Rasuah di tahap meruncing, segerakan reformasi

SERI KEMBANGAN – Kes Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki telah membawa rasuah kepada satu tahap yang meruncing, menurut Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub.

 

Tambah beliau, keadaan ini seterusnya mempamerkan beberapa kelemahan dalam institusi sangat penting negara, yang sepatutnya menjaga integriti dan membanteras rasuah iaitu SPRM.

 

Krisis integriti negara yang semakin meruncing mendesak kepada sebuah penyelesaian yang pantas dan praktikal bagi memulihkan integriti dan nama baik negara.

 

“Reformasi wajar dilakukan demi fokus yang lebih besar iaitu membersihkan sistem sedia ada bukan hanya memberi tumpuan terhadap kes membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang sedang hangat ketika ini,” kata beliau pada sidang media ‘#RasuahBusters: Solusi Transformasi SPRM’ di Kumpulan Media Karangkraf hari ini.

 

Rasuah Busters mengambil peluang menjadikan kes tuduhan ini sebagai momentum untuk memberi kesedaran kepada seluruh rakyat Malaysia.

 

“Kalaulah badan yang menangani rasuah pun boleh timbul perkara ini, maknanya ada masalah besar dalam sistem. Jadi, kita mahu lihat seluruh sistem dibersihkan,” demikian tegasnya.

 

Beliau berkata, gabungannya perlu fokus masalah lebih besar kerana jika fokus satu kes sahaja, masalah sama boleh berulang.

 

“Ini terkait dengan tuntutan kami untuk mereformasikan parlimen. Kita nak memperkasakan parlimen supaya menjadi sebuah institusi semak dan imbang yang betul-betul berkesan, yang dapat memberi suara rakyat dan akar umbi ke dalam parlimen,” ujar Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), Haji Badlishah Sham Baharin.

 

Pada sidang media itu beliau menegaskan, bagi memastikan kebebasan institusi seperti SPRM ini, maka amat perlu kepada Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah (IACC) yang dicadangkan sebagai solusi tersebut untuk melaporkan kepada parlimen.

 

“Ini yang ditekankan, reformasi parlimen juga berjalan seiringan dengan apa yang dicadangkan supaya menjadikan institusi parlimen mempunyai kuasa semak dan imbang yang penting dalam negara kita ini,” kata beliau.

 

Menurutnya, jika tidak diketahui solusi yang sebenarnya, ia mungkin akan timbul lagi pada masa akan datang, tidak kira siapa pun pesuruhjaya SPRM itu.

 

“Oleh itu, kita fokus kepada solusi seperti suruhanjaya bebas pencegahan rasuah ini adalah satu solusi yang boleh mengembalikan kewibawaan kepada SPRM. Sebagaimana yang kita tahu ia adalah agensi yang berada di barisan hadapan memerangi rasuah di negara ini,” tegas Badlishah.

 

Justeru, amatlah penting institusi ini dilihat bebas, berwibawa, utuh, berintegriti dan telus agar institusi seperti ini diyakini oleh rakyat dan diberi kepercayaan oleh rakyat. 

 

“Kami yakin, jika SPRM ini boleh menjadi institusi yang bebas, maka masalah rasuah di negara ini dapat dihadapi dan tangani dengan baik,” sambil menambah, selain itu juga dapat ditemui solusi kes rasuah yang makin membarah di negara ini.

 

Badlishah yang juga Timbalan Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) turut menyeru kepada semua pihak agar membawa solusi ini supaya dapat memerangi rasuah, mencegah rasuah dan dapat membasmi rasuah di negara ini. 

 

Turut bersama pada sidang media dan menggesa tuntutan tersebut ialah Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4) Cythia Gabriel, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Tricia Yeoh, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Dr Mohammad Mohan dan Pengarah Eksekutif Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Yap Swee Seng.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia