Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) bersama-sama rakyat Malaysia menyambut Hari Bapa 2023 pada hari ini dengan penuh rasa kesyukuran kepada Allah SWT.
Hari Bapa adalah satu hari istimewa untuk kita sama-sama mengangkat, menghargai dan meraikan golongan bapa yang banyak berjasa bukan sahaja kepada keluarga tetapi kepada negara tercinta.
Kita mengiktiraf dan berterima kasih kepada para bapa di mana-mana sahaja mereka berada kerana tidak pernah jemu dan tanpa syarat mengasuh, membimbing, menjaga dan menyokong anak-anak dan keluarga mereka masing-masing.
TERIMA KASIH AYAH! Begitulah bunyinya tema sambutan Hari Bapa pada tahun ini. Tepat sekali pemilihan tema ini dan ia akan kekal sesuai untuk selama-lamanya.
Sesungguhnya IKRAM melihat peranan dan tanggungjawab seorang bapa sangat penting dalam usaha membangunkan masyarakat Madani yang berteraskan ruh daya cipta, nilai hormat, keyakinan dan ihsan.
Sebagai ketua keluarga, seorang bapa bersama seorang ibu menjadi tunjang dalam memupuk sikap saling menghormati, menyuburkan sifat ihsan, peduli dan kasih sayang dalam keluarga.
Ahli keluarga yang terbimbing akan menjadi anggota masyarakat yang baik untuk mewujudkan keamanan dan kesejahteraan negara.
IKRAM juga menginsafi anak-anak yang telah kehilangan bapa yang disayangi. IKRAM percaya dan menggesa anak-anak agar terus menyayangi bapa mereka.
Ini boleh dilaksanakan dengan melakukan kebaikan serta mendoakan kesejahteraan mereka sesuai dengan pesanan Nabi Muhammad SAW mengenai anak soleh yang meneruskan amalan baik seorang bapa (dan ibu) yang telah meninggal dunia.
Bapa juga adalah seorang yang disebut sebagai Hero Keluarga kerana beliau adalah pelindung utama keluarga daripada segala bentuk ancaman yang datang sama ada dalam bentuk fizikal, emosi mahupun ideologi dan kefahaman.
Oleh itu, IKRAM mengajak anak-anak di Malaysia tanpa mengira usia untuk menghadiahkan sesuatu kepada bapa termasuklah bapa tiri, bapa mentua, bapa angkat dan penjaga anda walaupun anda kini sudah berdikari dan mempunyai keluarga sendiri.
Tidak kiralah berapa nilai hadiah tersebut walaupun dengan sekeping kad ucapan yang dibuat sendiri. Sambil menyerahkan hadiah tersebut, ungkapkanlah; “TERIMA KASIH AYAH!” dalam bahasa yang anda gemari.
Lihatlah maklum balas mereka kepada pemberian anda. Buat bapa yang telah meninggal dunia, doakan yang baik-baik untuk mereka sambil menyebut betapa mereka telah berbakti dan tidak mampu dibalas ganti.
Selamat Hari Bapa 2023
Hj Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia