Pengurus Operasi Qurban Kasih Ummah IKRAM 1436H, Abdul Hafidz Hashim dalam sidang media QKU hari ini berkata, jumlah terkumpul setakat ini sudah mencecah anggaran RM500,000 dan pihak QKU menjangkakan sumbangan akan meningkat menjelang Aidiladha.
“Walaupun Malaysia dilanda krisis kewangan, ia tidak menjadi sebab utama untuk kita tidak memberikan sumbangan dan saya menyeru seluruh masyarakat Malaysia mengambil peluang ini bagi bersama-sama membudayakan ibadah qurban bagi mereka yang memerlukan,” ujarnya.
QKU yang masuk tahun ke-17 pelaksanaannya akan mengagihkan bantuan daqing qurban tahun ini kepada 18 buah negara yang terpilih iaitu Afghanistan, Bangladesh, Filipina, Indonesia, Iraq, Kemboja, Lubnan, Malaysia, Myanmar, Nepal, Palestin, Pakistan, Sri Lanka, Sudan, Syria, Thailand, Vietnam dan Yaman.
Menurut Abdul Hafidz (gambar), negara-negara yang terpilih bagi program QKU adalah negara yang bergolak, daif, terkesan akibat peperangan dan golongan minoriti Islam yang dilupakan.
Sementara itu, Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor berkata, selain ibadah qurban, QKU pada tahun ini juga akan mengusahakan bantuan pendidikan umat Islam di Vietnam sebagai kesinambungan inisiatif yang telah dijalankan pada tahun lalu.
“QKU tahun ini juga turut menjalankan kutipan dana bagi kelangsungan pembinaan Madrasah Darussalam yang seterusnya membantu pendidikan Islam di Vietnam serta bantuan bagi menampung perbelanjaan tujuh orang pelajar Vietnam yang kini menuntut di Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di Kedah,” jelasnya.
Jelas Dr Hafidzi lagi, tahun ini juga QKU akan menjalankan pemantauan pelaksanaan ibadah qurban di Vietnam, Indonesia, Malaysia serta Australia bagi qurban yang ditinkan dan QKU di Vietnam bakal digabungkan dengan Program Ziarah Qurban yang beliau ketuai bagi melihat sendiri proses pelaksanaan qurban dan lawatan ke beberapa tempat bersejarah di sana.
Hadir sama dalam sidang media tersebut wakil Madrasah Al Nur, Rohingya Society Malaysia (RSM), Human Charity for Relief and Development (HCRD) Lubnan dan Sekretariat QKU 2015.
Mereka yang ingin membuat sumbangan boleh melakukannya dengan mengunjungi laman sesawang www.ramadhan-qurban.org atau hubungi 019-2276760 dan bayaran boleh dibuat ke akaun Humanitarian Care Malaysia Berhad di akaun Maybank 564258560698 atau Bank Islam 12092010034904.
Foto Sidang Media QKU 1436H: http://on.fb.me/1IXR5lx