada di medan fizikal ataupun media sosial.
Rakyat juga wajar mengamalkan politik matang dan tidak taasub dan fanatik menyokong sesuatu pihak secara membabi buta, serta bersikap terbuka dan positif dengan perkara yang bermanfaat walaupun ia dilakukan oleh pihak lawan.
Usah biarkan suburnya perpaduan dan keharmonian yang dibina bersama sekian lama di Malaysia ini dirobek oleh pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab menyemai benih kebencian serta menyemarak sentimen agama dan perkauman.
Malaysia ini tanah air kita, ayuh kita suburkan perpaduan dan keharmoniannya bersama.
Hj Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia