Langkah itu diambil dengan mengambil peluang terhadap ruang kebebasan bersuara, mengkritik dan beraktivisme yang terbuka selepas peralihan kuasa kerajaan pusat pada pilihanraya umum yang lepas.
Dalam satu kenyataan media beliau berkata, kerjasama itu merupakan satu usaha untuk merealisasikan ‘Universiti Baharu’ di institusi pengajian tinggi seluruh negara melalui tawaran Gagasan Kampus Harmoni.
Ia termasuk menawarkan kerjasama dengan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai penggubal polisi dan pihak pentadbiran universiti seluruh negara.
Pelancaran buku Gagasan Harmoni oleh Puan Erina Ismail, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Mahasiswa, Kementerian Pendidikan Malaysia
Katanya, Belia Harmoni sudi berganding bahu dengan pihak pentadbiran universiti untuk memastikan kelancaran transisi menuju Universiti Baharu yang didokong oleh mahasiswa.
Dengan menyedari ruang yang terbuka luas untuk mahasiswa berperanan dalam agenda reformasi itu, Belia Harmoni turut menyatakan kesudian untuk bergerak dan berjalan seiring dengan rakan-rakan aktivis mahasiswa di peringkat kampus ataupun nasional selagi mana bersetuju dengan usaha yang dinyatakan.
Kenyataan itu dibuat dalam Konvesyen Mahasiswa Harmoni 2018 (KMH 2018) yang diadakan di Pusat Konvensyen Bank Rakyat pada Sabtu, 27 Oktober lalu.
Konvensyen itu berjaya menghimpun lebih daripada 1,200 peserta yang terdiri daripada mahasiswa dari seluruh negara untuk membincangkan tentang idea Universiti Baharu dan ruang perlaksanaannya.
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik turut ‘muncul’ dalam majlis itu dalam bentuk rakaman video ucapan sebagai menyokong majlis tersebut sekali gus menyokong usaha mahasiswa untuk kembali berperanan dalam negara.
Forum Harmoni dari kiri: Dr Norita, Dr Nazari, Wan Ahmad Fayshal dan Ammar Hasbullah (moderator)
Turut menjadi panelis dalam sesi Forum Harmoni termasuklah pakar ekonomi dan pensyarah Universiti Malaya, Prof Dr Mohd Nazari Ismail, pensyarah USIM Nilai, Prof Dr Norita Md Norwawi dan wakil Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Terdahulu, Konvensyen Mahasiswa Harmoni 2015 telah melancarkan Gagasan Kampus Harmoni, yang merangkumi lapan visi bagi mencapai matlamat “Masyarakat Kampus Harmoni dengan Sistem Islam”.
Para tetamu dan peserta KMH 2018
Belia Harmoni yang sebelum ini dikenali sebagai IKRAM Siswa ditubuhkan pada 2013 dan menukar nama pada tahun 2016, memiliki ahli seramai lebih 3,000 orang daripada 29 cawangan di kampus seluruh negara.
Antara fokusnya adalah pembangunan mahasiswa, pembinaan tokoh pemimpin mahasiswa, meningkatkan keprihatinan mahasiswa terhadap kemanusiaan sejagat, menggembleng kekuatan melalui permuafakatan dan menjadi jurubicara dalam menyuarakan pandangan mahasiswa.
Barisan urusetia yang menjayakan KMH 2018
Selain itu, Ahmad Taqiyuddin Shahriman selaku Presiden Belia Harmoni merupakan antara watak utama dalam pertemuan sulung dan bersejarah antara aktivis mahasiswa dan Menteri Pendidikan baru, Dr. Maszlee Malik pada 12 September lalu.