Reformasi Institusi di Malaysia: Slogan atau Realiti

Agenda Nasional

Reformasi institusi bermaksud usaha memperbaik, menyusun semula dan memperkukuh institusi penting negara supaya menjadi lebih telus, berintegriti, cekap, adil dan bertanggungjawab. 

Dalam konteks negara, institusi merujuk kepada badan-badan penting yang memainkan peranan dalam memastikan kelancaran tadbir urus, penguatkuasaan undang-undang dan semak imbang kuasa.

Ini termasuk Parlimen, sistem kehakiman, Suruhanjaya Pilihan Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, polis dan agensi penguatkuasaan, perkhidmatan awam serta badan kawal selia dan audit negara.

Dalam landskap politik Malaysia yang sering berubah sejak sedekad lalu, reformasi institusi telah berkembang daripada sekadar slogan politik kepada satu tuntutan nasional. Salah satunya berkaitan dengan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya baru-baru ini.

Usaha ini telah digerakkan oleh kumpulan masyarakat sivil (CSO) melalui siri-siri advokasi dan libat urus dengan pemegang taruh seperti YB Dato’ Seri Azalina Othman selaku Menteri Undang-Undang, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Jawantukuasa Pilihan Khas (JKPK).

Namun begitu, hal ini hanya menunggu Perdana Menteri sebagai Ketua Majlis Dewan Rakyat untuk membentangkan dan memastikan RUU ini dapat diluluskan. 

Ketika Kerajaan Perpaduan dibentuk pada penghujung tahun 2022, harapan rakyat tertumpu kepada satu persoalan utama iaitu, mampukah kerajaan menterjemahkan janji reformasi kepada perubahan yang benar-benar dapat dirasai?

Tiga tahun kemudian, jawapannya tidak lagi boleh dinilai berdasarkan persepsi atau sentimen politik semata-mata. Reformasi institusi perlu diukur melalui data, prestasi dan kesan sebenar kepada negara, termasuk hubungannya dengan petunjuk ekonomi dan sosial yang mencerminkan keberkesanan tadbir urus serta kesejahteraan rakyat.

Persepsi kejayaan reformasi

Salah satu ukuran paling penting dalam menilai kemajuan reformasi ialah Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang diterbitkan oleh Transparency International. Sejak 2022, Malaysia menunjukkan peningkatan yang konsisten dalam penilaian tersebut. Peningkatan skor CPI menunjukkan keyakinan yang semakin baik terhadap tadbir urus dan integriti institusi negara.

Rajah 1: Prestasi CPI Malaysia

 

Tahun

Skor CPI

Kedudukan Dunia
2022 47 61
2023 50 57
2024 50 57
2025 52 54

Jadual 1 : Prestasi CPI Malaysia

Peningkatan lima mata dalam tempoh tiga tahun mungkin kelihatan sederhana. Namun dalam konteks antarabangsa, ia memberi isyarat bahawa usaha memperkukuh tadbir urus, meningkatkan akauntabiliti dan membanteras rasuah mula mendapat pengiktirafan.

Lebih penting, trend ini berlaku selepas tempoh ketidaktentuan politik yang panjang antara tahun 2018 hingga 2022 yang lalu. Namun CPI hanya mengukur persepsi. Reformasi yang sebenar perlu diterjemahkan kepada prestasi ekonomi dan kesejahteraan rakyat yang lebih membumi. 

Kapasiti ekonomi

Sejarah menunjukkan bahawa banyak agenda reformasi gagal bukan kerana ketandusan idea, tetapi kerana kelemahan kapasiti ekonomi untuk melaksanakannya secara berkesan. Dalam konteks Malaysia, prestasi ekonomi sepanjang dua tahun kebelakangan ini memberikan ruang yang lebih besar untuk kerajaan melaksanakan pembaharuan institusi.

Pertumbuhan KDNK Malaysia pula menjelaskan bahawa terdapat pemulihan ekonomi yang memberi ruang kepada pelaksanaan reformasi yang lebih menyeluruh dan berimpak. 

Rajah 2 : Prestasi Pertumbuhan KDNK Malaysia

Tahun Pertumbuhan KDNK
2023 3.5%
2024 5.1%

Jadual 2 : Prestasi Pertumbuhan KDNK Malaysia

Pertumbuhan sebanyak 5.1 peratus pada tahun 2024 menunjukkan bahawa ekonomi negara bukan sahaja pulih, malah berkembang pada kadar yang lebih pantas berbanding tahun sebelumnya. Keadaan ini memberikan kerajaan ruang fiskal yang lebih luas untuk melaksanakan reformasi pentadbiran, memperkukuh sistem perlindungan sosial dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dengan lebih berkesan. 

Dalam kata lain, reformasi institusi memerlukan sumber dan kestabilan. Pertumbuhan ekonomi menyediakan kedua-duanya. Dalam aspek politik, kestabilan merupakan elemen utama dalam memastikan kelancaran sesuatu dasar dapat dilaksanakan. Sebarang agenda perubahan akan kehilangan legitimasi sekiranya manfaatnya tidak sampai kepada rakyat. Di sinilah pentingnya melihat data pasaran pekerjaan dan pendapatan isi rumah.

Tahun Kadar Pengangguran
2023 3.4%
2024 3.2%

Jadual 3: Pasaran Buruh Malaysia

Penurunan kadar pengangguran kepada 3.2 peratus menunjukkan lebih ramai rakyat berjaya memperoleh pekerjaan dan menikmati kestabilan ekonomi yang lebih baik. Hal ini penting kerana reformasi yang berjaya bukan sekadar menghasilkan ekonomi yang lebih besar, tetapi ekonomi yang lebih adil.

Namun begitu, dengan ketidaktentuan global khususnya apa yang berlaku di Asia Barat yang memberi kesan kepada pelbagai sektor pekerjaan di Malaysia, ia seharusnya diuruskan oleh kerajaan dengan tuntas dan mampan.  

Impak  sosial

Sesebuah negara tidak boleh dianggap benar-benar berjaya hanya kerana kadar pertumbuhan ekonomi meningkat atau pelaburan asing bertambah. Reformasi yang sebenar hanya berlaku apabila perubahan turut dirasai dalam kehidupan masyarakat.

Apabila rasuah semakin tidak diterima sebagai budaya, integriti menjadi norma dalam sektor awam dan swasta, jurang sosial semakin mengecil, peluang pendidikan dan mobiliti sosial lebih adil, rakyat akan kembali percaya bahawa sistem negara melindungi kepentingan mereka tanpa mengira latar belakang. 

Hakikat ini turut disokong oleh Laporan World Happiness Report 2025 yang menunjukkan bahawa faktor seperti kepercayaan terhadap institusi, hubungan sosial, kemurahan hati dan persepsi terhadap integriti kerajaan mempunyai hubungan yang signifikan dengan tahap kesejahteraan rakyat.

Malah, faktor-faktor ini sering menjadi penentu yang lebih mendalam berbanding pertumbuhan pendapatan semata-mata. Hal ini menunjukkan bahawa reformasi yang berkesan bukan hanya menghasilkan ekonomi yang lebih baik tetapi masyarakat yang lebih saling mempercayai dan institusi yang lebih diyakini. 

Seperti yang pernah diungkapkan oleh ahli sosiologi terkenal, Peter Drucker iaitu “Culture eats strategy for breakfast.” Ungkapan ini mengingatkan bahawa sehebat mana sekali pun dasar dan strategi kerajaan, reformasi akan sukar bertahan sekiranya budaya masyarakat tidak turut berubah.

Justeru, reformasi institusi perlu bergerak seiring dengan reformasi sosial. Undang-undang yang baik tidak akan menghasilkan masyarakat yang baik tanpa budaya integriti, manakala institusi yang bebas tidak akan berfungsi secara optimum sekiranya rakyat tidak memiliki literasi sivik, kesedaran demokrasi dan nilai tanggungjawab sebagai warganegara.

Kesimpulan

Akhirnya, reformasi institusi perlu difahami sebagai agenda jangka panjang yang menentukan masa depan negara. Pembaharuan dalam politik, ekonomi dan sosial bukan sekadar perubahan dasar, tetapi usaha memperkukuh institusi agar lebih telus, adil dan berintegriti. 

Dalam konteks pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya, seharusnya setiap parti dan ahli Parlimen memainkan peranan yang penting untuk menunaikan agenda reformasi ini dengan memberi sokongan dan dukungan penuh terhadap Rang Undang-undang ini.

Selain itu, rakyat perlu melihat sebarang pindaan perlembagaan atau Rang Undang-undang yang diluluskan di Parlimen sebagai keputusan penting yang memberi kesan mendalam kepada generasi akan datang.

Walaupun manfaatnya tidak segera dirasai seperti STR atau BUDI 95, reformasi institusi membina asas yang lebih kukuh untuk keadilan, kestabilan dan kesejahteraan negara dalam jangka panjang. Cabaran sebenar ialah menjelaskan kepada rakyat mengapa reformasi institusi ini penting.

Bahasa Perlembagaan seperti pindaan undang-undang, tribunal, pengasingan kuasa dan semak imbang tidak selalu dekat dengan kehidupan harian rakyat sedangkan semua perkara ini menentukan kualiti kerajaan yang akan mentadbir nanti.

Kerajaan pula tidak boleh mengharapkan rakyat memahami kepentingan reformasi ini secara automatik tetapi memerlukan pendekatan yang lebih berkesan dan menyeluruh dalam segenap aspek kehidupan. 

Prof Dr Hanim Salleh

Ketua Kluster Kepimpinan

 JKP Agenda Nasional

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Rujukan

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia