Perkembangan mutakhir ini menunjukkan usaha menggubal rang undang-undang (RUU) Pendanaan Politik sedang bergerak ke peringkat seterusnya, dengan syor dasar dijangka dimuktamadkan untuk pertimbangan Jemaah Menteri.
Perkembangan ini wajar disambut baik, namun selepas sekian lama reformasi ini dibincangkan dan/atau berada dalam kajian, keutamaan sekarang ialah memastikan RUU tersebut benar-benar dimuktamadkan, dibentangkan di Parlimen dan dilaksanakan secara berkesan bagi mewujudkan sistem pendanaan politik yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab.
Selama berdekad lamanya, Malaysia beroperasi tanpa kerangka undang-undang khusus dan komprehensif yang mengawal selia pendanaan politik. Dalam keadaan ini, persoalan tentang dari mana datangnya wang politik, siapa yang membiayainya, berapa jumlah yang terlibat dan untuk tujuan apa dana tersebut dibelanjakan masih belum dapat dijawab kepada rakyat.
Ketiadaan kerangka yang jelas bukan sekadar satu isu pentadbiran, malah ia membuka ruang kepada amalan kronisme, konflik kepentingan, rasuah sistemik dan penyalahgunaan kuasa yang berterusan.
Apabila wang politik tidak dikawal selia dengan sewajarnya, wujud risiko hubungan antara penyumbang, parti politik dan pihak yang memegang kuasa pentadbiran menjadi terlalu rapat. Keadaan ini boleh menimbulkan persepsi bahawa keputusan kerajaan tidak lagi dibuat semata-mata berdasarkan merit, kecekapan dan kepentingan awam, sebaliknya turut dipengaruhi oleh kepentingan pihak tertentu.
Wang politik dan kuasa tidak boleh dipisahkan daripada persoalan integriti
Dalam demokrasi yang sihat, pertandingan politik sepatutnya berasaskan idea, dasar, rekod perkhidmatan dan kepercayaan rakyat. Namun, apabila sumber kewangan politik tidak telus, ia menyebabkan timbulnya persoalan iaitu, “adakah sesuatu keputusan dibuat kerana ia memberi kebaikan untuk rakyat atau kerana terdapat kepentingan lain oleh pihak-pihak tertentu di belakangnya?”
Persoalan ini menjadi lebih serius apabila ia melibatkan kontrak kerajaan, konsesi, projek pembangunan, lesen atau peluang ekonomi yang bernilai besar.
Tanpa mekanisme ketelusan yang kukuh, persepsi konflik kepentingan sahaja sudah cukup untuk menghakis kepercayaan rakyat. Lebih buruk jika benar-benar berlaku pertukaran antara sokongan kewangan dengan akses, pengaruh atau keistimewaan tertentu.
Atas sebab itu, pendanaan politik ini tidak lagi boleh dianggap sebagai urusan dalaman parti semata-mata kerana ia melibatkan isu tadbir urus negara dan kepentingan rakyat.
Rakyat berhak tahu siapa membiayai politik
Ketelusan bukan bermaksud menghalang individu atau organisasi daripada menyumbang kepada parti politik. Dalam sistem demokrasi, sumbangan politik boleh menjadi sebahagian daripada proses politik yang sah.
Namun, rakyat berhak mengetahui sekurang-kurangnya dari mana sumber kewangan politik diperoleh, berapa jumlahnya, kepada siapa ia disalurkan, untuk tujuan apa ia dibelanjakan, identiti penderma bagi sumbangan yang melepasi ambang tertentu serta bagaimana dana tersebut dibelanjakan.
Tanpa ketelusan tersebut, ruang untuk wang besar membeli pengaruh menjadi lebih luas.
Sebuah parti mungkin menang dengan mandat rakyat. Namun, jika kewangannya bergantung kepada segelintir penyumbang yang tidak diketahui umum, persoalan tentang ketelusan dan akauntabiliti tetap timbul. Demokrasi tidak berakhir di peti undi. Kuasa yang lahir daripada undi rakyat tidak seharusnya kemudiannya dipengaruhi oleh kuasa wang yang tersembunyi.
Jika wang yang besar mampu mempengaruhi siapa yang mendapat akses kepada kuasa dan bagaimana kuasa itu digunakan, timbul persoalan yang lebih asas, “adakah undi rakyat benar-benar menentukan masa depan negara atau akhirnya kuasa wang menentukan masa depan mereka yang terpilih?”
Jangan sampai penyumbang menjadi pemilik tidak rasmi dasar kerajaan
Bahaya terbesar pendanaan politik yang tidak terkawal ialah apabila sumbangan politik berubah menjadi hubungan timbal balik yang tidak sihat.
Pemberi atau penyumbang dana politik ini berkemungkinan besar mengharapkan akses kepada pihak berkuasa. Akses tersebut pula boleh berkembang menjadi pengaruh, yang seterusnya berpotensi mempengaruhi proses dan keputusan kerajaan. Jika keadaan ini tidak dikawal, dasar serta kontrak kerajaan berisiko dilihat sebagai imbuhan bagi sokongan politik, bukannya keputusan yang dibuat berdasarkan merit atau kepentingan awam dan negara.
Jika ini berlaku, yang membayar harga dan menanggung kerugiannya ialah rakyat.
Rakyat membayar melalui kontrak yang tidak kompetitif, projek yang tidak memberikan nilai terbaik, pembaziran wang awam dan peluang ekonomi yang mungkin diberikan bukan berdasarkan keupayaan, tetapi berdasarkan kepentingan pihak-pihak tertentu.
Dalam jangka panjang, budaya sebegini akan merosakkan kepercayaan terhadap institusi negara.
Dana asing juga bukan perkara kecil
Kerangka pendanaan politik yang jelas turut penting bagi mengawal kemasukan dana asing atau sumber kewangan yang boleh menjejaskan kepentingan nasional.
Politik sesebuah negara sepatutnya ditentukan oleh rakyat negara tersebut, bukannya pembiaya-pembiaya parti politik yang mengharapkan kepentingan atau habuan tertentu.
Justeru, undang-undang pendanaan politik menjadi satu keperluan bukan sahaja untuk menetapkan sumber dana yang dibenarkan, tetapi juga sebagai mekanisme pengisytiharan, pemantauan, audit dan penguatkuasaan yang berkesan.
Pilihan raya yang adil bermula sebelum hari mengundi
Perbincangan mengenai pilihan raya yang bersih sering tertumpu kepada proses pengundian, daftar pemilih, persempadanan atau pengurusan pilihan raya.
Namun terdapat satu lagi persoalan yang tidak kurang penting, “adakah semua peserta politik memasuki gelanggang dengan peluang yang munasabah dan peraturan kewangan yang sama?”
Jika satu pihak mempunyai akses kepada sumber kewangan yang sangat besar sementara pihak lain bergantung kepada sumbangan kecil daripada rakyat, pertandingan politik boleh menjadi tidak seimbang.
Sebab itu kawalan terhadap pendanaan politik perlu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha membina persaingan politik yang adil, bukan sebagai usaha menyekat parti politik.
RUU yang tertangguh perlu diberikan jawapan
Perkembangan ke arah dasar pemuktamadan dasar RUU Pendanaan Politik merupakan satu langkah ke hadapan. Namun, reformasi ini perlu diteruskan sehingga suatu kerangka undang-undang berkesan benar-benar diwujudkan.
Persoalannya sekarang bukan sekadar bilakah RUU Pendanaan Politik akan dibentangkan. Persoalan yang lebih besar ialah sejauh mana komitmen sebenar kerajaan terhadap reformasi institusi dan integriti politik khususnya dalam memastikan sistem pendanaan politik menjadi lebih telus, bertanggungjawab dan bebas daripada penyalahgunaan.
Jika kerajaan benar-benar mahu membanteras rasuah, memperkukuh tadbir urus dan memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi negara, maka pendanaan politik tidak boleh terus berada di pinggir agenda reformasi.
Undang-undang yang baik perlu mempunyai beberapa ciri asas iaitu ketelusan sumber dana, kawalan terhadap sumbangan tertentu, larangan terhadap sumber yang berisiko, pengisytiharan kewangan, audit bebas, mekanisme pemantauan dan hukuman yang benar-benar berkesan.
Lebih penting, undang-undang itu mesti terpakai secara adil kepada semua pihak. Reformasi tidak boleh menjadi alat untuk melemahkan lawan politik, sebaliknya mesti membina padang permainan yang sama untuk semua.
Elemen utama yang wajar dipertimbangkan dalam RUU Pendanaan Politik
RUU Pendanaan Politik perlu dibangunkan bukan sekadar sebagai undang-undang yang menetapkan peraturan, tetapi sebagai satu sistem integriti yang mampu dilaksanakan, dipantau dan dikuatkuasakan dengan berkesan.
Anti-Corruption and Integrity Outlook 2026 oleh OECD (Organisation for Economic Co-operation and Development) menunjukkan bahawa banyak negara sudah mempunyai peraturan pendanaan politik yang kukuh [1]. Namun, cabaran sebenar terletak pada pelaksanaannya, dengan masih wujud jurang ketara antara apa yang diperuntukkan dalam undang-undang dengan apa yang berlaku dalam amalan.
Antara elemen utama yang perlu diberi perhatian ialah penetapan sumber sumbangan yang dibenarkan dan dilarang, termasuk kawalan terhadap sumbangan tanpa nama, dana asing dan sumber berisiko tinggi.
Had sumbangan juga penting bagi mengelakkan pengaruh politik tertumpu kepada individu atau entiti tertentu. Pada masa yang sama, parti dan calon perlu tertakluk kepada sistem perakaunan yang jelas serta kawalan terhadap perbelanjaan politik. Menurut OECD, peraturan berkaitan sumber sumbangan, perakaunan, perbelanjaan dan tatakelakuan merupakan asas penting dalam memastikan integriti pendanaan politik.
RUU juga perlu mewajibkan parti politik dan calon mendedahkan sumber pembiayaan serta perbelanjaan mereka, bukan hanya melalui laporan tahunan tetapi sepanjang tempoh pilihan raya.
OECD mendapati 94% negara anggotanya mewajibkan parti menerbitkan laporan kewangan tahunan, manakala 94% turut menetapkan kewajiban pelaporan kewangan semasa pilihan raya.
Namun, kebanyakan negara masih lemah dalam mematuhi tempoh pelaporan. Hal ini menunjukkan bahawa kewajipan melapor sahaja tidak memadai tanpa mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan yang berkesan.
Ketelusan pula tidak seharusnya terhenti pada kewajipan menyerahkan laporan. Maklumat kewangan politik perlu diterbitkan dalam format yang mudah dicapai, difahami dan dianalisis oleh rakyat, media serta pihak pengawal selia.
Malaysia boleh mempertimbangkan pembangunan satu sistem pelaporan digital dan portal ketelusan berpusat yang membolehkan maklumat mengenai penderma, penerima, jumlah sumbangan dan perbelanjaan politik disemak secara sistematik. Langkah ini bukan sahaja memudahkan pemantauan, malah membolehkan ketidakpatuhan dikesan lebih awal.
Dalam masa yang sama, RUU perlu mewujudkan badan pengawal selia yang benar-benar bebas daripada kepentingan parti yang sedang memerintah, sama ada melalui sebuah badan khusus atau institusi sedia ada yang diberikan tahap autonomi, sumber dan mempunyai kuasa penyiasatan serta penguatkuasaan yang mencukupi.
Badan ini perlu disokong oleh kepakaran audit dan keupayaan untuk mengesahkan akaun, menilai kesahihan sumber sumbangan, menyemak perbelanjaan serta mengambil tindakan terhadap pelanggaran. Undang-undang yang baik tidak akan membawa banyak makna jika tiada institusi yang mampu memastikan ia dipatuhi.
Kerangka pendanaan politik juga perlu bersedia menghadapi bentuk pembiayaan dan kempen yang semakin kompleks akibat digitalisasi dan globalisasi. Pembiayaan politik hari ini tidak semestinya datang secara langsung kepada parti atau calon.
Ia boleh bergerak melalui pihak ketiga, kempen digital, jaringan organisasi, sumber asing atau mekanisme pembiayaan lain yang sukar dikesan. Justeru, pengawalseliaan perlu mengambil kira bentuk pembiayaan tidak langsung yang berpotensi mempengaruhi pilihan raya dan keputusan politik. Jika tidak, had sumbangan dan perbelanjaan boleh dipintas atau disalah guna dengan hanya mengalihkan pembiayaan kepada entiti atau pihak lain.
Secara keseluruhannya, RUU Pendanaan Politik perlu dibina atas enam tonggak utama iaitu:
- Kawalan sumber dana
- Had sumbangan
- Perakaunan dan kawalan perbelanjaan
- Pelaporan dan ketelusan
- Pengawasan bebas, audit dan penguatkuasaan
- Mekanisme menangani pembiayaan digital, pihak ketiga dan pengaruh asing
Pendekatan ini selari dengan penekanan OECD bahawa kekuatan sesuatu sistem integriti tidak hanya bergantung pada sejauh mana kukuhnya undang-undangnya itu dicipta, tetapi pada sejauh mana undang-undang tersebut dapat dilaksanakan, dipantau dan dipatuhi dalam amalan.
Akhirnya, integriti pendanaan politik bukan sekadar soal mengetahui dari mana datangnya wang politik. Persoalan yang lebih besar ialah apa yang berlaku selepas wang itu masuk ke dalam sistem politik. Wang sepatutnya membantu rakyat menyertai dan menggerakkan demokrasi, bukan menjadi tiket untuk membeli akses, pengaruh atau keputusan kerajaan.
Reformasi ini tidak seharusnya dilihat sebagai kepentingan mana-mana parti. Ia adalah pelindung kepada sistem demokrasi itu sendiri.
Haji Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Rujukan:
[1] Anti Corruption and Integrity Outlook (2026) https://www.oecd.org/en/publications/2026/03/anti-corruption-and-integrity-outlook-2026_d8f55b04/full-report/component-8.html




