Ramadan & Pembaziran: Kesan, Langkah & Natijah Puasa

Kenaikan harga barang asas telah menaikkan kos harga makanan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup yang sering menjadi keluhan masyarakat umum. Ironinya, ini tidak sejajar dengan peningkatan pembaziran makanan yang berlaku saban tahun pada bulan Ramadan.

Kajian ada menunjukkan pembaziran makanan meningkat antara 15 hingga 20 peratus semasa Ramadan dan Hari Raya dengan 19 juta kilogram sisa makanan dijana setiap hari di Malaysia.

Ini berkadar dengan tumbuhnya bazar-bazar khas sempena Ramadan, majlis-majlis berbuka puasa, bufet ‘iftar’ di hotel dan juga tabiat pembeli yang berbelanja melebihi keperluan. 

Tinjauan Persepsi dan Tingkah Laku Masyarakat berkaitan Menghargai Makanan dan Elak Pembaziran oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) sepanjang tahun 2020, mendapati punca utama pembaziran makanan adalah kerana tiada keinginan makan terhadap makanan yang disediakan, seterusnya diikuti oleh faktor makanan telah rosak, kuantiti makanan terlalu banyak, melebihi tarikh lupus serta tidak memenuhi selera.

Kerugian ekonomi, pencemaran alam sekitar

Pada tahun lepas, media melaporkan peniaga bazar Ramadan di Selangor membuang sekitar 1,326.06 tan makanan yang tidak habis dijual dalam tempoh 18 hari berpuasa. 

SWCorp telah menghitung jumlah ini bersamaan dengan 73.67 tan sehari bersamaan jumlah kira-kira 1.8 juta karipap dibuang setiap hari. 

Bahkan, sisa makanan yang terjana (6,205,000 tan) dalam tempoh setahun melebihi jumlah hasil tanaman padi di Malaysia yang dianggarkan sebanyak 2,650,000 tan setahun.

Pembaziran sebanyak ini telah mengakibatkan kerugian ekonomi dan kerosakan alam sekitar yang besar. 

Kitaran kerugian kos di pelbagai peringkat bermula daripada sumber asal rantaian iaitui kebun atau ladang ternakan, seterusnya kos pemprosesan, pengangkutan, kos elektrik, memasak dan hingga ke perkhidmatan hidangan.

Ini tidak termasuk kos pelupusan makanan yang juga memakan belanja besar oleh pihak kerajaan.

Sedarkah anda, jangka hayat tapak pelupusan di Malaysia semakin kritikal berikutan peningkatan jumlah sisa makanan yang mencecah 17,000 tan sehari sebagaimana yang dilaporkan media pada tahun 2019? Jangka hayat pelupusan turut menjadi semakin singkat iaitu dari 5 tahun ke 3 tahun.

Dari konteks alam sekitar, pembuangan ini menghasilkan gas rumah hijau (GHG) yang menyumbang kepada 12 peratus daripada jumlah keseluruhan penghasilan GHG di Malaysia. Tapak pelupusan sisa merupakan punca terbesar pelepasan gas metana (47 peratus) yang merupakan gas perosak lapisan ozon yang utama.

Data-data ini bukan sekadar angka tetapi adalah amaran yang memerlukan tindakan daripada semua pihak bagi menoktahkan pembaziran. Langkah-langkah bagi mencegahnya memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak.

Langkah bersama cegah pembaziran

Bagi pihak pembekal bahan asas, pengurusan bahan makanan harus menambahkan kecekapan operasi agar tidak membekal makanan melebihi keperluan, memenuhi piawai, tidak rosak semasa pemprosesan dan tidak cepat luput apabila sampai ke pengguna.

Pihak yang menjual pula perlu kendalikan pengurusan makanan dengan efisien seperti dapat menganggarkan purata jualan hairan makanan yang habis terjual bagi mengelakkan lebihan makanan yang banyak, mengutamakan kebersihan agar tidak cepat basi dan selamat dimakan.

Sehubungan itu, pembeli harus bijak mengendalikan emosi ketika berbelanja dengan kawalan kendiri yang baik seperti merancang pembelian mengikut keperluan, masak mengikut kuantiti isu rumah,  berdisiplin mematuhi bajet makanan sehari, membahagikan makanan dengan baik agar dapat disimpan dan dihidangkan pada masa lain, menggunakan peralatan yang bersih agar makanan bertahan lama dan berkongsi makanan lebih.

Masalah ini juga memberikan peluang kepada cef-cef untuk menyahut cabaran menghasilkan dan mempromosikan makanan berkualiti tinggi daripada lebihan makanan seperti batang sayur yang keras, kulit buah-buahan yang dikupas dan seumpamanya. 

Media turut memainkan peranan penting pada zaman digital ini bagi menyebarkan mesej mencegah pembaziran dan membudayakan penjimatan yang mampu menerobos masuk ke dalam minda masyarakat. 

Inisiatif-inisiatif sebegini bukan sahaja dapat mengelakkan pembaziran yang boleh dielakkan, malah menambah baik pengurusan kewangan apabila berlaku penjimatan.

Dalam pada itu, dapatan daripada bidang ‘behavioural economics’ menunjukkan intervensi tingkah laku nudge oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemimpin setempat boleh dilakukan untuk menangani pembaziran makanan.

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) pula boleh berperanan untuk menggalakkan PBT dan masyarakat setempat melaksanakan intervensi nudge

Suatu perancangan yang dirangka mengikut modul setempat dapat mendorong masyarakat membudayakan tabiat mencegah pembaziran dengan menerapkan nilai-nilai baik seperti membeli mengikut keperluan dan berkongsi makanan lebihan.  

Contohnya, meletakkan papan tanda yang membawa mesej yang bersesuaian dan menghantar mesej melalui SMS atau Whatsapp kepada penduduk setempat adalah inisiatif bersifat lokaliti yang mampu menarik perhatian masyarakat untuk menyokong usaha murni ini.

PBT dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), rumah kebajikan dan pemegang taruh lain boleh mengusahakan untuk mewujudkan kios sebagai bank makanan bagi penjual meletakan makanan yang tidak habis dijual.

Inisiatif kerajaan negeri Melaka yang memperkenalkan drive-through recycling centre (DTRC) yang akan membeli makanan terbazir merupakan usaha yang patut disebarluaskan kerana dapat menggiatkan lagi penglibatan masyarakat awam .

Sementara itu, SWCorp bersama PBT, majlis perbandaran dan pelbagai pihak lain turut ada melakukan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan, GEMA melalui projek MySaveFood bagi menyelamatkan makanan yang masih elok di bazar untuk diagihkan kepada pihak-pihak yang memerlukan. 

Tahun lepas, sebanyak 2099.95 kilogram makanan telah berjaya dikumpulkan dan diagihkan oleh pasukan mereka. Pada tahun ini, dengan kerjasama pelbagai pihak dan pihak berkuasa tempatan, GEMA meletakkan sasaran 100 bazar Ramadan dengan memberi peluang pada orang ramai untuk menjadi salah seorang daripada 3,000 sukarelawan yang diperlukan.

Contoh pencegahan di negara lain

Sinergi kerjasama daripada pelbagai pihak menyelamatkan makanan-makanan ini daripada ‘ditongsampahkan’. Selain daripada ini, terdapat juga usaha yang telah dibuat di luar negara bagi menyelesaikan isu ini yang boleh diteladani. 

Kerajaan Perancis telah melaksanakan polisi mengurangkan pembaziran makanan yang telah mendorong pasar raya untuk menyerahkan makanan kepada bank makanan. Jumlah serahan tersebut dinilai dan diberikan pengecualian cukai.

Di Denmark, galakan daripada kerajaan telah mendorong rakyatnya terlibat secara sukarela hingga banyak bank makanan ditubuhkan bagi menampung makanan yang didermakan oleh pelbagai pihak.

Puasa berkualiti natijahkan amalan baik

SWCorp menyatakan 24 peratus (4,080 tan) daripada jumlah sisa makanan di Malaysia adalah sisa makanan yang boleh dielak. Jumlah ini boleh memberikan makan kepada 3 juta orang sehari dengan tiga kali hidangan.

Bayangkan pula keadaan orang di Palestin yang sudah melebihi enam bulan berpuasa dengan keadaan sering tiada makanan sahur atau berbuka. Keadaan begitu melarat hingga ada ibu di Palestin cuba memberikan anak makan ‘wax’ kerana mahu memberikan gula dari wax tersebut untuk membekalkan tenaga buat anaknya.

Adakah kita masih mahu membazir atau tepatnya membuang makanan lagi dalam keadaan saudara seakidah kita dalam keadaan sebegitu rupa?

Bulan Ramadan telah ditunggu-tunggu kedatangannya oleh umat Islam kerana keistimewaan yang ditawarkannya luar biasa daripada bulan-bulan lain.

Ini merupakan bulan madrasah tarbiah bagi umat Islam untuk melatih diri menerapkan sifat-sifat mulia sepanjang sebulan berpuasa agar keluar menjadi manusia yang lebih baik daripada sebelumnya. 

Allah beri jaminan melalui Rasul-Nya bersandarkan hadis berikut:

“Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan segala dosanya yang telah lalu.” (Bukhari, No. 38 dan Muslim, No. 760)

Sewajarnya amalan puasa yang dihayati bukan setakat meningkatkan akhlak dan amalan khusus, namun menatijahkan nilai-nilai baik yang mampu menerobos ke dalam masyarakat.

Justeru, pembaziran makanan yang meningkat pada bulan Ramadan merupakan hal yang tidak sepatutnya berlaku.

Mohammad Abdul Hamid
Ketua Kluster Kemakmuran Ekonomi
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia