Dihadiri wakil-wakil NGO Islam, NGO masyarakat madani serta parti politik serta tetamu luar negara, Ucapan Dasar Presiden IKRAM, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad pada paginya menggariskan 12 ciri penting untuk menjadikan Malaysia negara rahmah mithali yang diidam-idamkan iaitu:
- Kepemimpinan negara yang kompeten dan berintegriti
- Sistem pemerintahan yang berasaskan semak dan imbang yang berkesan
- Tadbir urus yang baik
- Undang-undang yang adil
- Masyarakat yang berilmu, berakhlak dan penyayang
- Institusi keluarga yang utuh
- Hubungan etnik dan penganut agama yang harmoni
- Ekonomi yang mampan
- Agihan kekayaan yang saksama
- Pembangunan yang lestari
- Kebajikan, kesihatan dan keselamatan rakyat yang terpelihara
- Menerajui usaha-usaha keamanan dan kesejahteraan sejagat
Beliau kemudiannya melancarkan Ansar Initiative iaitu satu projek infak anjuran Hidayan Centre Foundation diikuti dengan pelancaran tiga buku karangan Ustaz Alias Othman terbitan Risalah Harmoni Sendirian Berhad (RHSB). CD album kompilasi ‘Satu Perjuangan’ turut dilancarkan dengan persembahan kumpulan Zeyad dengan lagu yang bertajuk Nahnu Ansarullah.
Ucapan Dasar Presiden IKRAM, Ansar Initiative dan kumpulan nasyid Zeyad
Turut ditayangkan ialah montaj IKRAM 2015 iaitu ‘Memimpin Ummah dan Masyarakat’. MyCARE pula melancarkan Projek Bantuan Musim Sejuk 2015 untuk membantu para pelarian dan penduduk yang terkesan akibat konflik dan peperangan di Palestin, Syria dan Iraq menjelang musim sejuk pada penghujung November ini.
Selepas rehat, ahli-ahli IKRAM mendengar ucapan dan pesanan Dr Ibrahim Munir, Setiausaha Agung Ikhwan Muslimin Antarabangsa dan Ustaz Hilmi Aminuddin, mantan Ketua Majlis Syura Partai Keadilan Sejahtera (PKS) Indonesia.
Montaj IKRAM, Dr Ibrahim dan Ustaz Hilmi
Dr Ibrahim berkongsi bagaimana Imam Hassan al-Banna sendiri telah menekankan mengenai perlunya manusia kepada maqasid syariah dalam suasana masyarakat yang terlampau keras dan bermudah-mudah, menyifatkan bahawa Islam itu mudah dan tidak perlu ditafsirkan dengan nada yang keras serta menegaskan bahawa al-Quran meminta umat Islam agar memudahkan, bukan menyukarkan.
Untuk mencapai Negara Rahmah, Ustaz Hilmi pula berpesan supaya aktivis dakwah bersiap sedia dengan lapan bekalan iaitu ikhlas, cerdas (smart), kerja keras, kerja tangkas, kerja pantas, kerjas awas (waspada), kerja mawas (sedar diri) dan kerja tuntas (kerja hingga selesai).
Sumbangan KIMB, Dr Mahmoud dan pelancaran unit ANSAR
Semasa PTI 2015 berlangsung, Koperasi Islah Malaysia (KIMB) telah menyampaikan ‘mock cheque’ sumbangan sebanyak RM20,000 kepada IKRAM yang diwakili Dr Parid. Beliau turut menyerahkan simbolik kunci kepada wakil Sekolah Rendah Islam Al-Amin Cheras Selatan (SRIAACS) dan IKRAM Ampang Jaya yang memperolehi bangunan sendiri melalui pembiayaan KIMB.
Dr Mahmoud Hussein, Setiausaha Agung Ikhwan Muslimin Mesir turut menyampaikan ucapan yang mana beliau menyatakan bahawa ikatan fiddeen (ukhuwah) ini menyatukan hati-hati umat Islam untuk membawa risalah dakwah dan meskipun musuh-musuh hendak memecahkan ikatan ini, ia tidak dapat dihentikan sampai bila-bila.
Pada petangnya, Wanita IKRAM melancarkan kempen ‘Moms Against Pornography’ oleh Wanita IKRAM, turut dilancarkan ialah ANSAR iaitu unit keselamatan IKRAM serta Inisiatif Medic IG Sdn Bhd oleh Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi IKRAM.
Haji Zaid Kamaruddin dan sesi soal jawab bersama JKP IKRAM
Usai pelancaran, Naib Presiden IKRAM, Haji Zaid Kamaruddin memberikan taklimat mengenai Rancangan IKRAM 2016-2019 yang menggariskan langkah-langkah penting IKRAM untuk menjadikan Malaysia negara Rahmah diikuti dengan soal jawab ahli-ahli IKRAM bersama Ahli JKP IKRAM dalam pelbagai aspek seperti visi misi IKRAM, tarbiah, pendidikan, wanita, belia, mahasiswa, kemanusiaan, masyarakat madani dan politik.
Sesi soal jawab, Haji Shahrul Aman (Naib Presiden IKRAM) dan Hajjah Che Asmah (Ketua Wanita IKRAM)
Turut diselitkan penyampaian hadiah oleh Dr Parid kepada IKRAM cawangan yang mempunyai kadar penambahan ahli KIMB terbaik menjelang PTI 2015 iaitu Johor, Shah Alam, Sabah, Kuala Selangor, Perak, Wilayah Persekutuan dan Melaka diikuti dengan hadiah untuk tiga ahli KIMB yang menambah syer tertinggi dalam masa lima bulan.
Semoga PTI 2015 memberi suntikan untuk ahli IKRAM untuk terus bekerja dan mengembangkan usaha untuk memacu perubahan bagi menjadikan Malaysia negara rahmah yang mana Maqasid Syariah sebagai asasnya, insyaAllah.
Laman rasmi PTI 2015: http://pti.ikram.org.my/2015/