Rasuah Di Malaysia: Pandemik Jahanamkan Negara

Rasuah Di Malaysia: Pandemik Jahanamkan Negara | IKRAM

“The Scourge of Our Neighborhood of Oblivion” adalah frasa yang telah diungkapkan oleh Naguib Mahfouz pada salah satu watak dalam novel kontroversinya, ‘The Children of Our Neighborhood.’

Namun, kejiranan sebenar yang dikisahkan adalah lebih besar daripada yang dialami dalam cerita tersebut. Kejiranan itu adalah negara yang tercemar dengan rasuah, dan kemudian menjadi musibah kerosakan terbesar sebuah negara secara rahsia dan terbuka di khalayak ramai.

Hakikatnya, rasuah bukanlah penyakit biasa atau masalah kesihatan yang boleh dirawat dengan beberapa ubat penahan sakit.

Penyebarannya telah menjadi seperti wabak atau pandemik setelah ia menembusi institusi kerajaan dan institusi lainnya hingga seterusnya bertukar menjadi budaya umum dalam kalangan masyarakat.

Bertopengkan dengan beberapa nama ‘kosmetik’ bagi mengelabui mata sesiapa pun, seperti gratifikasi, tuntutan atau hadiah, masyarakat tanpa sedar terjebak dengan rakan kongsi dalam kitaran najis tersebut.

Ke arah memerangi integriti dan pencegahan, ia membayangi beberapa faktor kerana rasuah menyusup masuk ke dalam ekonomi, politik dan masyarakat.

Walaupun ekonomi kebanyakan negara mengalami impak akibat Covid-19 dan perang Ukraine, rasuah tetap ada berakar umbi. Realitinya, wabak dan konflik akan hilang mengikut peredaran masa, tetapi akar rasuah tetap tumbuh membesar. Sejauh manakah fenomena itu diperangi dengan serius?

Penglibatan Ahli Politik

Menurut pendapat pakar dalam pembangunan sosial dan hal ehwal antirasuah, Profesor Laure Abi Khalil, penyebaran rasuah politik telah melemahkan keberkesanan negara dan kecekapan organnya dalam menangani fenomena ini.

Jelasnya, ini disebabkan oleh kelemahan dan perpecahan institusi negara yang ketiadaan penyelarasan, pengurusan mahupun akauntabiliti.

Beliau menegaskan bahawa kelemahan institusi, struktur sosial dan penguasaan struktur tradisional mempengaruhi prestasi lemah atau kecekapan mekanisme kawalan mahupun pengimbangan.

Pemimpin negara yang terlibat dalam rasuah akan menjejaskan semua sektor, seperti pelaburan, bangunan, tanah dan infrastruktur seperti jalan raya, sektor komunikasi, bank, penyeludupan wang ke luar negara, perdagangan dadah dan pelacuran, di samping laluan import dan pengagihan saluran bantuan.

Sesuatu yang amat mengejutkan apabila sebuah filem Tamil dari negara India, dengan secara sinisnya mempamerkan babak rasuah yang terselit nama Malaysia.

Dalam filem berjudul ‘Kaduva’ itu, salah seorang pelakon menyatakan bahawa syarikat dari Malaysia menawarkan rasuah untuk mengimport minyak sawit.

Walaupun hanya sekali sahaja nama Malaysia disebut dalam babak berkenaan, ia memberikan impak yang jelek dan menampakkan realiti sebenar rasuah membabitkan ahli-ahli politik di negara ini.

Lebih-lebih lagi, salah seorang mantan Perdana Menteri Malaysia telah dikenakan hukuman penjara berikutan kesalahan besar yang dilakukannya ketika menjawat jawatan tersebut.

Berikutan isu terbabit, Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Hj Badlishah Sham Baharin mengajak masyarakat untuk menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap mantan Perdana Menteri itu bagi kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

“Perjalanan kes ini diperhatikan seluruh warga dunia. Keputusan kes ini penting bagi memulihkan kredibiliti sistem kehakiman negara. Kebebasan institusi kehakiman adalah penting untuk mana-mana negara yang bermaruah.”

Menurutnya, kes penyelewengan ini merupakan satu tragedi untuk negara yang membawa kesan dan persepsi negatif yang berpanjangan.

“IKRAM berharap kes ini menjadi pengajaran kepada para pemimpin politik, sama ada kerajaan atau pembangkang, juga pemimpin agensi atau syarikat kerajaan, serta institusi perbankan, kakitangan awam dan lain-lain, agar menjadikan tanggungjawab kepimpinan ini satu amanah dan tiada pemimpin akan datang yang berani melibatkan diri dalam apa jua bentuk penyelewengan wang dan rasuah,” tegasnya

Di samping itu, pemimpin yang amanah, berintegriti dan adil hendaklah diangkat agar negara boleh fokus kepada pembangunan dan pelaksanaan model solusi yang berimpak kepada rakyat.

Persepsi Terhadap Malaysia 

Susulan petikan skrip filem Kaduva arahan Shaji Kailas dengan pelakon utama yang dibintangi Prithviraj Sukumaran itu mendapat perhatian netizen, Badlishah Sham berkata, dunia luar melihat Malaysia ini sebuah negara rasuah dan itulah persepsinya.

“Kita sangat malu dan sedih dengan apa yang disebutkan dalam filem tersebut.”

Tambahnya lagi, isu-isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kesnya didengar di luar negara seperti New York.

“Suatu waktu dahulu, nama Malaysia megah, dipandang tinggi, dikenali di seantero dunia, namun kini, orang gelakkan,” ujarnya.

Menurutnya, tentunya nak mengubah kembali persepsi sedemikian sangat susah memakan waktu yang panjang.

“Jadi kita perlu menyokong gerakan Rasuah Busters, gerakan reformasi nilai untuk basmi rasuah di negara kita.”

Kempen #RasuahBusters adalah gelombang gerakan oleh rakyat demi rakyat untuk menghapuskan budaya memberi/menerima rasuah serta sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa dalam ekosistem di negara ini.

Seharusnya negara komited untuk menghapuskan rasuah. Badan tertentu yang berwibawa juga sewajarnya komited untuk menyelaras sesama mereka dalam usaha memerangi rasuah dan mempromosikan nilai integriti dan ketelusan.

Ini penting untuk memastikan prestasi yang baik serta membuat susulan pelaksanaan strategi antirasuah dengan kerjasama badan serta agensi lain yang berkenaan.

Perlu Strategi

Menurut Indeks Persepsi Rasuah Dunia (CPI) 2021, Malaysia berada pada kedudukan ke-62 daripada 180 negara.

Rasuah secara umum adalah wabak yang telah merebak dan tidak melepaskan sebarang aktiviti sosial, dan ia salah satu manifestasi rasuah yang paling biasa.

Ia sering berlaku disebabkan hubungan peribadi dan kepentingan keluarga, nepotisme berleluasa hingga menjejaskan konsep kejujuran apatah lagi prestasi pekerja dalam tugasnya serta mengurangkan faktor pergantungan kepada kecekapan juga kelayakan.

Dalam usaha untuk mengurangkan rasuah pentadbiran dan kewangan, Malaysia perlu melancarkan strategi untuk memeranginya dengan tujuan mendapatkan semula dana yang ‘diseludup’ ke luar negara.

Strategi tersebut termasuklah mengaktifkan penyertaan dalam proses mendiagnosis fenomena rasuah dan membangunkan alternatif serta menyediakan peluang untuk melatih dan membangunkan kader institusi dan sektor yang terlibat.

Mudarat Rasuah

Rasuah juga ialah penggunaan kuasa yang tidak adil untuk kepentingan peribadi. Ia termasuk rasuah, kecurian, penyelewengan, ancaman, peras ugut, dan pemberian keutamaan kepada kumpulan terhad. Ia juga termasuk kemalasan dan kecuaian dalam melaksanakan kerja yang menerima gaji atau ganjaran.

Rasuah berleluasa dari pihak atasan pejabat awam hingga pengawal keselamatan yang membenarkan orang yang tidak dibolehkan masuk.

Sesetengah mungkin berpandangan bahawa rasuah di puncak adalah lebih teruk dan lebih besar daripada tip kecil yang diterima oleh pengawal bawahan, namun prinsipnya adalah sama.

Tahu dan sedarkah kita, dengan menerima rasuah yang kecil, secara halusnya membenarkan rasuah itu sendiri terjadi?

Rasuah adalah momok yang sangat lama sejak zaman awal kewujudan manusia.

Ia hadir dan disebut oleh Firaun dan Sumeria lima ribu tahun yang lalu, dan oleh orang Yunani kuno, dan Plato juga Socrates mengadu tentangnya lima ratus tahun yang lalu, dan ia hadir di negara Rom dua ribu tahun yang dahulu.

Dan ia masih wujud sehingga kini, tetapi dalam bentuk yang berbeza mengikut fasa pembangunan negara, budaya dan undang-undang serta prosedur yang berlaku padanya.

Rasuah wujud dalam institusi negara. Tidak terkecuali, dalam sektor pilihan raya, pendidikan, projek kebajikan mahupun keagamaan. Ia menyubur dan membesar dengan adanya faktor berikut:

1. Konflik kepentingan dalam kalangan pembuat keputusan.

2. Ketidakpastian tentang perkhidmatan dan transaksi kerajaan yang disediakan.

3. Memberi pekerja kuasa untuk memutuskan perkara harian mengikut ‘mood’ atau budi bicara mereka, bukan mengikut syarat yang jelas dan tetap yang terpakai kepada semua orang.

4. Memberi kuasa kepada pegawai kanan untuk memecat dan memutuskan kes luar biasa atau kontroversi mengikut visi mereka yang berbeza-beza terhadap seseorang.

5. Ketelusan yang lemah.

6. Budaya masyarakat yang terlepas pandang terhadap rasuah dan tidak memeranginya dengan keras serta tidak menolak pemiliknya.

Seperti yang dikatakan oleh senator Rom yang juga ahli sejarah Cornelius Tacitus (1900 tahun yang lalu), “Membuaknya undang-undang tanpa pelaksanaan yang tegas, menggalakkan pertumbuhan rasuah.”

Menerapkan Sistem Nilai

Perbuatan rasuah lebih berbahaya daripada fenomena itu sendiri, dalam erti kata lain, rasuah telah bertukar menjadi satu tingkah laku dan budaya yang diterima secara tersirat oleh masyarakat seterusnya, muncul dari ruangan yang tidak terucap dahulu, ke alam paksaan kedua, dan kemudian ke ruang keizinan, ketiganya.

Oleh yang demikian, perbuatan itu berkembang menjadi bentuk struktur yang menghasilkan fenomena hasil daripada sistem politik, ekonomi dan kewangan negara mundur, yang dicirikan oleh ketiadaan undang-undang, atau lebih tepatnya ketiadaan penguatkuasaan undang-undang.

Budaya rasuah yang telah merebak secara wabak menjadi autoritarian khususnya mewakili ancaman paling serius kepada sistem nilai yang merupakan rangkaian infrastruktur asas untuk pembinaan sosial dan individu dalam sesebuah negara.

Jika pembinaan nilai negara hanya berdasarkan syarat keadilan, iaitu penerapan undang-undang, pembelaan terhadap ketidakadilan dan perjuangan menentang autoritarianisme juga kezaliman, maka keruntuhan nilai ini hanya boleh menjadi sebaliknya, iaitu keruntuhan sistem perundangan dan penularan rasuah dalam badan kehakiman dan eksekutif.

Agama Islam dibina atas pembaharuan nilai individu dan kolektif, yang merupakan jaminan kelangsungan hidup seseorang dan kumpulan di dua dunia, dengan cara yang berkait rapat dengan akhlak juga keselamatan.

Persoalan utama di sini ialah bagaimana keadaan akhir negara berkembang dan tersebar dalam inkubator agama yang paling menekankan nilai, akhlak, prinsip dan kebaikan, termasuk apakah syarat untuk kelangsungan dan kemakmuran negara?

Prihatin Tentang Rasuah

Pope Francis telah menyebutkan rasuah sebagai kerosakan moral. Setiausaha Negara AS John Kerry berkata rasuah adalah faktor ekstremisme kerana ia menghancurkan kepercayaan terhadap pihak berkuasa yang memerintah.

Manakala Perdana Menteri Britain, David Cameron telah mengatakan bahawa rasuah adalah salah satu musuh terbesar kemajuan zaman ini.

Sudah pasti, rasuah dikecam dalam semua budaya sepanjang sejarah dan telah wujud sejak penubuhan kerajaan, tetapi seperti jenayah lain, ia telah menjadi semakin kompleks sejak beberapa dekad yang lalu dengan kesan buruk terhadap kesejahteraan mahupun maruah rakyat yang tidak berdosa yang tidak terkira banyaknya.

Pertama sekali, rasuah melumpuhkan proses pembangunan. Apabila penipuan perolehan berleluasa, hak harta kepada sumber awam dicuri, atau sektor swasta dimonopoli oleh rangkaian sempit kroni; masyarakat tidak berkembang dan tidak dapat menggilap potensi mereka.

Namun, rasuah mempunyai satu lagi kesan yang kurang dikenali; iaitu apabila penduduk melihat pemimpinnya memperkayakan diri mereka dengan mengorbankan rakyat, mereka menjadi semakin kecewa dan marah, yang kadang-kadang boleh membawa kepada pergolakan dan konflik yang kritikal sebagaimana yang dapat kita lihat di negara luar seperti Sri Lanka.

Banyak krisis keselamatan global semasa berpunca daripada proses yang berubah dan diperbaharui ini, sebagaimana ketidakpuasan hati dengan tingkah laku angkuh seorang pegawai polis yang korup mendorong seorang penjual buah Tunisia membakar dirinya pada tahun 2010, seterusnya membawa kepada tercetusnya revolusi di dunia Arab.

Penunjuk perasaan menuntut penahanan dan perbicaraan menteri tertentu serta menuntut pemulangan aset yang dirompak, yang mana ia adalah suatu tuntutan yang jarang dipenuhi.

Manakala sebahagian pegawai kerajaan sering bermegah dengan kekayaan dan keupayaan mereka untuk melarikan diri, gerakan pelampau mengeksploitasi kemarahan rakyat dan satu-satunya cara untuk memulihkan integriti adalah melalui penerapan kod tingkah laku peribadi yang ketat.

Untuk menentukan pendekatan terbaik dalam setiap kes tertentu, kerajaan Keluarga Malaysia seharusnya menganalisis masalah dengan lebih jelas serta meningkatkan risikan dan pengumpulan data.

Negara penderma pula harus menstrukturkan bantuan dengan cara yang mengurangkan risiko rasuah.

Bantuan ketenteraan atau pembangunan adalah bantuan politik, serta programnya mesti disesuaikan untuk memastikan wang tidak dirampas oleh pencuri. Ini bermakna beban usaha pencegahan rasuah tidak lagi boleh dianggap remeh.

Namun, rasuah hari ini ialah amalan tersusun, produk rangkaian kompleks seperti jenayah terancang yang mana ejen rasuah berkomunikasi melalui rangkaian tersebut.

Kerajaan harus mengkaji aktiviti ini dan akibatnya dengan cara yang sama seperti mereka mengkaji organisasi jenayah atau pengganas transnasional.

Pandemik Jahanamkan Negara

Rasuah kewangan adalah salah satu bentuk pencurian kekayaan negara, dan menyebabkan kebocoran dana awam dengan cara yang menyalahi undang-undang ke dalam poket pelaku rasuah, untuk membina ‘singgahsana’ dan menambah baki di akaun bank mereka.

Ia juga seperti kuman jahat yang memangsakan tadbir urus yang baik dan kehilangan legitimasi politik. Negara musnah dan rakyat dirompak berikutan rasuah menyumbang kepada memutarbelitkan keputusan ekonomi dan politik, hingga pilihan dan keputusan menjadi salah.

Dana untuk kumpulan yang sangat memerlukan beralih kepada kumpulan berkepentingan, tonggak pemerintahan digoncang, keadilan sosial hilang, kedaulatan undang-undang tidak dilaksana, dan negara masuk ke dalam gaung kemusnahan yang sangat dalam.

Situasi ini berlaku setelah mereka menjadikan rasuah sebagai budaya dan kuasa jahat yang digunakan oleh mereka untuk memenuhi tujuan mereka sendiri. Apabila rasuah berleluasa dalam masyarakat, mereka yang terlibat memonopoli semua aspek kehidupan awam negara.

Sedangkan seantero dunia gigih berusaha membangunkan negara setelah mengalami pandemik Covid-19, keadaan rakyat menjadi lebih buruk, pembangunan dan kemajuan yang telah dikecapi terulit dengan anasir jijik ini.

Sangat memburukkan lagi, rasuah kewangan dan pentadbiran berlaku di semua sendi negara, bahkan institusi-institusi dan pertubuhan masyarakat sivil tidak terlepas daripadanya.

Rasuah terkutuk ini, saki-bakinya merebak dan berkembang. Walaupun mereka mengangkat slogan membanteras rasuah di pelbagai peringkat, namun pihak kerajaan seakan tidak mengambil langkah sebenar lagi serius untuk menghapuskannya.

Rasuah telah menjadi sebahagian daripada ‘badan’ pentadbiran negara, dan rasuah, pengantaraan serta nepotisme adalah bencana yang dialami rakyat, walaupun umum mengetahui,bahawa negara yang mengalami masalah rasuah kewangan dan pentadbiran, menghadapi banyak kesukaran untuk menarik pelaburan tempatan dan asing.

Memandangkan golongan korup adalah persekitaran yang menolak pelaburan, tidak kira bagaimana perundangan yang dibangunkan, dan apa jua godaan yang dikemukakan, pemilik modal enggan untuk melabur di negara yang mengalami masalah rasuah.

Menangani najis rasuah memerlukan kekuatan pembaharuan dari segi kewangan, pentadbiran dan politik yang radikal, sistem kehakiman yang bebas, masyarakat sivil yang kukuh dan penerapan sistem perakaunan yang ketat serta adil.

Justeru, apakah peranan kerajaan Keluarga Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) khususnya bagi membanteras, menghapuskan jenayah rasuah di negara ini dan memulihkan namanya di mata dunia?

Ayuh, selamatkan Malaysia!

Atriza Umar
Pegawai Jabatan Komunikasi Strategik dan Multimedia
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia