Bulan Ramadan merupakan bulan yang kesembilan daripada bulan-bulan Islam. Ramadan bulan yang penuh rahmat dan keberkatan, dosa diampunkan, pahala amal digandakan dan dikurniakan lailatulqadar, malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan.
Ia adalah satu bulan yang mana umat Islam diwajibkan melaksanakan rukun Islam ketiga, iaitu ibadah puasa, bermula dari waktu terbit fajar (subuh) hingga terbenamnya matahari (maghrib).
Firman Allah SWT:
فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ ٱلشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ
“Oleh itu, sesiapa daripada kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu.” (Al-Baqarah: 185)
Amalan berpuasa terutamanya bulan Ramadan memiliki banyak kelebihan dan keistimewaan yang tersendiri di sisi Islam berdasarkan dalil-dalil al-Quran, hadis, mahupun kajian saintifik.
1. Jalan Mencapai Takwa
Matlamat utama puasa bulan Ramadan adalah untuk umat Islam mencapai sifat takwa, iaitu taat melaksanakan segala suruhan dan menjauhi segala larangan Allah SWT dan Rasul-Nya. Firman-Nya dalam al-Quran:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Al-Baqarah: 183)
2. Pengampunan Dosa Yang Lalu
Mereka yang berpuasa Ramadan memiliki kelebihan berupa pengampunan segala dosa yang lalu. Jaminan ini adalah satu peluang keemasan yang perlu direbut dengan sebaik-baiknya. Sabda Rasulullah SAW:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
“Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan segala dosanya yang telah lalu.” (HR Bukhari, No. 38 dan Muslim, No. 760)
3. Pahala Tidak Terhingga
Pahala bagi mereka yang berpuasa tidak terhingga jumlahnya kerana Allah SWT sendiri yang menilai pahala dan membalas amalan tersebut.
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda:
“Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya 10 kali ganda serupa dengannya sehingga 700 kali ganda. Allah Azzawajalla berfirman, “Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku.” (HR Muslim, No. 1151)
4. Dua Kegembiraan
Muslim yang berpuasa akan beroleh dua kegembiraan, iaitu satu di dunia dan satu lagi di akhirat. Daripada Ali bin Abi Talib r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى يَقُولُ الصَّوْمُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ وَلِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ حِينَ يُفْطِرُ وَحِينَ يَلْقَى رَبَّهُ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ
“Sesungguhnya Allah Taala berfirman: “Puasa itu adalah untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya. Dan bagi yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan: ketika berbuka puasa dan ketika menemui Tuhannya.” Demi diriku di tangan-Nya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih baik di sisi Allah daripada bau kasturi.” (HR Nasa’i, No. 2211, Sahih)
5. Pintu Syurga ar-Rayyan
Orang-orang melazimi berpuasa termasuk pada bulan Ramadan, Allah SWT akan menyediakan pintu syurga khas untuk mereka. Daripada Sahl bin Saad r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya di dalam syurga ada satu pintu yang dipanggil padanya ‘ar-Rayyan,’ masuk melaluinya orang-orang yang berpuasa pada hari kiamat, tidak boleh masuk bersama mereka seorang pun selain mereka, diseru: “Di mana orang-orang yang berpuasa?” Maka mereka pun masuk melaluinya. Maka apabila masuk orang terakhir daripada mereka, pintu akan ditutup, maka tidak boleh masuk melaluinya seorang pun.” (HR Muslim, No. 1152)
6. Doa Yang Mustajab
Orang yang berpuasa termasuk dalam salah satu daripada tiga golongan yang tidak ditolak doanya. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAw bersabda:
ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ: الْإِمَامُ الْعَادِلُ، وَالصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ، وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ
“Tiga golongan doa mereka tidak akan ditolak: Pemimpin yang adil, orang yang berpuasa sehingga ia berbuka dan doa orang yang dizalimi.” (HR Ibnu Majah, No. 1752, Hadis Hasan)
7. Benteng Daripada Maksiat
Ibadah puasa melatih sifat sabar dan menjadi benteng yang melindungi diri seseorang daripada melakukan perbuatan keji dan maksiat, juga memeliharanya daripada azab di akhirat.
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الصِّيَامُ جُنَّةٌ، فَلاَ يَرْفُثْ وَلاَ يَجْهَلْ، وَإِنِ امْرُؤٌ قَاتَلَهُ أَوْ شَاتَمَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي صَائِمٌ مَرَّتَيْنِ
“Puasa adalah perisai. Maka (orang berpuasa) janganlah berkata keji dan janganlah bertindak jahil. Jika seseorang hendak bergaduh atau memakinya, maka katakanlah: “Sesungguhnya aku berpuasa” diulangi dua kali.” (HR Bukhari, No. 1894)
8. Pembebasan Daripada Neraka
Orang yang berpuasa termasuk antara golongan yang dibebaskan daripada api neraka di akhirat. Daripada Jabir r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ لِلَّهِ عِنْدَ كُلِّ فِطْرٍ عُتَقَاءَ وَذَلِكَ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ
“Sesungguhnya Allah memiliki hamba-hamba yang dibebaskan (daripada neraka) pada setiap kali berbuka puasa. Dan itu berlaku pada setiap malam.” (HR Ibnu Majah, No. 1643, Hadis Hasan)
9. Mujahadah Melawan Nafsu
Dengan ibadah puasa, seseorang mampu menahan diri daripada makan dari subuh hingga maghrib pada siang hari.
Puasa adalah satu mujahadah atau perjuangan untuk melawan dan mengawal nafsu daripada menguasai diri bukan sahaja terhadap makanan, bahkan terhadap segala keinginan dunia termasuk wanita, harta, kenderaan dan lain-lain. Rasulullah SAW bersabda:
“Wahai para pemuda! Sesiapa di antara kamu telah mampu (pembiayaan) berkahwin, maka bernikahlah. Dan sesiapa yang belum mampu, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu dapat menjadi perisai baginya (dalam membendung syahwat).” (HR Bukhari, No. 5065)
10. Manfaat Kesihatan
Puasa ternyata mempunyai banyak manfaat kesihatan berdasarkan kajian saintifik, antaranya membantu mengawal diabetes, mengurangkan tekanan darah, mencegah kencing manis, mengurangkan faktor risiko penyakit jantung, menurunkan berat badan, mengurangkan simptom penyakit pencernaan (GERD) dan meningkatkan daya tumpuan otak.
11. Kesederhanaan dan Keprihatinan
Puasa mengajar erti kesederhanaan hidup yang mana seseorang menahan diri daripada makan dan minum pada siang hari, yang mana sekurang-kurangnya ia dapat menjimatkan perbelanjaan makan terutamanya pada tengah hari.
Ibadah ini juga dapat menyelamatkan seseorang daripada bersikap boros, membazir dan melakukan perkara sia-sia.
Di samping itu, ibadah puasa mampu melatih jiwa yang lebih prihatin terhadap nasib golongan fakir miskin dan lebih memerlukan, yang biasanya tidak mampu mendapatkan bekalan makanan yang cukup untuk diri dan keluarga.
“Mereka (orang yang berbakti) juga memberi makan makanan yang dihajati dan disukainya kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan, (sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): “Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata…” (Al-Insaan: 8-9)
Mendamba Reda Ilahi
Hakikatnya, terlalu banyak kelebihan, keistimewaan, hikmah dan manfaat bagi orang-orang melaksanakan ibadah puasa kepada individu, keluarga dan masyarakat, sama ada dari aspek rohani, jasmani, emosi dan intelektual.
Apa yang penting, puasa Ramadan adalah antara amal soleh dan ibadah yang utama sebagai jalan untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT demi mencapai ketakwaan dan reda Ilahi, seterusnya memperoleh kemenangan hakiki berupa ganjaran syurga di akhirat.
Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertakwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan / isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan daripada Allah”. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya. (Ali Imraan: 15)
“Ramadan, Aku Kembali, Mendamba Reda Ilahi.”
Mohammad Hafizuddin Abdul Mukti
Editor IKRAM
AJK Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN)