Raikan kepelbagaian menyemai keharmonian

Kepelbagaian adalah realiti yang diakui Islam serta sunnatullah yang wajar dikendalikan dengan bijaksana supaya menjadi faktor kekuatan dan keharmonian terhadap sesebuah negara.

 

Islam menganjurkan umatnya meraikan perbezaan agama dan kaum, mengelakkan cemuhan budaya, etnik dan agama, berdialog dengan baik, berbuat baik kepada kaum yang lain, berlaku adil, bersopan santun serta berbudi sebagaimana saranan-saranan al-Quran yang bermaksud:

 

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik…” (Surah An-Nahl: 125)

 

“Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut.” (Surah Taha: 44)

 

Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Surah Al-Mumtahanah: 8)

 

Rasulullah SAW memupuk perpaduan kaum

 

Sejarah telah membuktikan bagaimana Rasulullah SAW memupuk perpaduan kaum melalui penggubalan Piagam Madinah yang memperlihatkan kebijaksanaan Rasulullah SAW merancang kerjasama dan menyatukan penduduk pelbagai pegangan dan fahaman agama, status ekonomi serta kaum dan kabilah.

 

Baginda juga berjaya memupuk hubungan harmoni, menyemai sifat saling menghormati, mempamer toleransi, merangka hubungan produktif serta merangka strategi pertahanan menghadapi musuh.

 

Menurut Muhammad Hamidullah dalam bukunya The First Written Constitution in the World, ketika baginda tiba di Madinah, bilangan umat Islam kombinasi Ansar dan Muhajirin Makkah hanyalah ratusan daripada 10,000 orang penduduk di sana.

 

Hampir separuh penduduk Madinah pula terdiri daripada keturunan Yahudi yang terbahagi kepada 10 puak, sementara penduduk keturunan Arab terbahagi kepada 12 kabilah.

 

Keadaan penduduk Arab di Madinah pula tidaklah sehebat Quraisy Makkah yang memiliki kekayaan, menguasai perdagangan serta mempunyai struktur politik yang tersusun. Dengan demografi sebegini, negara Madinah berjaya dibangunkan dan disatukan atas dokongan rakyat pelbagai agama, kaum dan kabilah.

 

Perpaduan kaum belum tercapai

 

Kajian Indeks Perpaduan Nasional 2018 (IPNas 2018) melibatkan 5,275 responden (kajian soal selidik) dan 7,226 responden (dialog rakyat) mendapati bahawa perpaduan dalam konteks kepelbagaian kaum, budaya, adat resam belum lagi tercapai meskipun negara sudah merdeka kira-kira 62 tahun lalu.

 

Pandangan penulis, ia disebabkan oleh kurangnya kefahaman mengenai budaya dan sensitiviti sesuatu kaum yang boleh menjadi punca kepada timbulnya salah faham dan prasangka buruk kepada bangsa lain di Malaysia.

 

Bahkan tahap perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama di negara ini kadangkala diuji antaranya dengan peristiwa 13 Mei 1969, Kampung Rawa 1998 dan Taman Medan 2001.

 

Bagi mengatasi situasi ini, masyarakat khususnya generasi hari ini perlulah dididik atau didedahkan dengan lebih meluas lagi mengenai budaya dan sensitiviti bangsa lain agar segala insiden yang tidak diingini tidak tercetus.

 

Oleh itu, amat penting bagi seseorang warga Malaysia dididik mengenai hubungan antara kaum sedari awal iaitu ketika mereka masih kanak-kanak dengan memberi penumpuan khusus kepada aspek mengenali budaya lain secara lebih mendalam antaranya sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa.

 

Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa

 

Pada 17 November 1999, Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah mengisytiharkan 21 Februari setiap tahun sebagai Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa (IMLD) bertujuan mempromosi kepelbagaian budaya dan bahasa, serta menggalakkan penggunaan bahasa untuk memelihara warisan dan budaya.

 

Ia berasal daripada pengiktirafan kepada Hari Pergerakan Bahasa yang disambut di Bangladesh (dahulunya Pakistan Timur) semenjak tahun 1952, apabila sebilangan penuntut universiti Bangladesh dibunuh oleh polis dan tentera Pakistan di Dhaka ketika menyertai Gerakan Bahasa Bengali.

 

Justeru itu, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Tamil Foundation Malaysia, LLG Cultural & Development Centre, Jaringan Orang Asal Se-Malaysia (JOAS) dan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) menjadi penganjur utama Sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa pada tahun ini dengan kerjasama NGO-NGO dan rakan strategiknya.

 

Kerjasama yang memasuki tahun kesembilan ini diharap dapat memupuk perpaduan dengan rukun dan damai walaupun berbeza agama, bangsa dan kepercayaan di Malaysia terutamanya dalam karnival sambutan yang diadakan setiap tahun.

 

Dalam karnival ini, satu suasana yang unik dan jarang-jarang berlaku dapat dilihat seperti pelajar Cina cuba menulis tulisan khat Jawi, pelajar Melayu dan Orang Asal cuba membuat Thoranam atau Kolam yang terkenal dalam masyarakat India manakala yang berbangsa India pula cuba bermain batu seremban atau menggunakan kayu penyepit.

 

Pertandingan seni kolaj menggabungkan empat bahasa dalam satu kumpulan dan persembahan kalam berirama (choral speaking) dalam bahasa ibunda masing-masing menambahkan lagi seri, kemeriahan dan keunikan karnival tersebut.

 

Peranan institusi pendidikan

 

Selain peranan kerajaan, NGO, masyarakat dan ibu bapa sebagai pemangkin memupuk perpaduan dan semangat muhibah antara kaum ini, institusi pendidikan awam atau swasta juga merupakan antara wahana pragmatik ke arah menjayakan hasrat murni tersebut.

 

Institusi pendidikan IKRAM iaitu IKRAM MUSLEH contohnya, sangat menggalakkan program silang budaya antara sekolahnya dengan sekolah jenis kebangsaan berdekatan seperti saling melawat sekolah, memberi hadiah dan saling bertukar-tukar persembahan kebudayaan, selain aktif menyertai aktiviti Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa saban tahun.

 

Program-program seperti ini selari dengan kehendak Islam yang mengajar umatnya berperanan bagi mewujudkan toleransi, keseimbangan, keadilan dan kesederhanaan dalam diri serta peka terhadap keperluan dan aspirasi kaum lain, yang memenuhi salah satu ciri Negara Rahmah yang diperjuangkan IKRAM iaitu ‘Hubungan Etnik dan Penganut Agama yang Harmoni’.

 

Oleh itu, masa depan negara ini ditentukan oleh perpaduan rakyat berbilang kaum dan setiap kaum itu mempunyai peranannya yang tersendiri dalam mewujudkan suasana Malaysia yang lebih harmoni.

 

Kita sewajarnya menjadi rakyat kebanggaan negara. Jadilah rakyat yang menjernih bukan mengeruhkan, yang membersih bukan mencemarkan, yang membina bukan merosakkan dan yang menyatu bukan memecahkan.

 

Ayuh rakyat Malaysia, marilah kita bersama-sama meraikan kepelbagaian, membudayakan persefahaman dan menyemai keharmonian.

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia