“Kami juga menyambut baik penubuhan sebuah Badan Penyiasatan Bebas (Independent Inquiry Body) yang menggabungkan Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta agensi-agensi kerajaan yang berkaitan,” kata Ketua Wanitanya, Datin Paduka Hajah Che Asmah Ibrahim.
Beliau berkata, tentunya insiden ini akan memberi ruang dan peluang kepada mangsa gangguan seksual di tempat kerja untuk tampil membuat aduan.
“Selama ini gejala gangguan seksual masih belum ditangani dengan sebaiknya.”
Betapa ramai mangsa gangguan seksual tambahnya lagi, yang menderita tekanan emosi dan mental tanpa pembelaan yang sewajarnya.
“Mangsa gangguan dan penderaan seksual di tempat kerja perlulah segera tampil melaporkan permasalahan dan situasi yang mereka hadapi,” kata Asmah dalam kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, Wanita IKRAM menyeru dan mencadangkan kepada sekalian yang terlibat bekerjasama menangani isu ini.
“Pihak majikan perlu mengambil perhatian serius aduan seperti ini agar gangguan seksual di tempat kerja boleh dihentikan.”
Menurutnya lagi, rakan sekerja yang mengetahui dan mempunyai bukti yang cukup juga perlulah membantu agar perkara ini tidak terus berleluasa.
“Masyarakat perlu memainkan peranan sebagai kepedulian terhadap lingkungan seterusnya kesedaran masyarakat umum di Malaysia berkaitan perkara ini wajar dipertingkatkan,” tegas beliau.
Dalam pada itu, masyarakat sebenarnya menantikan satu Akta Gangguan Seksual yang lebih komprehensif untuk digubal dan dilaksanakan demi kesejahteraan semua wanita khususnya dan rakyat Malaysia amnya.
Isu gangguan seksual ini hangat diperkatakan berikutan laporan pada muka depan akhbar The Star pada 29 Julai 2018 yang bertajuk “A sex predator is in the house”.