Program Cahaya Duha Sejahtera Jiwa: Komuniti Bersatu Tingkat Kesedaran Kesihatan Mental

SEREMBAN – Bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2024, Pertubuhan KASIH Malaysia, BAKRIYAH, Wanita IKRAM Malaysia dan Masjid Sri Sendayan telah menganjurkan dengan jayanya Program Cahaya Duha Sejahtera Jiwa yang diadakan di Masjid Sri Sendayan pada 5 Oktober 2024.

Turut hadir merasmikan dan memeriahkan program ini Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturrahim Isteri-Isteri Harapan (KASIH Malaysia), Datin Seri Wan Hasni, Yang diPertua BAKRIYAH Negeri Sembilan, Ketua Wanita IKRAM Malaysia, Ustazah Sallawahiu Mohd Saleh dan Puan Sri Hani, wakil Pengerusi Masjid Sri Sendayan.

Bersesuaian dengan tema tahun ini, “Utamakan Kesihatan Mental di Tempat Kerja”, pihak penganjur mengajak semua ahli masyarakat untuk mengambil tanggungjawab memahami dan menyokong kesihatan mental serta berusaha menghapuskan stigma yang sering menghalang individu daripada mendapatkan bantuan.

 

 

Majlis dimulakan dengan slot solat sunat Duha dan bacaan al-Mathurat sughra yang dipimpin oleh Ustaz Mohd Nazri Abu Zarin, Imam Besar Masjid Sri Sendayan.

Menurutnya, solat Duha merupakan amalan sunah yang memberikan ketenangan jiwa dan motivasi untuk menghadapi hari dengan semangat baharu. Bacaan al-Mathurat sughra pula mengandungi zikir dan doa yang membantu memperkuat iman, menghilangkan kebimbangan dan membangunkan rasa syukur dalam diri kita.

Dalam slot seterusnya, peserta disajikan dengan tadabbur surah al-Insyirah oleh pendakwah terkenal, Prof. Dato’ Dr. Hj Mohd Farid Ravi Abdullah. Surah ini mengandungi pesan bahawa setiap kesulitan pasti ada kemudahan, memberikan harapan kepada mereka yang sedang menghadapi cabaran. Dengan merenungkan makna surah ini, kita dapat membina ketahanan mental dan emosi serta mendorong pemikiran positif dalam menghadapi pelbagai tekanan.

Dalam ucapan aluan, Datin Seri Hjh. Wan Hasni Wan Yusof, Yang Dipertua Badan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat & Pegawai Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, berkata bahawa masalah kesihatan mental tidak mengenal usia, latar belakang atau status sosial.

Oleh itu, adalah penting bagi kita untuk bersatu padu dalam usaha memberi sokongan kepada mereka yang memerlukan. Kita perlu sedar bahawa menjaga kesihatan mental adalah tanggungjawab kolektif.

Beliau menekankan pentingnya kita semua mengambil tanggungjawab untuk memahami dan menyokong kesihatan mental serta berusaha menghapuskan stigma yang sering menghalang individu daripada mendapatkan bantuan.

“Kesihatan mental yang baik bukan sahaja mempengaruhi individu, tetapi juga memberi kesan kepada masyarakat secara keseluruhan. Ketidakstabilan mental boleh mengganggu kualiti hidup, produktiviti dan hubungan sosial. Justeru, kita harus menggalakkan satu persekitaran yang mesra dan menyokong supaya individu dapat berasa selamat untuk berkongsi pengalaman mereka tanpa rasa malu atau takut dihakimi.”

Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, isteri Perdana Menteri yang juga merupakan Pengerusi KASIH Malaysia mengingatkan ibu bapa untuk sentiasa mengambil berat dan memantau anak-anak.

“Berilah sokongan rohani dan jasmani, dapatkan bantuan sekiranya perlu dan luangkan lebih masa untuk bersama anak-anak. Kesihatan mental adalah sama pentingnya dengan kesihatan fizikal. Ia bukan sahaja mempengaruhi kualiti kehidupan seharian kita, malah turut memberi kesan kepada produktiviti kita sama ada di tempat kerja mahupun di rumah.”

Menurutnya, Statistik Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 mendedahkan bahawa bilangan penduduk yang mengalami kemurungan meningkat dua kali ganda dari tahun 2019 hingga 2023.

Seorang daripada enam orang kanak-kanak berusia lima hingga 15 tahun mengalami masalah kesihatan mental. Antara faktor masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak adalah masalah dengan rakan sebaya, tingkah laku, emosi dan hiperaktif, manakala sejuta atau 4.6 peratus penduduk Malaysia berusia lebih 15 tahun mengalami kemurungan.

Pada akhir ucapan aluan, Datin Seri Hjh. Wan Hasni berharap agar semua jemputan yang hadir dapat mengambil peluang untuk belajar, berinteraksi dan bertukar pandangan.

“Mari kita bersama-sama berusaha untuk menghapuskan stigma yang boleh menghalang individu daripada mendapatkan bantuan yang mereka perlukan. Setiap seorang daripada kita berpotensi untuk membuat perubahan, sama ada melalui tindakan kecil, sokongan moral atau dengan menyebarkan kesedaran dalam kalangan keluarga dan rakan-rakan.”

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia