Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat (JKP) Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) merupakan antara 25 penyelidik Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa atas usaha menerbitkan artikel berimpak tinggi dan paling banyak dijadikan rujukan penyelidik di seluruh dunia.
Dr. Mohd. Ali yang berkepakaran dalam kejuruteraan bioproses, bioteknologi alam sekitar, pengurusan dan pengunaan sisa pepejal, telah menerima anugerah oleh Clarivate Analytics dalam kategori ‘Economic Impact Researcher’ yang disampaikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.
Malaysia’s Research Star Award 2017 adalah majlis anjuran bersama Kementerian Pengajian Tinggi, Clarivate Analytics dan Elsevier yang melibatkan bidang kejuruteraan, sains pertanian, sains bahan, sains perubatan, kimia, sains sosial dan ekologi.
Dilahirkan di Sungai Petani, Kedah pada 3 April 1958, melanjut pelajaran ke University of Leed, UK dan lulus Sarjana Muda Sains (Kejuruteraan Kimia) pada 1980 dan Sarjana Sains (Kejuruteraan Makanan) daripada universiti sama pada 1982.
Beliau seterusnya memperolehi Sarjana Falsafah (Kejuruteraan Kimia), University of Birmingham, UK pada 1990 dan Doktor Falsafah daripada Okoyama University, Jepun pada 1997 dalam Bioteknologi Persekitaran.
Memulakan kerjaya sebagai pensyarah di UPM pada 1982 di Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, beliau pernah menjawat jawatan Ketua Jabatan Bioteknologi pada 2001 sehinggalah dilantik Profesor pada 2002, Timbalan Dekan pada 2003 dan 2004 serta Dekan Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul pada 2007.
Menurut laman web ResearchSEA, Dr. Mohd Ali pernah menerima Anugerah Khidmat Cemerlang oleh UPM selama 10 tahun berturut-turut pada 1996 hingga 2005. Terkini, beliau telah menerima Anugerah Tokoh Pekerja dalam Majlis Gemilang Putra & Sambutan Hari Pekerja 2017 pada 24 Mei lalu.
Antara kejayaan beliau ialah pernah mencipta proses pengeringan kelapa melalui semburan yang pernah mendapat liputan luas media pada 1984. Beliau yang telah menghasilkan lebih 287 kertas ilmiah turut menerima pelbagai anugerah dan dipilih sebagai felo Akademi Sains Malaysia dan ahli Majlis Profesor Negara dalam kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar.
Beliau pernah memenangi pingat perak dalam pertandingan berprestij International Invention Competition di Geneva, Switzerland pada April 2001, pingat perak dalam International Invention & Design Competition (ITEX) 2000 di Kuala Lumpur dan pingat emas dalam Research & Innovation Competition UPM pada 2003.
Semoga kejayaan sebagai saintis dan penyelidik cemerlang dalam Malaysia’s Research Star Award 2017 ini memberikan inspirasi kepada semua dan melonjakkan lagi sumbangan beliau untuk manfaat masyarakat Malaysia dan antarabangsa, insya-Allah.
Sumber: ResearchSEA | Astro Awani | UPM